Diterbitkan pada 3 Mei 2025, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (GE2025) yang berlangsung pada hari ini memperlihatkan satu perkembangan penting dalam sejarah politik di Kota Singa apabila pengundi muda muncul sebagai kumpulan yang berpotensi besar dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya. Sebagai rekod, GE2025 Singapura merupakan pilihan raya pertama selepas peralihan kuasa kepada Perdana Menteri, Lawrence Wong setelah Lee Hsien Loong menerajui kepimpinan sejak dua dekad lalu.

Kemunculan lebih banyak calon anak muda dalam pilihan raya kali ini turut memberikan dimensi baharu kepada percaturan politik dengan jumlah lebih 22 peratus (2.76 juta) pengundi berdaftar terdiri daripada generasi muda yang berusia 21 hingga 35 tahun. Pertambahan jumlah pengundi kali pertama dalam setiap pilihan raya menambahkan lagi rencah baharu kerana kelompok ini membawa pandangan dan naratif yang lebih progresif dan tidak terikat kepada status quo politik. Dengan jumlah yang signifikan dan kecenderungan terhadap perubahan serta pembaharuan, generasi muda kini memainkan peranan penting dalam mencorakkan arah tuju politik Singapura pada masa akan datang.

Anak Muda Penentu Kalah Menang GE2025 Singapura?

Sebanyak 44 orang calon berusia di bawah 40 tahun bertanding dalam GE2025, iaitu meningkat daripada 32 calon sebelum ini. Calon termuda ialah Heng Zheng Dao berusia 24 tahun, dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang bertanding di Ang Mo Kio GRC menentang mantan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong. Parti Pekerja (WP) dan Parti Rakyat Singapura (SPP) menampilkan barisan calon termuda dengan usia median sekitar 45 tahun, sekali gus menunjukkan komitmen mereka terhadap pembaharuan politik.

Menurut tinjauan YouGov, pengundi dalam kalangan Gen Z lebih cenderung untuk mengubah pendirian mereka sepanjang tempoh kempen, iaitu dengan menunjukkan keterbukaan mereka terhadap pelbagai pandangan politik. Sebaliknya, pengundi lebih berusia pula cenderung untuk tetap dengan pilihan mereka sejak awal.

Platform Digital Pentas Demokrasi Digital

Lantaran itu, penggunaan platform digital seperti Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan X oleh calon dan pengundi bukan sahaja memperkaya landskap politik negara, malah turut membuka ruang baharu kepada keterlibatan generasi muda dan menyasarkan kepada kelompok apolitikal dalam membina kepercayaan, memperjuangkan naratif dan memperluas makna demokrasi dalam era teknologi.

Sebagai contoh, pendekatan kempen yang lebih santai dan peribadi melalui vlog, sesi soal jawab interaktif, video pendek berbentuk humor atau pendidikan, serta siri di belakang tabir merupakan sebahagian daripada strategi yang dilakukan oleh calon sepanjang kempen. Beberapa orang calon turut mencipta lagu kempen, malah ada yang mengungkapkan lirik lagu raya dari Malaysia, iaitu Serumpun dalam ucapan dan video parodi berunsurkan politik untuk menyampaikan mesej secara kreatif lantaran pendekatan ini terbukti lebih mudah dihadamkan dan dikongsi oleh pengundi muda.

Lebih menarik, bukan hanya calon yang bertanding, bahkan para pengundi turut memanfaatkan platform digital untuk mendapatkan maklumat, menilai calon dan berkongsi pandangan politik. Golongan muda khususnya lebih cenderung mengikuti perkembangan pilihan raya melalui sumber tidak rasmi seperti forum Reddit Singapura, klip TikTok politik, audio siar dan saluran YouTube bebas. Hal ini memperluas akses kepada pelbagai perspektif, termasuklah dari sisi pembangkang dan masyarakat.

Lebih meriah lagi, pengundi muda kini tidak sekadar penerima maklumat, malah turut bertindak sebagai penghasil kandungan politik, sama ada melalui ciap kritis, sindiran, video reaksi atau ulasan analisis pilihan raya. Kehadiran pengundi sebagai pempengaruh kecil politik telah menambah kepelbagaian suara dan mencabar dominasi naratif politik arus perdana, lantas menjadikan media sosial sebagai alat penting dalam kempen demokrasi politik moden.

