Diterbitkan pada 24 Jun 2025, 19:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kemenangan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas kelab bola sepak Sri Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia hujung April 2025, menandakan berakhirlah sudah musim panjang Liga Malaysia bagi musim 2024-25. Kemenangan kelab selatan tanah air itu menjadikan kelab itu sukar digugat oleh mana-mana kelab bola sepak lain di Malaysia apabila berjaya memenangi kesemua kejuaraan utama Liga Malaysia bagi musim 2024-2025.

JDT memulakan kempen Liga Malaysia 2024-25 dengan memenangi perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah. JDT selaku juara Liga Super 2023 menentang Selangor FC selaku naib juara Liga Super 2023. Namun begitu, perlawanan itu tidak dilangsungkan seperti yang dijadualkan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. Selangor FC telah menarik diri daripada perlawanan itu atas sebab solidariti kepada pemain kelab itu, Faisal Halim yang bertarung dengan nyawa akibat insiden disimbah asid ketika bersiar-siar di salah sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Selangor. Selain itu, pihak Selangor FC turut menggunakan alasan keselamatan para pemain mereka sebagai antara punca penarikan diri itu.

Oleh itu, JDT diberikan kemenangan percuma 3-0 sekali gus merangkul piala itu buat ketujuh berturut-turut. Kecemerlangan JDT tidak terhenti di situ apabila kelab selatan tanah air itu berjaya memenangi Piala FA apabila menewaskan Selangor FC dengan jaringan besar 6-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. JDT juga berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super bagi musim 2024-2025, sekali gus melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-juara Elit AFC (ACLE) bagi musim 2025-2026. JDT juga berjaya memenangi Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut setelah menewaskan Sri Pahang FC di perlawanan akhir dengan jaringan 2-1.

Kejayaan ini telah meletakkan JDT pada satu aras yang sukar digugat oleh mana-mana kelab di Malaysia untuk tempoh yang panjang. Kestabilan ekonomi dan pengurusan yang cekap telah menjadikan JDT mungkin lima langkah ke hadapan berbanding dengan kelab lain di Malaysia. Kelab lain perlu segera bertindak agar mereka tidak ketinggalan jauh daripada apa-apa yang telah dilakukan oleh JDT itu.

Menuju ke musim baharu Liga Malaysia 2025-2026 yang akan bermula pada bulan Ogos 2025, seperti musim liga sebelumnya, pihak Malaysia Football League (MFL) telah mengarahkan semua kelab untuk menghantar permohonan bagi mendapatkan lesen kebangsaan. Lesen ini merupakan syarat kepada setiap kelab untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim baharu nanti. Kegagalan kelab untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan akan menyebabkan lesen mereka ditarik dan tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super 2025-2026.

Senarai 13 Kelab yang menyertai Liga Super 2025/2026.

Sepanjang musim 2024-2025, beberapa kelab bola sepak telah mengalami masalah kewangan dalaman kelab masing-masing. Ada beberapa kelab yang tidak mampu membayar gaji para pemain untuk beberapa bulan, menyebabkan banyak pemain kelab tersebut angkat kaki dan beralih ke kelab lain. Antara kelab yang dilaporkan gagal membayar gaji pemain ialah Kedah Darul Aman FC, Kuala Lumpur City FC, Sabah FC dan Kelantan Darul Naim FC. Pada penghujung musim pula, beberapa kelab bola sepak turut dilaporkan mengalami masalah yang sama, iaitu Perak FC dan Sri Pahang FC.

Masalah ini perlu dipandang serius oleh semua pihak sama ada oleh pihak MFL mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana terus berlaku saban musim. Dasar penswastaan liga Malaysia yang telah dilaksanakan pada tahun 2020 dilihat telah memberikan impak besar kepada pengurusan kelab-kelab bola sepak. Majoriti kelab bola sepak di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pengurusan kelab secara 100 peratus tanpa campur tangan daripada kerajaan negeri. Beberapa kelab juga belum bersedia untuk memisahkan identiti kelab bola sepak dengan persatuan bola sepak negeri, menyebabkan transisi itu gagal dan telah mengganggu proses penswastaan itu sehingga kini.

Pada awal proses penswastaan itu, hanya JDT dilihat bersedia. Hal ini demikian kerana kelab itu telah memulakan proses penswastaan itu sejak tahun 2013 ketika diambil oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim. Kemudian, barulah kelab lain mula menunjukkan kestabilan seperti Selangor FC, Kuching FC, Terengganu FC dan Penang FC.

