Diterbitkan pada 3 September 2025, 19:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Negara kita telah memasuki babak baharu dalam pembangunan yang berteraskan negara bangsa, iaitu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dengan orang Melayu sebagai penduduk teras, orang Cina dan orang India sebagai rakan kongsi sewarganegara sejak awal kemerdekaan pada tahun 1957, Orang Asli sebagai penduduk Bumiputera asal di Tanah Melayu dan seterusnya puluhan Bumiputera di Sabah dan di Sarawak yang sejak tahun 1963 menjadi mercu tanda penting kewujudan negara baharu apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Sewajarnya kita merafakkan kesyukuran yang tinggi ke hadrat Allah SWT atas limpah nikmat dan rahmat yang dikurniakan-Nya kepada kita sebagai rakyat negara yang merdeka dan berdaulat, dengan dambaan bahawa kita akan mencapai puncak kesatuan fikrah, cita-cita, semangat, persefahaman dan perpaduan yang seutuh-utuhnya demi keberdayaan negara.

Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara pada 25 Ogos 2025 lalu menandai babak baharu  dengan menyasarkan tempoh tahun 2026-2030 sebagai takah kesinambungan pelaksanaan Ekonomi MADANI yang telah diperkenalkan semasa Kajian Separuh Penggal RMK-12. Tumpuan RMK-13 berpaksikan tiga teras kerangka Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tatakelola yang baik, dengan penstrukturan semula ekonomi yang berlandaskan teknologi dan pembentukan sistem sosial yang utuh sebagai dua unsur penting.

Upaya menaikkan siling berkaitan erat dengan strategi mempercepat perubahan struktur ekonomi, khasnya ekonomi yang berasaskan penciptaan nilai, dengan aspirasi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi pada tahun 2023 dan antara 30 ekonomi terbesar dunia sesudah 10 tahun pelaksanaan Ekonomi MADANI. Prakarsa atau inisiatif menaikkan lantai pula menekankan peningkatan darjat hidup rakyat ke arah kehidupan yang wajar. Sementara itu, pemantapan tatakelola yang baik menumpukan perhatian kepada pengukuhan integriti dan akauntabiliti atau pertanggungjawaban serta peningkatan kecepakan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Sesuai dengan ambang permulaan RMK-13, pada hemat saya wajar kita memberikan tanggapan dan ulasan tentang kerangka falsafah dan pemikiran yang membingkai pelan rancangan ekonomi lima tahun itu supaya jelas pada semua pihak, terutama pihak pelaksana, tentang asas-asas yang melatari Ekonomi MADANI, dengan RMK-13 merupakan terjemahan dalam bentuk pelaksanaannya. Perkara itu penting kerana peruntukan RM611 bilion untuk pelaksanaan RMK-13 yang kelak akan dirincikan pengagihannya dalam belanjawan tahunan bukan semata-mata soal ekonomi yang berkaitan dengan kewangan.

Belanjawan dengan makna yang luas dan hakiki bukan semata-mata isu matlamat kewangan (financial goal) melainkan terkait akrab dengan matlamat holistik yang merangkum sosiobudaya, pendidikan, kebudayaan, alam sekitar dan seluruh sisi kehidupan bernegara. Dua perkara asas yang secara langsung berkaitan dengan tujuan memberikan tanggapan dan ulasan itu ialah konsep madani itu sendiri dan matlamat hakiki perencanaan ekonomi negara. Terlepas daripada keterikatan kepada ideologi semasa politik kenegaraan, pada hakikatnya konsep madani telah diasaskan oleh Rasulullah SAW di Madinah, kota yang untuk kali pertamanya menjelmakan corak kehidupan bertamadun yang holistik kerana berlangsungnya paduan kerohanian dan kehidupan duniawi, ilmu dan pemikiran sebagai teras dan keterangkuman atau inklusiviti masyarakat berbilang keturunan yang menghuni kota itu. Maka istilah madani, sebagaimana yang dihuraikan oleh Prof. Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas berkaitan rapat dengan kata Madinah dan juga al-din kerana masyarakat yang bertamadun dibingkai kehidupannya oleh agama. Maka prinsip pertama Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan menepati ciri asas negara madani. Istilah madani itu pula pertama kalinya diperkenalkan oleh bapa sosiologi dan historiografi Ibnu Khaldun pada abad ke-14M yang merujuk kepada masyarakat yang maju dalam keseluruhan aspek kehidupan seperti pemikiran, kerohanian, akhlak, dan kebendaan yang kesimpulannya  merujuk kepada masyarakat yang bertamadun (maju dan mampan pembangunan fizikalnya dan aspek kerohaniannya).