Isu yang Menjadi Perhatian Generasi Muda

Generasi muda menuntut lebih banyak ketelusan dalam tadbir urus serta ruang yang lebih besar untuk kebebasan bersuara dan perbahasan politik terbuka. Mereka juga menekankan isu seperti perubahan iklim, keadilan sosial, kesaksamaan gender, digitalisasi dan ketelusan kerajaan. Hal ini menyebabkan parti-parti politik bertindak menyesuaikan dasar mereka agar lebih relevan dengan kehendak golongan muda. Perkara ini menjadikan generasi muda sebagai pengubah undian yang strategik yang perlu diberi perhatian dan dijadikan keutamaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Mac 2025 lalu telah melancarkan Piagam Belia sebagai usaha untuk mendekati dan melibatkan generasi muda dalam proses pembangunan negara. Piagam ini bertujuan untuk mengiktiraf suara belia di Singapura dan memastikan mereka mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembentukan dasar.

Namun demikian, sejauh manakah keberkesanannya dalam menarik minat dan sokongan anak muda kepada politik dan sokongan kepada parti pemerintah? Dalam konteks GE2025 Singapura, Piagam Belia ini dilihat sebagai satu daripada strategi Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk terus menawan hati pengundi muda. Hal ini mungkin dilihat membantu membina imej progresif kerajaan, tetapi pada masa yang sama, generasi muda kini lebih celik maklumat dan kritikal dalam menilai dasar yang dieprkenalkan oleh pihak kerajaan. Mereka tidak mudah dipengaruhi oleh retorik politik tanpa pelaksanaan yang nyata.

Sekiranya hal ini hanya bersifat simbolik atau tidak disertai dengan tindakan susulan, maka anak muda mungkin akan melihatnya sebagai gimik politik semata-mata. Selain itu, tahap kebebasan bersuara dan ruang untuk perbezaan pandangan politik masih menjadi isu penting. Sekiranya suara yang kritikal terhadap tindakan tertentu kerajaan tidak diberikan ruang secukupnya, maka minat anak muda terhadap politik mungkin tetap terbatas.

Justeru, penekanan terhadap prinsip keterangkuman, pembangunan potensi belia untuk menyertai perbincangan dasar awam, sumbangan idea dalam sesi dialog kebangsaan, serta pelibatan anak muda dalam forum dan bengkel yang berkaitan dengan isu-isu awam dan semasa adalah amat penting.

Pendekatan ini dapat mengurangkan rasa terasing generasi muda daripada proses politik arus perdana. Namun demikian, untuk benar-benar berkesan dalam menarik minat dan sokongan anak muda, hal tersebut perlu disusuli dengan tindakan konkrit, keterbukaan terhadap kritikan dan komitmen terhadap perubahan dasar yang selaras dengan aspirasi generasi muda.

GE2025 Singapura menandakan era baharu dalam politik negara di hujung selatan Malaysia itu, dengan menyaksikan generasi muda berperanan sebagai agen perubahan melalui pelibatan secara aktif dalam politik, sekali gus tidak hanya terlibat sebagai pengundi, tetapi juga sebagai calon dan pencetus wacana baharu. Pelibatan aktif mereka mencerminkan perubahan dalam landskap politik negara dengan penekanan terhadap pembaharuan, keterbukaan dan dasar secara keseluruhannya.

Pengalaman Singapura ini menawarkan beberapa pengajaran berharga kepada generasi muda di Malaysia yang juga berdepan dengan cabaran politik yang kompleks dan dinamik. Dengan sokongan dan ruang yang sesuai, generasi muda berpotensi untuk membawa perubahan positif dalam memastikan masa depan politik negara dengan membina model politik yang sesuai dengan konteks Malaysia agar lebih dinamik dan progresif.

Pelibatan aktif anak muda dalam politik kini menjadi penanda aras penting dalam menilai kematangan demokrasi di sesebuah negara.

Selamat Memilih Singapura!

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi