Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap pelajar pasti menghadapi dilema untuk menentukan langkah selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Antara cabaran yang menanti pelajar di persimpangan termasuklah membuat pilihan untuk menyambung pelajaran atau “terjun” ke alam pekerjaan. Dua pilihan inilah yang akan menentukan perkara yang akan berlaku dalam kehidupan mereka pada masa hadapan. Inilah detik permulaan kepada dunia kehidupan sebenar yang akan mereka lalui kelak.
Kebanyakan pelajar lepasan SPM tidak mempunyai gambaran yang jelas tentang kehidupan yang mereka inginkan. Keadaan ini menyebabkan mereka menghadapi dilema untuk menentukan langkah selepas mendapat keputusan SPM. Mereka mungkin tidak dapat membayangkan keadaan sewaktu menyambung pelajaran, apatah lagi untuk membayangkan kegembiraan dan kepuasan menaiki pentas dengan berpakaian jubah graduasi pada majlis konvokesyen.
Pada hakikatnya, pelajar lepasan SPM berpotensi untuk mencapai sesuatu perkara melebihi apa-apa yang mereka fikirkan, iaitu tidak hanya dengan keputusan SPM sahaja. Jika pelajar lepasan SPM membuat keputusan dan bertindak dengan sebaik-baik mungkin, mereka pasti dapat menyahut cabaran untuk menyambung pelajaran dan berjaya pad amasa hadapan. Walau apa-apapun keputusan SPM yang mereka peroleh, hal tersebut bukanlah titik noktah untuk menamatkan pembelajaran, sebaliknya mereka harus terus belajar dan menuntut ilmu.
Bagi pelajar yang memperoleh keputusan SPM yang memuaskan, teruskan mencari ilmu pengetahuan dengan menyambung pelajaran pada peringkat yang seterusnya. Jadikan perkara tersebut sebagai matlamat dan langkah utama untuk mengubah sesuatu yang tidak mampu dilihat kepada sesuatu yang mampu dilihat. Kemudilah kehidupan masa hadapan dengan mengikut arah tuju matlamat untuk berjaya. Sekiranya diteltii, pada masa ini terdapat banyak peluang yang boleh diteroka oleh pelajar lepasan SPM dalam mencungkil potensi diri masing-masing. Satu daripada peluang tersebut termasuklah menyambung pelajaran pada peringkat yang seterusnya. Oleh itu, mengapakah kita tidak mahu merebut peluang tersebut? Apatah lagi setelah memperoleh keputusan SPM yang memuaskan.
Rebutlah peluang tersebut dan cabar diri untuk mengejutkan potensi diri dengan mencipta pelbagai pencapaian dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana menuntut ilmu merupakan peluang keemasan dalam hidup dan tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Ingatlah bahawa menyambung pelajaran ke peringkat yang seterusnya membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka diri sendiri, sekali gus dapat mematangkan diri untuk mengharungi kehidupan pada masa hadapan.
Terdapat banyak perkara yang boleh dicapai oleh pelajar selepas tamat peperiksaan SPM, namun terpulang kepada usaha dan daya sendiri untuk membuat pilihan tersebut. Jangan biarkan diri terperangkap dalam “khayalan hidup” tanpa merealisasikan potensi diri sendiri. Adakah pelajar lepasan SPM pernah terfikir bahawa matlamat untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya bakal memberikan kuasa bagi memanfaatkan potensi besar yang ada dalam diri? Hal ini sejajar dengan kepentingan menetapkan matlamat yang mampu memberikan kesan kepada tindak balas seseorang. Sekiranya pelajar mahu mengetahui kemungkinan tanpa had dalam diri, kita perlu memulakannya dengan menetapkan matlamat. Dengan menetapkan matlamat besar seperti menyambung pelajaran selepas SPM, pelajar dapat mengembangkan potensi diri menjangkaui kemampuan semasa. Hal ini demikian kerana kemampuan seseorang tidak dapat menggambarkan potensi sebenar diri mereka.
Seseorang itu mampu pergi lebih jauh dan berupaya untuk mencapai sesuatu perkara dengan lebih baik sekiranya mereka komited dan berusaha untuk mencapainya. Jika direnung secara mendalam, sejak kita berada di sekolah rendah hingga di sekolah menengah, kehidupan alam persekolahan sentiasa menguji tahap komitmen seseorang. Komitmen yang diberikan tanpa berputus asa kepada sesuatu tugasan di sekolah mampu menghasilkan keputusan yang memuaskan. Oleh itu, kita harus memberikan komitmen yang tinggi dan padu untuk “beraksi” demi kejayaan dalam menamatkan pembelajaran yang bakal diambil nanti.