Dalam konteks negara Malaysia, konsep MADANI diterjemahkan dalam kerangka yang meliputi enam rukun, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Lapan bidang yang perlu didasarkan pada dasar awam “madani” enam rukun itu pula ialah ekonomi, kewangan, institusi, perundang-undangan, pendidikan, kebudayaan, kemasyarakatan, bandar dan desa. Penghayatannya mestilah berakar pada faham karamah insaniyyah atau kemuliaan insan, dengan pengertian negara yang manusiawi, telus dan Makmur, baik melalui amalan sedia ada atau kaedah baharu.

Persoalan besar yang patut menjadi asas muhasabah kita, sebagaimana yang dibangkitkan oleh seorang penulis Yasir Tarmizi dalam Risalah ABIM (22 Januari 2023) ialah adakah kita (pemimpin dan rakyat) negara ini insan madani atau, dengan tambahan saya, baru separa insan madani? Seandainya kita semua ialah insan madani, maka segala bentuk kebobrokan sosial, politik, pendidikan, kebudayaan, alam sekitar atau gejala-gejala (symptom) ke arah kebobrokan yang kian mencemaskan itu tidak wajar berlaku, atau jika berlaku, pada tahap yang amat minimum jika tidak mungkin sifar. Masalah sosioeknonomi seputar perpaduan, kemakmuran bersama, kesenjangan atau jurang antara negeri, antara bandar dan luar bandar, antara kelompok strata sosial kelas elit dan marhain, isu integrity, tatakelola dan rasuah, sebagai contoh, masih menjadi hambatan kepada terbinanya negara yang adil dan saksama serta bersendikan akhlak.

Isu Pendidikan

Masalah dalam ranah pendidikan seperti ketidakseimbangan penguasaan ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah, ketidakseimbangan penguasaan kemahiran kognitif, afektif dan psikomotor, dikotomi bidang ilmu dan penyempitan penguasaan ilmu yang merentas bidang, kebergantungan pada asas penarafan IPT  yang kurang tepat dan  kurang adil kepada nilai watan, bahasa negara dan pengiktirafan prestasi sarjana, tahap kemenjadian pelajar yang kurang bersepadu jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) dan tahap akhlak dan disiplin (yang terjelma dalam kes nasional  seperti kes buli yang mengakibatkan kematian), misalnya,  masih terus menjadi pusingan ganas atau menurut ungkapan di Indonesia “lingkaran setan” (vicious circle).

Politik dan Kebudayaan

Dalam ranah politik, kita menyaksikan bukan sahaja polemik malahan konfrontasi politik yang amat tajam antara sejumlah pendukung parti-parti politik dan kem-kem dalam parti sehingga merugikan negara dalam konteks hilangnya tumpuan perhatian kepada penggemblengan tenaga dan fikiran untuk membangun negara yang madani, yang menekankan soal adab, ilmu, nilai dan penyelesaian masalah secara rasional. Dalam bidang kebudayaan pula, meskipun Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) telah digubal pada tahun 1971 dan ditambah baik melalui Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) pada tahun 2021, kita masih menyaksikan kekaburan dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia meskipun telah merdeka 68 tahun.

Masalah Alam Sekitar

Dalam soal pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, negara kita masih berhadapan dengan masalah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam hal pengurusan sumber alam, keseimbangan ekosistem, perlindungan kesihatan manusia dan hak kehidupan haiwan. Tahap kelahapan dan kerakusan sejumlah manusia di negara ini yang diburukkan oleh kurang tegasnya penguatkuasaan pihak berkuasa mengakibatkan isu alam sekitar sukar diatasi.

Perkara di atas berkaitan rapat dengan falsafah dan matlamat perencanaan ekonomi negara, seperti rancangan lima tahun yang dalam konteks semasa ialah RMK-13 yang sedang kita bahaskan di dewan yang mulia ini. Oleh sebab ketara bahawa kita belum seluruhnya dan sepenuh-penuhnya menjadi insan madani, maka bertepatan bahawa RMK-13 dibahaskan dalam konteks membentuk insan dan masyarakat madani ke arah pemenuhan taraf negara yang makmur, diberkati dan diampuni Tuhan (Baldatun taiyibatun warabbaun ghafur, surah Saba`, ayat 15), iaitu rakaman sejarah tentang wujudnya kerajaan Saba yang bertahan selama ratusan tahun sebagai negara yang kaya, makmur dan pada waktu yang sama patuh taat kepada Tuhan. Enam ciri ketinggian tamadun Saba` sewajarnya menjadi teladan untuk pembangunan Malaysia MADANI yang dalam perbahasan ini merujuk kepada RMK-13 sebagai pengisiannya, iaitu:

  1. Kemajuan negara yang berasaskan ketakwaan tulen kepada Allah.
  2. Keutamaan kepada pembinaan sosial yang berasaskan ilmu dan keimanan.
  3. Kekuatan ekonomi berasaskan tauhid yang menjadi asbab keberkatan.
  4. Kekuatan pasukan keamanan negara dan kesetiaan yang tinggi kepada negara.
  5. Penguasaan teknologi yang tinggi untuk maslahah kehidupan.
  6. Pengutamaan kebajikan kepada rakyat.

