Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSaban hari, statistik harian kemalangan yang berlaku di seluruh di negara sebagaimana yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan peningkatan. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, fenomena tersebut mungkin akan meningkat pada satu tahap yang membimbangkan. Sebagai contoh, laporan statistik kemalangan dan jumlah kematian yang pada 28 Februari 2025 merekodkan sebanyak 2076 kes kemalangan yang membabitkan 23 kematian. Berbanding dengan hari sebelumnya, kes kemalangan yang direkodkan adalah sebanyak 1865 kes, manakala kematian yang berlaku adalah sebanyak 11 kes. Dengan demikian, kadar peningkatan kes kemalangan adalah sebanyak 10.2%, iaitu peningkatan sebanyak 211 kes kemalangan dan kes kematian adalah sebanyak 52.2%, iaitu peningkatan sebanyak 12 kes kematian berbanding dengan hari sebelumnya.
Baru-baru ini sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar tempatan, tiga orang pelajar maut dalam kemalangan yang membabitkan motosikal dan kereta di Seremban, membabitkan sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu oleh seorang remaja berusia 18 tahun dikatakan gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar motosikal Modenas Kriss yang dinaiki oleh dua mangsa dan motosikal Honda Vario yang datang dari arah kiri. Dalam kejadian tersebut, pemandu Honda Jazz yang merempuh motosikal-motosikal tersebut dikatakan tidak mempunyai lesen memandu.
Di Beseri, veteran komando tentera maut manakala anaknya parah selepas motosikal yang dinaiki oleh mereka dirempuh oleh sebuah kereta. Dalam kejadian yang berlaku menjelang waktu maghrib, mangsa yang sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave sambil dibonceng oleh anaknya, dipercayai dalam perjalanan menuju ke sebuah masjid di kawasan Padang Lati, Beseri untuk berbuka puasa dan solat maghrib. Kemalangan berlaku ketika mangsa melalui Jalan Tok Kayaman-Jejawi menuju ke arah Beseri. Ketika mangsa melalui jalan berkenaan, sebuah kereta Honda Civic yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun merempuh motosikal mangsa dari arah belakang. Siasatan awal mendapati kereta Honda Civic itu dipercayai bergerak dalam kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang motosikal mangsa. Akibat hentaman kuat, motosikal mangsa terbabas dan melanggar tiang lampu jalan, manakala kereta berkenaan pula terbabas melanggar tembok longkang di arah bertentangan. Kesan daripada perlanggaran tersebut mengakibatkan mangsa meninggal di tempat kejadian manakala anaknya mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk rawatan lanjut.
Oleh itu, bagi menangani masalah ini, kesedaran keselamatan jalan raya adalah sangat penting kerana perkara tersebut memberikan kesan secara langsung kepada kehidupan dan kesejahteraan semua orang, khususnya pemandu, pejalan kaki, penunggang dan pembonceng motosikal kerana dengan kesedaran yang tinggi, kadar kemalangan dapat diminimumkan. Begitu juga dengan kecederaan dan kes kematian yang boleh dikurangkan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.
Dengan meningkatkan kesedaran tentang peraturan lalu lintas, keadaan jalan raya dan potensi bahaya membolehkan pengguna jalan raya membuat keputusan termaklum dan mengelakkan situasi berbahaya. Selain itu, perkara tersebut dapat menambah kewaspadaan dan pematuhan mengikut garis panduan keselamatan yang boleh memberikan kesan kepada penurunan kes kemalangan, termasuklah kemalangan serius yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian. Pembudayaan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya ini akan menggalakkan tingkah laku yang bertanggungjawab, sekali gus membawa kepada persekitaran yang sejahtera dan selamat untuk menggunakan jalan raya.
Pematuhan undang-undang lalu lintas ini bukan sahaja menghadirkan rasa tanggungjawab dalam diri dengan menzahirkan tingkah laku di jalan raya yang berhemah, malah juga menghadirkan wawasan moral yang sangat penting demi menjaga keselamatan dirinya sendiri dan juga orang lain.
