Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak kebelakangan ini, muncul satu fenomena baharu, iaitu mengemis secara digital dalam media sosial. Fenomena ini digerakkan melalui tabung kutipan derma atau sumbangan atas pelbagai alasan seperti bantuan kepada mangsa banjir atau kebakaran, bayaran rawatan untuk pesakit, bantuan belanja berbuka puasa, bayaran lembu atau kambing korban dan bantuan bayaran saman sivil. Dengan menangguk di air yang keruh, pengemis digital cuba mengambil kesempatan ke atas sifat pemurah dan prihatin kebanyakan rakyat di negara ini yang sentiasa bersedia menghulurkan derma atau sumbangan kepada golongan yang memerlukannya.
Malah, ada yang menjadikan populariti diri sebagai “peluang” untuk meraih kepentingan atau keuntungan peribadi dengan menjadikan media sosial sebagai platform mengutip derma atau sumbangan secara terbuka. Keterujaan untuk mengemis dalam media sosial semakin ketara apabila melihat ramai individu lain yang berjaya meraih bukan sahaja puluhan dan ratusan ribu ringgit, malahan jutaan ringgit dalam misi mengutip derma atau sumbangan mereka.
Namun begitu, malangnya niat sebenar “mengemis” dalam media sosial adalah untuk mengeksploitasi sifat fitrah manusia yang mudah tersentuh perasaannya dengan kesusahan dan penderitaan yang dialami orang lain, lantas memberikan derma atau sumbangan. Perasaan sesetengah manusia yang mudah tersentuh telah menerbitkan rasa simpati dalam sanubari menyebabkan sesetengah masyarakat membuat keputusan impulsif tanpa berfikir panjang.
Akibatnya, mereka menjadi mangsa penipuan pengemis digital yang bertindak menyalahgunakan dan menyeleweng sumbangan atau derma yang diberikan. Sewajarnya mereka yang menggunakan populariti untuk melancarkan sebarang tabung kutipan derma atau sumbangan perlu berpegang kepada integriti agar tidak mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberi orang ramai. Mereka perlu menjaga amanah dan kepercayaan yang diberikan disampaikan dengan sebaik-baiknya dan sejujur-jujurnya mengikut tujuan yang dilakukan. Di samping itu, aspek ketelusan juga perlu diberikan penekanan dan tidak diabaikan dengan menunjukkan bukti penyerahan kutipan derma atau sumbangan yang diterima kepada pihak yang disasarkan. Dalam hal ini, pengemis digital perlu berkongsi audit bagi setiap derma atau sumbangan yang diterima supaya jelas tidak diselewengkan atau disalahgunakan.
Ingatlah bahawa setiap ringgit dan sen yang diambil bagi kegunaan peribadi akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Ibaratnya seperti seseorang memberikan kurma untuk tujuan berbuka puasa, maka hendaklah digunakan kurma tersebut hanya untuk berbuka puasa sahaja seperti kehendak orang yang memberi dan tidak seharusnya menggunakannya untuk tujuan yang lain. Begitulah juga apabila melibatkan derma atau sumbangan berupa wang. Oleh itu, berhati-hatilah ketika menguruskan wang derma atau sumbangan orang ramai. Perlu ada keteguhan hati agar tidak “gelap mata” dengan banyaknya wang derma atau sumbangan yang diterima.
Terdapat panduan yang telah digariskan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak tentang perkara ini. Maka itu, pengemis digital seharusnya mengikuti garis panduan tersebut. Garis panduannya ialah:
1. Hukum menggunakan wang derma atau sumbangan orang ramai untuk tujuan kebaikan seperti promosi adalah harus jika mendapat keizinan daripada penderma atau penyumbang.
2. Keizinan daripada penderma atau penyumbang boleh diperoleh dengan cara pihak yang mengumpul derma atau sumbangan menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat untuk menggunakan sebahagian daripada wang derma atau sumbangan bagi membayar kos promosi atau iklan. Keizinan daripada penderma atau penyumbang boleh juga diperoleh melalui pelbagai cara lain yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian daripada wang kutipan tersebut untuk membayar kos promosi atau iklan.
3. Jumlah wang kutipan yang digunakan bagi tujuan promosi atau iklan hendaklah sekadar keperluan sahaja, di samping turut juga memastikan bahawa wang tersebut digunakan dengan cermat dan memberikan kebaikan kepada penderma atau penyumbang.
Sebagai kesimpulan daripada tiga garis panduan di atas, hukum mengambil wang bagi tujuan lain daripada aktiviti bantuan atau bayaran yang digerakkan atau dijalankan tanpa keizinan daripada penderma atau penyumbang adalah haram. Perkara yang dilakukan oleh sesetengah pengemis digital yang mengambil komisen dengan peratusan yang tinggi daripada kutipan derma atau sumbangan orang ramai, jelas merupakan satu kesalahan dari segi hukum. Begitu juga dengan perkara yang dilakukan sesetengah pengemis digital yang menggunakan lebihan wang derma atau sumbangan yang diterima daripada orang ramai yang melebihi jumlah yang diperlukan untuk tujuan kos pengurusan aktiviti tersebut.
