Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Negeri Sembilan menerima pengiktirafan pada peringkat kebangsaan atas sumbangan kecemerlangan dalam memupuk budaya membaca serta meningkatkan literasi membaca dalam kalangan murid.
Hal ini demikian kerana program Kembara MDK di Seremban buat julung kalinya memberikan kelainan dengan melaksanakan Bengkel Jurulatih Majalah Dalam Kelas kepada 60 orang guru sekitar daerah Negeri Sembilan.
Demikian ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPN), YBrs. Tuan Mohd Aiman Abdoll Aziz yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, YBrs. Puan Khalidah Omar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya 2, pada hari ini.
Menurut beliau, penganjuran program Kembara MDK di Seremban pada kali ini dilaksanakan secara besar-besaran sebagai satu usaha untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) SSTP, khususnya dalam memperkasakan penggunaan bahan bercetak di sekolah.
“Program Kembara ini diharap dapat membantu pelajar memperoleh manfaat dan ilmu untuk digunakam dalam pembelajaran di sekolah,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia menyifatkan bahawa program MDK di Seremban ini menjadi tumpuan oleh JPN Negeri Sembilan untuk melaksanakan bengkel khas untuk pelatih guru, iaitu Bengkel Jurulatih Program Kembara Majalah Dalam Kelas.
“MDK Seremban merupakan satu-satunya negeri yang bakal melaksanakan program Kembara MDK di seluruh daerah di Negeri Sembilan dengan kerjasama daripada JPN Negeri Sembilan”, ujar beliau sewaktu majlis penutupan program Kembara MDK.
Beliau juga menambah bahawa progam MDK Negeri Sembilan pada kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai Program Majalah Dalam Kelas (MDK) peringkat kebangsaan.
Selain itu, program ini juga turut dimasukkan dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024 – 2030 di bawah sasaran petunjuk prestasi DBP melalui Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan dan Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan.

Terdahulu, program MDK melibatkan majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa telah dijalankan secara serentak di Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban Jaya 2 bagi pelajar sekolah rendah, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 2 bagi pelajar sekolah menengah.


Bagi MDK Dewan Pelajar, sebanyak 65 murid dan 20 guru dari 20 buah sekolah telah menyertainya, manakala bagi MDK Dewan Siswa pula menghimpunkan sebanyak 104 orang pelajar dan 36 guru dari 43 buah sekolah di daerah Seremban.
Pada masa yang sama, warga JendelaDBP berkesempatan mewawancara tiga guru pengiring bagi sekolah rendah di daerah Seremban untuk berkongsi pandangan mengenai pelaksanaan program Kembara Majalah Dalam Kelas bagi peringkat kebangsaan.
Wawancara pertama, Puan Sutasini a/p Sivagnanam dari Sekolah Dato Akhir Zaman berpendapat bahawa program MDK ini sangat membantu anak murid beliau dalam penguasaan kosa kata bahasa Melayu.
“Program MDK ini memberikan galakan dan dorongan untuk anak murid saya terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sewaktu menggunakan majalah Dewan Pelajar,” jelas beliau.

Sementara itu, wawancara kedua pula melibatkan Puan Norasyikin Abdul Halim dari Sekolah Rendah Kebangsaan Mendum, beliau berpandangan bahawa program ini merupakan satu inisiatif program kerajaan yang dapat memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul.
“Program Kembara Majalah Dalam Kelas ini menerusi majalah Dewan Pelajar khususnya dapat meningkatkan kefahaman dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid saya. Saya juga berharap agar program ini terus mendapat sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat demi memartabatkan bahasa Melayu.”

Yang turut hadir dalam program ini ialah Pengetua SMK Seremban Jaya 2, Tuan Haji Mohamad Haji Mohamad Nor; Guru Besar SK Seremban Jaya 2, Encik Shahrizal Rauf; Pengetua SMK Seremban Jaya, Encik Mohd Said Mohd Kasim; Pengarah DBP Wilayah Tengah; Puan Nurul Julia Alani Henry, Timbalan Ketua Editor 2 Bahagian Majalah, Puan Siti Norsuhaila Samsudin; Ketua Akademi DBP, YBrs. Puan Mariati Josepha Mustafa, barisan guru dan pelajar.