Dari sudut faedah ekonomi, pembudayaan kesedaran jalan raya yang diterapkan dalam masyarakat bukan sekadar untuk mengurangkan kadar kemalangan, malah turut diterjemahkan dalam bentuk nilai, iaitu kos rawatan kesihatan akibat kecederaan, kos kerosakan harta benda akibat berlakunya perlanggaran dan kos terapi akibat gangguan emosi dan trauma selepas kemalangan dapat dikurangkan. Secara makro, apabila kadar kemalangan diturunkan, masyarakat secara keseluruhannya akan menjadi sejahtera manakala kehidupan menjadi makmur dalam bentuk yang lebih kolektif.
Kesedaran keselamatan jalan raya juga perlu seiring dengan kepentingan jalan yang seharusnya diselenggarakan dengan baik, papan tanda yang jelas dan reka bentuk jalan yang selamat, yang kesemuanya memberikan impak yang besar terhadap usaha untuk mencegah kemalangan. Atas sebab tersebut, di negara-negara maju, satu daripada kempen dan inisiatif kesedaran keselamatan jalan raya turut memberikan tumpuan kepada kerja-kerja menambah baik infrastruktur, selain mengubah tingkah laku pengguna jalan raya dan menguatkuasakan undang-undang. Dengan kata lain, seni bina dan kejuruteraan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan jalan raya selain daripada pendekatan serampang dua mata yang merangkumi pendidikan dan penguatkuasaan.
Hubungan antara kejuruteraan dengan keselamatan jalan raya dapat dilihat menerusi reka bentuk jalan yang dibina dengan mengambil kira keselamatan, termasuklah ciri seperti pagar, jalur derum dan papan tanda yang jelas. Permukaan jalan dalam keadaan baik juga membantu mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh jalan berlubang dan permukaan tidak rata. Selain itu, sistem pengurusan trafik pintar, seperti isyarat trafik adaptif dan amaran trafik masa nyata dapat meningkatkan aliran penyuraian trafik dan mengurangkan kesesakan yang secara tidak langsung dapat merendahkan risiko berlakunya kemalangan. Penyediaan lorong dan lintasan bagi pejalan kaki dan penunggang basikal yang khusus pula dapat meningkatkan keselamatan bagi pengguna jalan raya yang terbabit.
Begitu juga dengan keselamatan kenderaan yang turut dititikberatkan, iaitu piawaian keselamatan berkualiti tinggi diselaraskan untuk kenderaan bermotor baharu dan terpakai dari segi penyediaan tali pinggang keselamatan, sistem kekangan kanak-kanak dan penggunaan topi keledar motosikal meliputi piawaian pada hentaman hadapan dan sisi untuk memastikan penumpang dilindungi ketika berlaku kemalangan secara berhadapan dan daripada berlakunya kesan sampingan.
Dalam kempen pendidikan dan kesedaran penggunaan jalan raya, terdapat sekurang-kurangnya lima pendekatan digunakan. Pendekatan pertama ialah pemesejan sasaran. Menerusi pendekatan ini, sasaran ditujukan kepada tingkah laku berisiko tertentu, seperti memandu laju atau secara melulu dan berbahaya, memandu dalam keadaan mabuk, pemanduan yang terganggu dan kegagalan menggunakan tali pinggang keledar dan topi keledar.
Pendekatan kedua adalah melalui hebahan khidmat awam. Kekerapan hebahan tersebut di televisyen, radio dan media sosial perlu dipertingkatkan dalam menggalakkan amalan pemanduan yang selamat dan akibat daripada tingkah laku yang tidak selamat.
Selain itu, pendekatan yang ketiga pula adalah melalui program sekolah. Pendidikan keselamatan jalan raya disepadukan dalam kurikulum sekolah untuk mengajar golongan muda tentang undang-undang jalan raya dan tingkah laku jalan raya yang selamat.
Pendidikan pemanduan juga turut diaplikasikan sebagai pendekatan keempat dalam kempen ini. Program pendidikan pemanduan yang komprehensif perlu dihadiri oleh pemandu yang baru hendak mengambil lesen agar mereka diperkukuh dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memandu dengan cara yang selamat.
