Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKUALA TERENGGANU, 15 Jun 2025 – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil langkah segera dan berhemah dalam menangani isu tular melibatkan salah faham antara dua orang murid di sebuah sekolah di negeri ini, yang dikatakan mencetuskan insiden pergaduhan baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi JPNT, kejadian berkenaan telah disiasat secara menyeluruh dan disahkan berpunca daripada salah faham antara kedua-dua murid tersebut. Hasil siasatan turut disokong oleh laporan Pegawai Perhubungan Sekolah dari Polis Diraja Malaysia.
Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Buli dan Salah Laku yang sedang berkuat kuasa di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak JPNT telah mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat diberi keutamaan.
Pihak sekolah turut mengambil inisiatif untuk melawat murid yang menerima rawatan di hospital sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral. Selain itu, satu sesi pemuafakatan antara ibu bapa kedua-dua murid terbabit sedang diatur dan dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
“JPNT komited untuk menyelesaikan isu ini secara aman dan harmoni, demi kesejahteraan murid, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat. Pada masa yang sama, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap sebarang bentuk buli dan salah laku bagi menjamin persekitaran sekolah yang selamat, beradab dan kondusif,” ujar kenyataan tersebut.
JPNT turut menegaskan bahawa aspek kesejahteraan murid akan sentiasa menjadi keutamaan, dan sebarang isu disiplin akan terus ditangani secara berhemah, profesional serta berlandaskan nilai kasih sayang serta pendekatan pemulihan
Usaha seperti ini memperlihatkan tekad JPNT dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih beradab dan lestari, seiring dengan aspirasi pendidikan MADANI yang menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah murid.