Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTarikh 16 Mei merupakan hari yang sangat bermakna dalam kehidupan kita pada setiap tahun kerana meraikan Hari Guru yang disambut pada peringkat sekolah dan peringkat kebangsaan. Sambutan ini bukan sekadar rutin dalam takwim pendidikan, tetapi satu detik untuk menyedari peranan besar seorang insan bergelar guru dalam membentuk anak bangsa.
Pada zaman moden yang berorientasikan teknologi maklumat ini, kita sering terlupa bahawa sistem pendidikan tidak lagi bergerak dengan hanya berpandukan modul, skema atau algoritma. Sebaliknya, sistem pendidikan di negara ini turut bergerak dengan hati dan perasaan yang menjadi nadi seorang guru biasa yang berjiwa luar biasa.
Guru bukan sekadar mengajar, tetapi mereka juga mendengar dan membimbing. Mereka menangis ketika anak muridnya gagal dan mereka berasa bangga ketika anak muridnya berjaya. Hal ini dikatakan demikian kerana guru menjadi pengganti ibu bapa kepada murid di sekolah. Di dalam kelas pula, kadangkala mereka menjadi pakar psikologi, jurulatih dan bahkan pendamai. Peranan ini dilaksanakan tanpa digariskan dalam terma pekerjaan, sebaliknya dilakukan mengikut pertimbangan dan perasaan sendiri.
Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan di negara kita telah banyak dipengaruhi oleh sentuhan insani dan empati, kepercayaan dan komitmen serta emosi yang tidak boleh diukur secara kuantitatif. Sistem ini terus bergerak dengan bertunjangkan barisan guru sebagai pengurus kurikulum, pemegang harapan dan pembentuk jiwa.
Selain menyampaikan ilmu dalam bentuk fakta dan teori, guru membimbing murid untuk mengetahui nilai kesabaran semasa menuntut ilmu, memahami erti kejayaan dan kegagalan serta memupuk keyakinan diri murid apabila mereka berasa lelah dan berputus asa. Dalam kebanyakan kes, guru bertindak sebagai kaunselor untuk mendengar masalah peribadi murid yang tidak pernah diluahkan kepada sesiapa. Pada ketika itu, kehadiran mereka sangat diperlukan oleh murid untuk mendapatkan nasihat yang berguna walaupun kadangkala mereka tidak dapat meringankan beban murid dan sekadar menjadi pendengar yang setia.
Peranan guru ini sangat berkait rapat dengan kemahiran psikologi yang semakin diperlukan dalam era pascapandemik. Hal ini demikian kerana masalah kesihatan mental dalam kalangan murid semakin meningkat pada setiap tahun. Guru yang peka mampu mengesan perubahan kecil pada tingkah laku murid sama ada dari air muka mereka yang lesu, interaksi mereka yang berkurangan atau prestasi mereka yang merosot secara mendadak. Oleh itu, mereka dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu murid menyelesaikan masalah sebelum situasi menjadi lebih parah.
Di samping itu, guru memberikan murid latihan yang berterusan untuk membentuk disiplin, minda dan akhlak mereka serta menyusun strategi pembelajaran yang berbeza-beza mengikut kebolehan murid. Hal ini menunjukkan kecekalan guru yang tiada tolok bandingnya dengan emolumen yang diterima, malah turut menzahirkan kefahaman mereka yang mendalam terhadap keperluan setiap murid yang masih belum dikembangkan potensinya.
Tambahan pula, dalam suasana kelas yang serba rencam, murid daripada pelbagai latar belakang dengan isu tingkah laku dan tekanan akademik memerlukan figura guru sebagai pendamai. Guru menenangkan konflik antara murid dengan rakannya, menjernihkan keadaan dan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif serta aman berteraskan nilai saling menghormati.
Kesemua peranan ini tidak termaktub dalam mana-mana klausa perkhidmatan. Tiada garis panduan yang menyebut tugas rasmi guru untuk menenangkan murid yang kemurungan, membelikan makanan untuk murid yang lapar, atau menyimpankan rahsia murid tentang kehidupan keluarganya yang berantakan. Namun begitu, hal ini dilakukan atas rasa tanggungjawab sebagai insan biasa berjiwa besar yang mempunyai pertimbangan dan perasaan. Inilah yang membezakan guru dengan profesion lain kerana mereka hidup dalam ruang lingkup ilmu dan kasih sayang.
Dunia pendidikan pada hari ini memaparkan senario yang lebih menarik apabila guru berdepan dengan cabaran yang jauh lebih kompleks. Mereka bukan sahaja perlu menguasai pedagogi dan teknologi, malah harus peka terhadap perubahan emosi dan sosial murid yang datang dari pelbagai latar belakang. Guru tidak lagi mengajar di dalam kelas secara fizikal semata-mata, tetapi turut meneroka masuk ke dalam dunia digital yang serba-serbi canggih dan pantas untuk menyempurnakan asas pendidikan yang menjadi kebiasaan.
Kajian pendidikan moden juga menunjukkan bahawa hubungan positif antara guru dengan murid memainkan peranan penting dalam pembangunan emosi dan akademik murid. Hal ini dapat dibuktikan melalui pelibatan dan pencapaian murid di sekolah termasuk sekolah yang terletak di kawasan pedalaman. Murid yang berjaya bukanlah orang yang hebat pada peringkat awal, tetapi potensi mereka dibentuk oleh seorang guru yang gigih berusaha untuk melatih murid tersebut.
Dalam konteks sekolah luar bandar, banyak guru yang menjadi nadi perubahan sosial. Mereka mengorbankan keselesaan demi menyampaikan ilmu kepada komuniti yang tercicir. Tanpa guru, jurang pendidikan akan terus melebar dan masa depan sebahagian anak bangsa menjadi semakin kabur.
Maka itu, penghargaan kepada guru tidak wajar ditunjukkan dalam bentuk acara simbolik, poster tahunan atau jambangan bunga yang mudah layu semata-mata. Sebaliknya, sambutan untuk mereka perlu diterjemahkan kepada kepercayaan yang tulus, sokongan yang konsisten dan pengiktirafan yang mengangkat maruah kemanusiaan dalam profesion ini. Menghargai guru bukan sekadar mengenang jasa mereka, tetapi mengiktiraf guru sebagai pembentuk masa hadapan negara.
Sungguhpun nama guru tidak tercatat dalam buku sejarah mahupun dinobatkan anugerah sepanjang hayat sebagai ikon masyarakat, mereka tetap meninggalkan jasa yang besar kepada murid. Bakti yang dicurahkan oleh guru menjadi kenangan untuk murid mendoakan kesejahteraan mereka. Jelaslah di sini bahawa peranan seorang guru amat besar dalam dunia pendidikan kerana mereka ialah insan biasa yang berjiwa luar biasa.