Pendidikan berterusan, iaitu pendekatan yang kelima pula melibatkan program yang disediakan untuk pemandu yang berpengalaman yang melibatkan topik seperti pemanduan bertahan dan penyesuaian diri dengan keadaan jalan yang berubah-ubah.
Dari aspek penguatkuasaan dan langkah perundangan, empat langkah utama yang sering dilaksanakan di negara-negara maju termasuklah penguatkuasaan undang-undang yang ketat. Negara maju mempunyai undang-undang dan penalti yang ketat untuk pelanggaran yang melibatkan lalu lintas, termasuk memandu laju, memandu dalam keadaan mabuk dan pemanduan terganggu.
Antara langkah lain termasuklah peningkatan penguatkuasaan. Agensi penguatkuasaan undang-undang meronda jalan raya secara aktif dan menguatkuasakan undang-undang lalu lintas serta menggunakan teknologi seperti kamera kelajuan dan radar.
Langkah seterusnya melibatkan penguatkuasaan undang-undang wajib dalam pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar. Undang-undang yang memerlukan penggunaan tali pinggang keledar dan topi keledar untuk semua penumpang kenderaan telah terbukti mengurangkan kecederaan dan kematian dengan ketara.
Toleransi sifar untuk pemanduan mabuk juga merupakan antara satu daripada langkah dalam penguatkuasaan dan perundangan. Dasar toleransi sifar yang ketat untuk pemanduan dalam keadaan mabuk, dengan mengenakan hukuman yang berat berupaya menghalang tingkah laku yang berbahaya ini.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO) pada 13 Disember 2023, dianggarkan seramai 1.19 juta orang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya setiap tahun. Antara 20 hingga 50 juta orang pula mengalami kecederaan yang tidak membawa maut, tetapi kebanyakannya mengalami kecacatan. Kemalangan jalan raya telah menyebabkan kerugian ekonomi yang besar kepada individu, keluarga dan negara secara keseluruhan. Kerugian ini timbul akibat kos rawatan serta kehilangan produktiviti bagi mereka yang terbunuh atau hilang upaya akibat kecederaan mereka, dan bagi ahli keluarga yang perlu mengambil cuti kerja atau sekolah untuk menjaga mereka yang cedera. Kemalangan jalan raya ini secara kasarnya telah membebankan kebanyakan negara yang melibatkan tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar mereka.
Lebih daripada 90% kematian di jalan raya berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Kadar kematian trafik jalan raya adalah tertinggi di benua Afrika dan terendah di benua Eropah. Walaupun sesebuah negara berpendapatan tinggi, penduduk dari latar belakang sosioekonomi yang rendah lebih berkemungkinan untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak dan golongan muda berusia antara lima hingga 29 tahun merupakan golongan yang paling banyak mengalami kecederaan dan terbunuh dalam kemalangan jalan raya, manakala dari segi jantina, golongan lelaki biasanya tiga kali lebih berkemungkinan terbunuh dalam kemalangan jalan raya berbanding dengan wanita.
Eropah secara amnya mempunyai kadar kematian kemalangan jalan raya yang lebih rendah berbanding dengan benua lain disebabkan oleh gabungan faktor, termasuk dasar keselamatan jalan raya yang kukuh, penguatkuasaan undang-undang lalu lintas yang ketat dan tumpuan pada infrastruktur jalan raya dan kenderaan yang selamat. Selain itu, EU (European Union) juga menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menangani isu kemalangan jalan raya. Misalnya pada tahun 2022, EU berjaya mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 1% berbanding dengan tahun sebelumnya dan pengurangan sebanyak 10% berbanding dengan tahun 2019. Hal ini adalah selaras dengan ketetapan sasaran pengurangan sebanyak 50% untuk kematian jalan raya dan kecederaan serius menjelang 2030 menerusi Pelan Tindakan Strategik Suruhanjaya mengenai Keselamatan Jalan Raya dan rangka kerja dasar keselamatan jalan raya EU 2021-2030 sebagaimana menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh European Commission pada 8 Mac 2024.