Selain masalah pentadbiran yang tidak cekap, kelab-kelab bola sepak Malaysia juga dilihat berbelanja dengan tidak mengikut kemampuan kantung kelab masing-masing. Bagi musim 2024-2025, pihak MFL telah membenarkan setiap kelab untuk mendaftarkan pemain import sehingga 10 pemain tetapi dengan syarat hanya enam pemain yang dibenarkan beraksi di atas padang. Beberapa kelab cuba memenuhi kuota yang dibenarkan bagi bersaing dengan kelab-kelab gergasi Malaysia, iaitu JDT, Selangor dan Terengganu FC. Ternyata tindakan itu telah memakan diri apabila kelab-kelab itu gagal untuk membayar gaji para pemain import. Kedudukan ini juga turut berpunca dengan kadar kehadiran penonton ke stadium yang merosot sekali gus menjejaskan pendapatan pihak kelab. Kemerosotan kehadiran penonton ini telah menyebabkan hasil kutipan jualan tiket terjejas teruk.

Antara faktor yang dilihat menjadi penyebab kepada penurunan mendadak kehadiran penonton itu termasuklah nilai komersial Liga Malaysia itu sendiri yang semakin menurun. Rata-rata peminat bola sepak Malaysia sudah mengetahui keputusan pada penghujung liga apabila tiada kelab lain yang mampu memberi saingan kepada JDT dalam setiap kejohanan yang dilangsungkan. Hal ini menyebabkan para penonton tidak teruja ke stadium berbanding dengan beberapa tahun yang lalu apabila semua kelab mempunyai peluang untuk memenangi liga atau piala yang dipertandingkan.

Selain itu juga, kekangan ekonomi semasa yang tidak menentu turut menjadi faktor. Dengan peningkatan kos sara hidup sekarang, para peminat bola sepak Malaysia perlu mencatu dan memikirkan keperluan lain yang lebih mendesak berbanding dengan  mengeluarkan wang untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium. Selain membayar tiket masuk ke stadium, seseorang itu perlu memikirkan kos-kos lain seperti kos pengangkutan, makan dan minum untuk datang ke stadium. Penonton lebih selesa untuk menonton aksi perlawanan di kaca televisyen berbanding menyaksikan sendiri di stadium.

Faktor kekurangan perlawanan bagi beberapa kelab turut menjadi antara faktor penurunan kehadiran penonton ke stadium. Sepanjang liga musim 2024-2025 yang bermula dari bulan Mei 2024 hingga April 2025, boleh dikatakan minimum setiap kelab akan beraksi hanya satu perlawanan dalam sebulan. Jika kelab itu berjaya beraksi dengan lebih jauh dalam aksi Piala FA atau Piala Malaysia, sesebuah kelab itu akan dapat beraksi sehingga 3 perlawanan bagi satu bulan. Kekurangan perlawanan dan perubahan jadual perlawanan ini telah menjadikan penonton sendiri tidak peka dengan perjalanan liga.  Lama-kelamaan, penonton mula bosan dan beralih kepada aksi liga bola sepak Eropah terutamanya Liga Perdana Inggeris yang lebih kompetitif dan rancak.

Menuju ke liga baharu bagi musim 2025-2026 yang bakal bermula pada bulan Ogos 2025 nanti, pihak MFL telah mengumumkan sebanyak 14 kelab telah diberikan lesen kebangsaan. Dua gergasi utara, KDAFC dan Perak FC tidak diberikan lesen kebangsaan kerana kegagalan kelab itu menyediakan dokumen yang diperlukan selain masalah tunggakan gaji yang menghantui dua kelab itu. Dua kelab dari Liga Semi-Pro A1 Malaysia bagi musim 2024-2025, iaitu Imigresen FC dan Melaka FC telah diberikan lesen kebangsaan dan seterusnya layak beraksi dalam saingan liga tertinggi bola sepak Malaysia. Kelab bola sepak dari Negara Brunei Darussalam, Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC telah dijemput untuk menyertai liga Malaysia kali ini. Sebelum ini, kelab ini pernah menyertai Liga Malaysia pada musim 2005 hingga 2008 sebelum menyertai Liga Singapura pada tahun 2009. Kehadiran DPMM FC ini dilihat mampu melonjakkan semula nilai komersial Liga Malaysia yang semakin suram dan memberi peluang kepada pemain-pemain Malaysia yang kehilangan kelab untuk mendapatkan kelab.

Namun begitu, pada 20 Jun 2025, kelab Sri Pahang FC telah mengumumkan penarikan diri walaupun telah diberikan lesen kebangsaan. Khabar angin penarikan diri kelab itu telah berterbangan sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2025 lagi. Hal ini disebabkan oleh ketidakmampuan kewangan kelab itu untuk menguruskan perjalanan kelab bagi musim baharu itu. Dengan penarikan diri kelab itu memaksa Liga Malaysia bersaing dengan 13 kelab seperti pada musim 2024-2025.

Melihat pada perkembangan yang tidak baik ini, MFL perlu bertindak dengan lebih aktif lagi bagi mengukuhkan kembali jenama Liga Malaysia. Dengan kelab bola sepak gergasi mula hilang satu persatu, hal ini tidak memberikan petanda yang baik kepada perkembangan Liga Malaysia untuk jangka masa panjang. Jika trend ini berterusan dalam musim baharu ini, tidak mustahil kedudukan Liga Malaysia akan terancam dan seterusnya terkubur pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi