Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan detik istimewa bagi meraikan dan menghargai jasa dan pengorbanan insan yang paling berpengaruh dalam kehidupan kita, iaitu guru. Sambutan Hari Guru bukan sekadar tradisi, namun sebuah pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam usaha membentuk insan dan masa depan negara. Pada tahun ini, “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” dipilih sebagai tema selaras dengan peranan guru yang semakin mencabar dalam dunia yang terus berubah.
Dalam kepesatan era globalisasi dan ledakan teknologi, pendidikan menjadi nadi utama pembangunan negara. Justeru, guru tidak lagi berperanan sebagai penyampai ilmu semata-mata kerana turut memikul tanggungjawab sebagai agen perubahan yang menggerakkan transformasi pendidikan dari dalam bilik darjah hinggalah ke peringkat dasar kebangsaan. Tema tahun ini memberikan penekanan kepada peranan guru sebagai peneraju reformasi yang membina sistem pendidikan yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing pada peringkat global.
Di tengah-tengah cabaran zaman yang kompleks, guru terus memainkan pelbagai peranan yang bukan sahaja sebagai pendidik, pembimbing, penasihat malah turut bertindak sebagai pengganti ibu bapa di sekolah. Lebih daripada sekadar mengajar perkara yang perlu diketahui, guru membimbing cara atau kaedah untuk berfikir, menyemai nilai murni, dan membentuk sahsiah yang seimbang. Inilah tanggungjawab besar yang digalas oleh setiap guru dalam mencorakkan generasi masa hadapan yang berilmu dan berakhlak tinggi.
Menerobos Tradisi, Membina Kaedah Baharu
Guru pada hari ini tidak lagi hanya mengikuti silibus dan buku teks semata-mata. Mereka diiktiraf sebagai arkitek pedagogi baharu dengan meneroka kaedah pengajaran inovatif, memanfaatkan teknologi serta mengutamakan pembelajaran berasaskan murid. Dalam meniti era pascapandemik, peranan guru dilihat semakin mencabar. Mereka bukan sekadar mengajar untuk peperiksaan, malah turut membentuk insan yang mampu berfikir secara kritis, beretika dan fleksibel dalam menghadapi cabaran dunia sebenar.
Pada masa yang sama, reformasi pendidikan memerlukan keberanian. Keberanian itu dimulakan oleh guru-guru yang berani mencuba mencari pendekatan baru, berani mendengar suara pelajar dan berani menyuarakan pandangan demi kemajuan pendidikan negara.
Ejen Perubahan dalam Komuniti
Lebih daripada sekadar mendidik di sekolah, guru turut memainkan peranan penting dalam komuniti. Mereka membawa nilai ilmu, kesedaran sosial, dan membina hubungan erat antara sekolah dengan masyarakat.
Dalam reformasi pendidikan, guru menjadi jambatan antara dasar dengan realiti dan antara visi nasional dengan keperluan setempat. Keterlibatan guru dalam perbincangan dasar, penyelidikan tindakan di sekolah serta pelibatan dalam pembangunan profesional yang berterusan, menjadikan mereka suara yang memperjuangkan pendidikan yang lebih adil, holistik dan lestari.
Guru dalam Dunia Digital: Antara Teknologi dengan Sentuhan Kemanusiaan
Dalam era digital yang serba pantas, transformasi pendidikan telah mengubah wajah bilik darjah secara menyeluruh. Teknologi kini menjadi alat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang menuntut guru untuk menguasai pelbagai platform digital, memahami pendekatan pedagogi yang dinamik dan sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Guru pada zaman kini bukan sahaja perlu celik teknologi, malah perlu memiliki keberanian untuk belajar semula demi memastikan pendidikan agar kekal relevan dan berkesan.
Namun begitu, di sebalik kemajuan ini, satu perkara tetap tidak berubah, iaitu nilai kemanusiaan yang dibawa oleh seorang guru. Teknologi mungkin mampu menyampaikan maklumat dengan pantas, tetapi tidak mampu menyampaikan kasih sayang, empati atau sentuhan jiwa yang hanya boleh hadir daripada insan bergelar guru.
Kehangatan senyuman seorang guru, kesabaran mereka ketika mengulang ajar, dan doa yang sentiasa mengiringi kejayaan anak murid merupakan unsur yang tidak boleh digantikan oleh kecanggihan mana-mana sistem atau perisian. Dalam meniti era digital, guru tetap menjadi nadi utama yang menyatukan ilmu dan insan, yakni antara kemajuan yang dikecapi dengan nilai murni.
Mengangkat Martabat Profesion Keguruan
Reformasi pendidikan yang berkesan tidak akan tercapai tanpa penghargaan yang tulus terhadap profesion keguruan. Guru perlu diberikan sokongan menyeluruh, bermula daripada latihan berterusan, ruang untuk berinovasi, hinggalah kepercayaan untuk memimpin perubahan secara profesional. Kejayaan pendidikan masa depan bergantung pada sejauh mana kita memartabatkan peranan guru dalam membentuk tamadun bangsa.
Penghargaan ini tidak cukup dengan sekadar sambutan tahunan yang meriah. Hal ini perlu dizahirkan melalui tindakan yang konsisten dengan penyediaan kemudahan yang mencukupi, dasar yang menyokong kesejahteraan guru serta pengiktirafan terhadap sumbangan mereka sebagai arkitek pembangunan negara. Menghormati guru bermakna kita menghormati tunjang kepada pembentukan masyarakat yang cemerlang.
Setiap murid yang berjaya, setiap masyarakat yang makmur dan setiap negara yang maju bermula dengan seorang guru yang percaya bahawa setiap insan mampu berkembang jika diberikan peluang, bimbingan dan kasih sayang. Inilah asas sebenar yang menjadi tunjang kepada reformasi pendidikan yang bermakna.
Bersempena dengan Hari Guru 2025 ini, sebagai rakyat Malaysia marilah kita meraikan seorang pendidik yang bukan hanya sekadar menyandang gelaran seorang guru, malah turut mempunyai semangat dan perjuangan mereka yang tidak pernah mengenal lelah.
Kepada semua guru di seluruh pelosok negara, terima kasih kerana terus mendidik, membina, dan menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar. Guru menjadi cahaya yang menyinari jalan untuk menuju ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Selamat Hari Guru. Teruskan menyuluh jalan demi membina masa hadapan!
