Diterbitkan pada 25 Jun 2025, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

JakartaEnforcement, Leadership and Management University (ELMU) memperkukuh usaha pengantarabangsaan dan pengembangan pasaran pendidikannya di rantau ASEAN menerusi kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam.

Delegasi yang diketuai oleh Presiden dan Naib Canselor ELMU University, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, disambut oleh Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Puan Yang Terutama Datin Sarah Al Bakri Devadason bersama-sama Kaunselor (Sosiobudaya) ASEAN, YBrs. Puan Khairiah Kamarudin.

Dalam pertemuan itu, ELMU memperkenalkan pendekatan pendidikan uniknya yang menggabungkan aspek penguatkuasaan, kepimpinan dan pengurusan sebagai asas kurikulum.

Kiri ke kanan:  Pejabat Perhubungan Antarabangsa ELMU University, Yahurin Mohd Yassin; Naib Presiden, Jualan Korporat dan Perhubungan Perniagaan, ELMU University,  Faiza Rosly; Naib Canselor ELMU University, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed; Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Puan Yang Terutama Datin Sarah Al Bakri Devadason; Dekan, Fakulti Sains Penyiasatan ELMU, Prof. Dr. Pakhriazad Hassan Zaki; Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM), Teknologi Geospatial, UPM, Khairiah Kamaruddin; Kaunselor (Sosio-Budaya), Kdr. Prof. Gs.Ts. Dr. Mohd Hasmadi Ismail.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada strategi ELMU untuk memperkukuh kehadirannya di Indonesia dan rantau ASEAN.

Delegasi ELMU turut mengadakan kunjungan ke Pejabat Education Malaysia Indonesia (EMI) dengan mengadakan perbincangan bersama-sama Menteri Penasihat (Pendidikan) merangkap Pengarah EMI, YBrs. Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri. Perbincangan tersebut  menyentuh tentang strategi promosi dan potensi kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi serta industri yang berkaitan dengan pendidikan di Indonesia.

“Lawatan ini selari dengan aspirasi ELMU untuk memperluas jenama melalui program rentas sempadan, pertukaran akademik dan latihan dalam bidang keadilan jenayah, tadbir urus, keselamatan siber serta dasar awam,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ELMU Group, YBhg. Professor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed.

Delegasi ELMU turut bertemu dengan Penasihat Kedutaan (Kastam) dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, YBrs. Encik Nor Azuan Jaafar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi membincangkan pelaksanaan program latihan industri yang ditawarkan oleh ELMU.

Turut menyertai delegasi ELMU ialah Naib Presiden Jualan Korporat dan Perhubungan Perniagaan, YBrs. Cik Faiza Rosly;  Dekan Fakulti Sains Penyiasatan, YBrs. Prof. Dr. Pakhriazad Hassan Zaki dan Pejabat Perhubungan Antarabangsa ELMU, YBrs. Puan Yahurin Mohd Yassin.

Kredit Foto: Mohamad Letfee Ahmad
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi