Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam menerima kunjungan daripada Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK), Alumni (AnNadi SMAPK) bagi menjalin kerjasama strategik antara kedua-dua belah pihak, semalam.

Inisiatif ini bertujuan untuk membangunkan semula budaya sukan yang sihat dan kompetitif dalam kalangan pelajar SMAPK, dengan bimbingan pakar terlatih dalam bidang.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie,
FSR, UiTM berpengalaman selama 30 tahun dan mempunyai pakar yang terlatih dan bertauliah serta bersedia untuk menyumbang kepakaran yang diperlukan oleh SMAPK.
Selari dengan pepatah Arab: Al-‘Aql al-Salīm fī al-Jism al-Salīm yang bermaksud badan cergas, otak cerdas, SMAPK merupakan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang menekankan kecemerlangan menyeluruh dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Bagi membentuk pelajar yang seimbang dan holistik, para pelajar SBP bukan hanya cemerlang dalam akademik, aspek pembangunan jasmani melalui sukan dan aktiviti kokurikulum juga perlu diberikan perhatian penuh.
Selaku AJK PIBG merangkap Pengerusi Koperasi AnNadi Berhad, iaitu koperasi alumni SMAPK, En. Aizac Ismail menyuarakan hasrat beliau,
“PIBG dan Pertubuhan Alumni SMAPK (AnNadi) yakin bahawa jalinan kerjasama ini bakal menjadi titik permulaan kepada satu anjakan paradigma dalam landskap pembangunan sukan di SMAPK.”
Beliau turut mengatakan bahawa dengan bimbingan dan kepakaran dari FSR UiTM, pelajar SMAPK bukan sahaja mampu berdiri di podium kejohanan, malah mampu mengimbangi kecemerlangan akademik dan sahsiah secara menyeluruh.
Pelbagai aspek turut disentuh antaranya pengurusan, fasiliti, kesediaan pihak terlibat dan pelibatan pemegang taruh dalam memastikan agenda yang digariskan tercapai.

Majlis diakhiri dengan respons positif hasil kesepakatan bersama dalam usaha membantu SMAPK melangkah ke tahap yang seterusnya, diikuti sesi penyerahan cenderamata kepada FSR, UiTM Shah Alam.
Turut hadir termasuklah mantan Dekan FSR, Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor; Pensyarah FSR, Encik Nagoor Meera Abdullah, serta Pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM, Prof. Madya Dr. Khairul ‘Ayuni Mohd Kharuddin.