Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKem badminton Malaysia sekarang sedang giat mempersiapkan para pemain untuk menyertai kejohanan badminton dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2025. Kejohanan tahunan ini bakal dianjurkan di Adidas Arena, Paris, Perancis dari 25 Ogos hingga 31 Ogos 2025. Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan, iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Untuk edisi ke-29 ini, sebanyak 416 peserta akan bertanding dengan pecahan 64 peserta untuk kategori perseorangan lelaki, 64 peserta untuk kategori perseorangan wanita, manakala 96 peserta yang melibatkan 48 pasangan untuk kategori beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran. Setiap peserta dipilih berdasarkan kedudukan ranking yang dikeluarkan oleh pihak BWF.
Malaysia bakal diwakili oleh 21 pemain, iaitu dua pemain perseorangan lelaki, dua pemain perseorangan wanita, empat pasangan beregu lelaki, dua pasangan beregu wanita dan tiga pasangan beregu campuran. Pemain sensasi negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao akan bertanding dalam kategori perseorangan lelaki, manakala Goh Jin Wei dan Letshanaa Karupathevan akan bertanding dalam kategori perseorangan wanita.
Pasangan beregu sensasi negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin serta pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan menggalas cabaran negara dalam kategori beregu lelaki bersama-sama pasangan Man Wei Chong dan Tee Wai Kun serta pasangan beregu Junaidi Arif dan Yap Roy King.
Pasangan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan serta Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing akan bertanding dalam kategori beregu wanita. Dalam kategori beregu campuran pula, dua pasangan terbaik negara, iaitu pasangan suami isteri Goh Soon Huat dan Shevon Jamie Lai serta Chen Tan Jie dan Toh Ee Wei. Kedua-dua pasangan ini akan diiringi oleh pasangan Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin.
Bermula daripada edisi pertama yang dilangsungkan pada tahun 1977 di Malmo, Sweden, Malaysia hanya pernah sekali mengungguli kejohanan ini. Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi kejohanan badminton dunia BWF pada tahun 2022. Kejohanan ini dilangsungkan di Tokyo, Jepun. Dalam perlawanan akhir, pasangan beregu ini telah bertemu dengan pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan dan Hendra Setiawan dengan kemenangan melalui mata 21-19, 21-14. Perlawanan akhir ibarat ulangan kepada perlawanan penentuan pingat gangsa badminton Sukan Olimpik 2020 Tokyo yang turut dimenangi oleh Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Pasangan ini menjadi sandaran utama negara untuk mengungguli kejuaraan buat kali kedua setelah terkandas pada pusingan separuh akhir pada tahun 2023. Dalam kejohanan yang dilangsungkan di Copenhagen, Denmark itu, pasangan Malaysia ditewaskan oleh pasangan Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae dengan mata 23-21, 21-13. Pasangan beregu lelaki Korea Selatan itu kemudiannya menjuarai kejohanan dunia setelah menewaskan pasangan tuan rumah, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen dalam perlawanan akhir.
Pada awal penganjuran kejohanan dunia ini, kejohanan ini dianjurkan pada setiap tiga tahun, iaitu pada tahun 1977 dan 1980. Bermula tahun 1983, kejohanan ini dilangsungkan pada setiap dua tahun hingga tahun 2005. Bermula tahun 2006, kejohanan ini dilangsungkan secara tahunan melainkan tahun yang dianjurkan Sukan Olimpik seperti tahun 2020 (Sukan Olimpik ini dianjakkan ke tahun 2021 akibat pandemik COVID-19) dan 2024. Sepanjang sejarah penganjuran kejohanan ini, pasukan badminton China telah memenangi 70 kejuaraan pelbagai kategori.
Pemain perseorangan lelaki China, Lin Dan menjadi satu-satunya pemain badminton yang berjaya memenangi lima kali kejuaraan, iaitu pada tahun 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013. Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei menjadi lawan Lin Dan dalam dua perlawanan akhir kejohanan dunia itu pada tahun 2011 dan 2013. Malah, Datuk Lee Chong Wei menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang layak ke perlawanan akhir empat kali berturut pada tahun 2011, 2013, 2014 dan 2015 tapi dua kali tewas kepada Lin Dan dan seorang lagi pemain China, Chen Long.
Untuk edisi di Paris ini, harapan perseorangan lelaki diberikan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia. Namun begitu, melihat prestasi semasa, pemain itu dilihat sukar untuk memberikan saingan kepada pemain-pemain ternama yang lain bahkan beliau tidak disenaraikan 16 kedudukan teratas undian. Lee Zii Jia akan bertemu dengan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin dalam pusingan pertama. Jika berjaya menewaskan pemain Korea Selatan itu, Lee Zii Jia dijadualkan bertemu dengan pemain pilihan keempat kejohanan dari China, Li Shifeng. Li Shifeng perlu menewaskan pemain Jepun, Yushi Tanaka dalam pusingan pertama untuk mara ke pusingan kedua.
Pencapaian Lee Zii Jia dalam kejohanan dunia tidaklah memberangsangkan apabila tewas di pusingan ketiga dalam dua kejohanan sebelum ini pada tahun 2022 dan 2023. Maka, Lee Zii Jia tidak diletakkan harapan tinggi untuk memenangi kejohanan ini ditambah pula dengan prestasi tidak menentu beliau selepas Sukan Olimpik tahun lepas. Tanpa kehadiran pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dari Denmark, Viktor Axelsen yang menarik diri, persaingan terbuka kepada pemain-pemain seperti pemenang perseorangan lelaki kejohanan dunia tahun 2018 dan pilihan pertama kejohanan dari China, Shi Yuqi serta pemenang pingat perak Sukan Olimpik dan penyandang kejuaraan sebelum ni dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn untuk memenangi kejohanan kali ini.
Sudah tentunya, Malaysia meletakkan harapan besar kepada pemain-pemain beregu tidak kira beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran berdasarkan prestasi semasa. Selain pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin juga dilihat mampu memberikan sesuatu dalam kejohanan kali ini. Kejayaan pasangan ini memenangi tiga kejohanan badminton BWF Super Series pada tahun 2024 dan memenangi naib juara kejohanan akhir Jelajah Dunia BWF Super Series 2024 mampu memberikan tonik kepada pasangan ini untuk melakar kejutan sekali gus menjadi rakyat Malaysia kedua memenangi kejohanan dunia.
Dua pasangan beregu campuran negara, iaitu pasangan suami isteri Goh Soon Huat- Shevon Jamie Lai dan pasangan Chen Tan Jie dan Toh Ee Wei dilihat mampu juga untuk memberikan tentangan kepada beregu campuran dari China yang memonopoli kategori itu dalam kejohanan dunia. Kedua-dua pasangan beregu campuran Malaysia itu diletakkan sebagai pilihan keempat dan keenam kejohanan dunia kali ini, memberikan sedikit peluang dalam undian mereka baru-baru ini.
Diharapkan semua pemain Malaysia yang bertanding pada kali ini mampu untuk membutirkan kejuaraan buat rakyat Malaysia. Sementelah lagi, semua perlawanan akhir kejohanan badminton dunia kali ini akan dilangsungkan pada 31 Ogos 2025, Hari Kebangsaan Malaysia. Jika menang, ini akan menjadi hadiah buat negara Malaysia yang tercinta.