Faktor utama yang menyumbang kepada kadar kemalangan yang lebih rendah di Eropah atau lebih sinonim disebut sebagai EU termasuklah dasar keselamatan jalan raya yang teguh. EU mempunyai matlamat jangka panjang untuk menuju ke arah sifar kematian dan kecederaan serius dalam pengangkutan jalan raya menjelang 2050, dengan sasaran berkala untuk mengurangkan kematian dan kecederaan di jalan raya. Suruhanjaya Eropah memainkan peranan penting dalam mengawasi dasar keselamatan jalan raya di seluruh Kesatuan, termasuklah menetapkan piawaian dan peraturan produk. Keselamatan jalan raya adalah berdasarkan prinsip subsidiari EU, yang bermaksud pihak berkuasa negara dan tempatan bertanggungjawab untuk kebanyakan keputusan, manakala EU menyediakan rangka kerja umum untuk keselamatan jalan raya yang perlu dipertingkatkan.
Antara faktor lain termasuklah penguatkuasaan ketat undang-undang lalu lintas, iaitu had pemanduan di bawah pengaruh minuman alkohol yang rendah dikuatkuasakan dengan ketat. Had laju juga kebiasaannya rendah dan pemeriksaan kenderaan dilakukan secara kerap bagi memastikan kelayakan pemanduan di jalan raya.
Infrastruktur jalan yang selamat turut menyumbang kepada kadar kemalangan yang rendah di Eropah. Jalan raya umumnya diselenggarakan dengan baik dan direka bentuk dengan ciri keselamatan yang tinggi. Fokus pada jalan raya dan sisi jalan yang selamat menjadi asas kepada pendekatan sistem selamat bagi memastikan keselamatan jalan raya tercapai.
Selain itu, pembuatan ciri kenderaan yang selamat turut menjadi satu daripada faktor kadar kemalangan yang rendah. Kenderaan yang moden perlu dilengkapi dengan ciri keselamatan canggih. EU mempunyai peraturan dan piawaian untuk keselamatan kenderaan.
Faktor seterusnya melibatkan penggunaan jalan raya dengan selamat. Latihan pemanduan dilakukan secara menyeluruh untuk meningkatkan kesedaran dan disiplin pemanduan yang baik dan berhemat.
Pendekatan sistem selamat juga bertujuan untuk memastikan sistem pengangkutan yang selamat untuk semua pengguna jalan raya dengan menyediakan jalan raya dan sisi jalan, kelajuan, kenderaan dan pengguna jalan raya yang selamat. Pendekatan ini mengakui bahawa pengguna jalan raya boleh melakukan kesilapan tetapi usaha ini diambil untuk memastikan agar kesilapan tersebut tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan yang serius.
Antara faktor yang terakhir ialah pemfokusan kepada pengguna jalan raya yang terdedah dengan risiko. EU sentiasa berusaha untuk meningkatkan keselamatan bagi pengguna jalan raya yang terdedah dengan risiko, termasuklah dalam kalangan penunggang basikal dan pejalan kaki.
Antara contoh negara Eropah yang memiliki kadar kemalangan rendah Sweden yang terkenal dengan pendekatan “Vision Zero“, iaitu menyasarkan kadar sifar kemalangan jalan raya, dengan penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang ketat dan tumpuan kepada jalan raya dan kenderaan yang selamat. Antara negara lain termasuklah Norway yang mempunyai kadar kematian jalan raya yang paling rendah di dunia, Denmark yang terkenal dengan rekod keselamatan jalan raya yang kukuh dan Jerman yang sentiasa merekodkan penurunan kadar kematian dalam kemalangan jalan raya.
Natijahnya, kadar kemalangan di Eropah yang lebih rendah merupakan hasil daripada pendekatan yang komprehensif dan kepekaan terhadap pelbagai aspek tentang keselamatan jalan raya, dasar yang kukuh, penguatkuasaan yang ketat, infrastruktur yang selamat serta tumpuan kepada kenderaan dan pengguna jalan raya yang selamat.