Membingkai Ekonomi MADANI

Berasaskan kerangka falsafah dan pemikiran yang membingkai Ekonomi MADANI dan dalam konteks ini RMK-13 itu, maka kini saya beralih kepada cadangan untuk menangani isu-isu yang saya bangkitkan itu. Saya akan menyentuh sejumlah isu yang tercantum dalam TUMPUAN tertentu. Yang pertama ialah Tumpuan 3, iaitu Menyeimbangkan Kemajuan Ekonomi antara Wilayah dan Mengukuhkan Pembangunan Luar Bandar. Objektif yang berbunyi “Pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah dan kemajuan ekonomi luar bandar yang lebih terangkum bagi memastikan tiada kawasan yang tertinggal dalam arus pembangunan negara” jelas memenuhi aspirasi dan idealisme negara yang adil dan saksama kepada semua. Titik tumpuan yang mesti diberi perhatian oleh kerajaan ialah bahawa aspirasi dan idealisme itu benar-benar dipenuhi dalam pelaksanaan RMK-13.

Suara tidak puas hati yang mewakili wilayah Sabah dan Sarawak terus-menerus bergema di Parlimen, termasuk di Dewan Negara, tentang pemenuhan Perjanjian Malaysia 1964 (MA63). Walaupun tampak adanya usaha kerajaan Persekutuan memenuhinya secara bertahap, isu kesenjangan antara dua wilayah itu dengan negeri-negeri di Tanah Melayu masih belum beres. Selain itu, ketidakseimbangan antara negeri-negeri di Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia dalam pembangunan masih menjadi isu yang nyata.

Istilah negeri termaju, mundur dan termiskin, misalnya perlu dilihat sirna apabila RMK-13 dilaksanakan. Isu yang berkaitan dengan hak negeri dalam hal sumbangan wajib dan hak negeri seperi royalti minyak tampaknya terus-menerus menjadi isu yang ditimbulkan dalam hubungan antara negeri tertentu dengan kerajaan Persekutuan. Demikian juga kesenjangan antara kawasan bandar dengan luar bandar, antara golongan elit dengan golongan marhain, dan antara kaum masih menjadi mimpi sedih yang secara tersirat memang diakui dalam RMK-13 dan kita harapkan dapat dirungkai dalam pelaksanaan RMK-13.

Isu kedua berkaitan dengan Tumpuan 5: Memastikan Perkhidmatan Telus, Tangkas dan Tuntas. Tumpuan ini merupakan aku janji untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memantapkan pengurusan fiskal. Jangkaan yang dirakam cukup tinggi, seperti negara berada pada kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kedudukan 12 teratas dalam IMD World Competitiveness  Yearbook dan mengurangkan defisit fiskal di bawah 3% kepada KDNK.

Dalam kes rasuah, amat diperlukan kesungguhan memerangi rasuah kerana berdasarkan Laporan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, dua tahun berturut-turut pada tahun 2023 dan 2024 Malaysia berada pada kedudukan ke-57 dengan skor 50 mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Kerugian KDNK antara 2019-2023 akibat rasuah pula bersamaan dengan peruntukan Kerajaan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selama 28 tahun. Pada skala makroekonomi, kesan buruk rasuah di Malaysia sangatlah besar, yang memuncak dengan kerugian luar biasa berjumlah RM277 bilion dalam nilai keluaran ekonomi dalam tempoh antara 2019 hingga 2023.

Sebagai perbandingan, jumlah ini menyamai 28 tahun peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau hampir menyamai KDNK Johor dan Pulau Pinang sekali gus. Menangani rasuah sangat penting bagi menjaga kemakmuran negara dan membina masyarakat yang adil, saksama dan berakhlak mulia. Maka itu, aspek tatakelola yang baik, integriti dan antirasuah bukan sahaja mesti dilaksanakan bahkan seperti dalam ungkapan undang-undang “mesti dilihat sebagai dilaksanakan”. Tidak wajar ada pengecualian atas sebab apapun. Saya ingin menyarankan agar, di samping menambah baik semua inisiatif yang diperkenalkan, kerajaan, melalui SPRM perlu mengkaji dan menerapkan strategi negara-negara yang rendah kadar jenayah rasuahnya di dunia, seperti Denmark, New Zealand, Finland, Sweden dan Singapura. Negara-negara ini secara konsisten menduduki tangga teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di seluruh dunia.