Selain menggunakan populariti diri dalam media sosial sebagai modus operandi untuk mengemis secara digital, terdapat juga mereka yang menggunakan pengaruh populariti figura lain. Taktik penipuan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan cara ini semakin bermaharajalela, memanipulasi kecanggihan teknologi demi meraih simpati dan prihatin orang ramai.
Bayangkan jika setiap figura itu mempunyai 200,000 pengikut dalam media sosial dan setiap daripada mereka menderma seringgit seorang? Mereka dilihat mudah sahaja meraih sebanyak RM200,000 berjaya dikutip menggunakan taktik penipuan licik ini. Mereka mudah memanipulasikan rasa simpati dan prihatin rakyat Malaysia yang sememangnya dikenali bersifat pemurah serta ingin membantu golongan susah menyebabkan penipuan menggunakan alasan derma atau sumbangan menjadi modus operandi popular.
Apatah lagi, rekod menunjukkan jumlah pengguna media sosial di negara ini mencecah 28.68 juta orang, seterusnya menjadikan platform itu sebagai jalan mudah untuk penipu mencari mangsa. Jumlah ini adalah bersamaan dengan 83.1 peratus daripada populasi keseluruhan rakyat Malaysia iaitu 34.5 juta orang. Perkembangan pesat penggunaan media sosial di Malaysia jelas mengundang peningkatan dalam modus operandi ini.
Selain capaian terhadap pengguna yang ramai, media sosial juga mampu memberikan kelebihan kepada penipu untuk menyembunyikan identiti mereka sambil memperdaya mangsa. Kecanggihan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan, membolehkan penipu mencipta atau menyunting iklan palsu menggunakan gambar dan video figura terkenal untuk mengaburi mangsa. Ternyata kecanggihan teknologi telah disalahgunakan oleh segelintir pengemis digital sebagai platform untuk meraih simpati dan prihatin bagi tujuan menipu secara terbuka dan berterusan.
Dalam hal samar-samar seperti ini, masyarakat disarankan lebih berhati-hati ketika mahu menderma atau menyumbang secara digital. Jangan mudah terpengaruh dengan sebarang kandungan berunsurkan derma atau sumbangan sebelum menyemak melalui sumber lain yang lebih diyakini kesahihannya. Masyarakat perlu lebih bijak dan waspada dalam menghulurkan bantuan berupa wang agar simpati dan prihatin kita tidak dimanipulasikan menjadi platform sumber pendapatan lumayan sesetengah pengemis digital untuk kekayaan peribadi. Dalam hal ini, pendidikan literasi digital dalam kalangan masyarakat amat penting untuk ditekankan. Selain itu, perlu ada sikap tidak mempercayai sesiapa pun apabila melibatkan derma atau sumbangan.
Dari segi penguatkuasaan undang-undang terhadap fenomena ini, hal ini semakin mencabar kerana pelaku bijak menyembunyikan identiti dan menggunakan akaun palsu. Selain itu, mangsa juga keberatan untuk membuat laporan polis dengan anggapan bahawa mereka telah pun menjalankan “tanggungjawab” untuk menderma atau menyumbang. Sama ada derma atau sumbangan mereka sampai atau tidak, hal tersebut merupakan urusan antara sang pelaku dengan Allah SWT. Dalam kebanyakan kes lain, mangsa yang tertipu tidak membuat laporan polis mungkin disebabkan jumlah kecil kerugian yang dialami dan tidak berbaloi untuk menuntut ganti rugi.
Fenomena pengemis digital ini oleh badan bukan kerajaan, institusi dan juga orang perseorangan yang menggunakan aktiviti kebajikan sebagai asas modus operandi mereka dijangka akan terus berleluasa, disebabkan tidak ada pemantauan rapi dijalankan ke atas kegiatan tersebut mahupun garis panduan undang-undang yang jelas, sekali gus membuka ruang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah untuk mengambil kesempatan.
Pengemis digital melihat kutipan derma atau sumbangan sebagai cara mudah mendapatkan wang tanpa perlu bekerja keras. Tidak mustahil orang ramai akan hilang kepercayaan kepada badan amal dan usaha kebajikan yang dilakukan jika lebih banyak pembongkaran modus operandi mereka didedahkan. Sebelum ini, orang ramai sememangnya tidak tahu yang derma atau sumbangan mereka telah dieksploitasi sehinggalah perkara tersebut terbongkar dalam media massa.
Fenomena pengemis digital ini sebenarnya sudah berakar umbi sejak sekian lama. Kutipan derma atau sumbangan tidak menjadi kesalahan jika disalurkan secara telus kepada golongan sasar yang memerlukannya seperti tujuan asal aktiviti dilakukan. Perkara yang menjadi isu kritikal ialah apabila disalahgunakan atau diselewengkan. Tambahan pula, penyalahgunaan atau penyelewengan tersebut melibatkan jumlah wang yang besar. Sebagai contoh, jika kutipan derma atau sumbangan yang diterima itu sebanyak RM500,000 dan mereka hanya menyalurkan 10 peratus kepada golongan sasar atau yang memerlukannya, selebihnya baki “dihalalkan” dengan menjadi hak mereka. Justeru, bagi mengatasi masalah ini, perlu ada garis panduan undang-undang khusus bagi mengawal selia aktiviti ini sebelum menjadi bertambah parah.