Penetapan matlamat besar seperti ini akan memberikan inspirasi dan motivasi kepada diri. Inspirasi menggerakkan kita untuk mencapai matlamat, manakala motivasi pula menolak dan mendorong kita untuk mencapai matlamat tersebut. Apabila kita melihat segala kemungkinan dengan positif dan menjangkakan senario terbaik yang akan berlaku, kita dapat membantu diri membangunkan momentum tindakan ke arah mencapai matlamat yang lebih besar. Momentum tindakan umpama papan peluncur yang memacu laju. Walaupun menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya mungkin perkara yang membimbangkan dan menakutkan kerana kita tidak pasti sama ada kita berkemampuan untuk melakukannya ataupun tidak, namun dengan sentiasa meletakkan diri dalam situasi yang bermanfaat, kita telah meletakkan diri dalam landasan terbaik untuk melakukan hal-hal luar biasa ketika “perjalanan” kehidupan sebagai seorang pelajar.
Potensi yang ada dalam diri juga akan berkembang sedikit demi sedikit, seiring dengan peredaran masa. Inilah dorongan utama bagi memaksa diri menjadi lebih baik. Jadikan peluang ini sebagai satu situasi yang paling bermanfaat buat diri kita. Lazimnya, apabila kita berjaya menembusi tembok ketakutan dan kebimbangan dalam suasana yang tidak selesa, kejayaan akan dapat dikecap. Fikirlah dengan minda yang terbuka dan bayangkan tentang ganjaran atau faedah yang bakal diperoleh kelak. Bayangkan kita dapat mampu melakukan sesuatu tanpa batasan. Jangan biarkan diri kita terbelenggu dengan memikirkan kemungkinan yang akan menghalang keupayaan diri sendiri.
Apabila diri berkemampuan untuk membayangkan segala bentuk ganjaran atau faedah yang bakal dinikmati kelak, maka semangat diri akan menjadi berkobar-kobar. Dengan semangat diri yang berkobar-kobar dalam mengejar sesuatu, kita seolah-olah akan ditarik dan terdorong ke arahnya, lalu menjadikan tujuan kita semakin kukuh. Keadaan ini akan meningkatkan kecekalan dan ketabahan diri. Kita akan melihat kebaikan pada setiap rintangan atau kesukaran yang dialami. Umpama menyalakan sumbu mercun dengan api, menjadi pemacu utama yang menggerakkan diri ke arah mencapai matlamat besar yang ditetapkan. Jika ada “suara-suara sumbang” dalam diri yang datang mengganggu dengan berkata, adakah anda hendak sambung belajar? Rugi masa dan wang sahaja, kita pasti akan mengabaikannya begitu sahaja.
Realitinya, kehidupan ini menawarkan banyak peluang dan mengapakah kita tidak mahu mengambilnya dan merebutnya? Jangan berpuas hati dengan pencapaian setakat SPM sahaja. Ayuh lepasan SPM. Ubah cara biasa kita berfikir. Berfikirlah dengan melihat akan masa hadapan yang masih panjang. Masa hadapan yang penuh dengan pelbagai peluang yang boleh diteroka. Pelbagai peluang yang boleh diteroka sepanjang perjalanan pembelajaran kita di kampus. Selangkah kita melangkah, potensi diri telah pun bermula.
Potensi diri merupakan sesuatu yang sukar untuk didefinisikan. Kita boleh melakukan apa-apa sahaja kerana potensi diri kita tidak terhad. Tetapkan kepercayaan dalam fikiran kita. Mulakan langkah untuk mengetengahkan dan mengembangkan potensi diri ke tahap yang lebih tinggi. Menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya merupakan pentas terbaik untuk melakukannya. Tidak kiralah potensi diri yang mana dipilih untuk diketengahkan dan dikembangkan, asalkan kita mahu memulakan langkahnya.
Inilah matlamat dan arah tujuan kehidupan yang seterusnya. Inilah yang memberikan makna dan dalam masa yang sama, turut meningkatkan perasaan bernilainya diri kita. Inilah penciptaan masa hadapan selepas SPM yang menarik buat diri kita. Dengan mempunyai “mengapa” yang cukup besar, akan menyediakan kita dengan “bagaimana” yang diperlukan untuk mencapainya. Matlamat besar ini, walaupun tidak mudah untuk dicapai, namun akan memberikan kepuasan pencapaian. Kepuasan pencapaian yang boleh dirangkumkan melalui kisah aku seorang graduan.