Dalam kes kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, rekayasa melonjakkan komitmen dan amanah penjawat awam perlu digerakkan dengan terancang dan tegas agar isu kerenah birokrasi dan kelemahan sistem penyampaian perkhidmatan tidak terus berkumandang menjadi lagu yang membosankan sejak puluhan tahun silam. Prinsip ILTIZAM dalam Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan yang disebut dalam Tumpuan 5 diharapkan tidak tinggal menjadi iltizam.

Yang seterusnya ialah Tumpuan 7: Merekayasa Sistem Sosial Berteraskan Insan MADANI yang berfokus pada dua aspek, iaitu Pembentukan Negara Bangsa dan Reformasi Pendidikan. Bagi aspek yang pertama, banyak strategi dan inisiatif yang direncanakan yang pada hemat saya penting dan praktis. Namun beberapa isu ingin saya timbulkan. Di bawah “Memperkukuh Patriotisme dan Identiti Nasional”, inisiatif “Memantapkan khazanah warisan negara” memerlukan perancangan yang rapi dan pasti juga peruntukan kewangan yang cukup kerana banyak warisan negara yang sejak puluhan tahun terbiar dan tidak diangkat selayaknya sebagai warisan negara. Tapak-tapak sejarah, tapak geopark dan pelbagai warisan ketara dan warisan tidak ketara memerlukan inventorisasi yang tuntas untuk kemudian ditindaklanjuti.

Warisan Negara

Pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Kompleks Bangunan Abdul Samad Kuala Lumpur sebagai pusat warisan negara dialu-alukan dan saya menyarankan agar dilibatkan pakar-pakar dalam segala bidang tamadun dalam perancangan pusat warisan tamadun negara itu. Berkaitan dengan inisiatif itu juga, ingin saya sarankan agar Arkib Negara Malaysia menggerakkan usaha penubuhan Arkib Diraja, khasnya Arkib Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan penubuhan Arkib Diraja peringkat negeri yang diketuai oleh raja dengan daya usaha cawangan Arkib Negara peringkat negeri, dengan pertimbangan bahawa sistem pemerintahan negara kita ialah pemerintahan Raja Berperlembagaan; banyak dokumen dan artifak yang berkaitan tersebar di sana sini untuk disatukan di bawah Akta Arkib Negara Malaysia.

Pemartabatan Bahasa Kebangsaan

Satu isu lain yang ingin terus saya ulang ialah soal kemampanan bahasa negara, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk jati diri dan perpaduan, sebagai bahasa rasmi penggerak jentera pentadbiran negara, sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa segala ranah kehidupan bertamadun negara masih menjadi persoalan. Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh DBP sejak tahun 2013 menunjukkan bahawa bahasa Melayu sesudah 68 tahun merdeka masih belum betul-betul mampan sebagai bahasa negara. Nilai bahasa Melayu sebagai bahasa negara disebut di beberapa banyak tempat dalam Buku Dasar Perpaduan Negara tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenuhi “bangsa dan negara impian yang bersatu padu”, menurut ungkapan Prof. Ulung Datuk Samsul Amri Baharuddin. Selain itu, isu teks sahih yang berdasarkan teks dalam bahasa Melayu pun belum diselesaikan sehingga menimbulkan implikasi kepada tafsiran yang bermasalah di mahkamah.

Selain itu, isu yang perlu saya ulang ialah pentingnya kajian dan penerbitan daripada kewujudan puluhan ribu manuskrip Melayu lama dijadikan agenda negara dengan peruntukan yang cukup bagi tiga program utama, iaitu:

  1. Program pelatihan penyelidik muda manuskrip Melayu lama, terutama penguasaan Jawi klasik;
  2. Program kajian manuskrip Melayu lama dengan kaedah filologi yang meliputi ilmu watan dalam bidang keagamaan, ketatanegaraan, historiografi, undang-undang, perubatan, teknologi dan susastera;
  3. Penerbitan pelbagai bentuk terbitan bercetak dan elektronik daripada manuskrip Melayu lama.

Status yang ada kini memperlihatkan rentak yang amat perlahan dengan sekitar 200 terbitan daripada manuskrip Melayu lama berbanding dengan lebih 20 ribu teks yang ada. Di Pusat Manuskrip Kebangsaan Perpustakaan Negara Malaysia sendiri, daripada lebih 5,000 koleksi yang ada, baru sekitar 20 teks yang dikaji. Kerajaan perlu memperuntukkan dana khas untuk menjadikan program mengangkat manuskrip Melayu lama yang mewakili sejumlah ilmu watan sebagai agenda negara.

Diplomasi Budaya Malaysia

Di bawah inisiatif Memperkukuh Diplomasi Berkesan dan Imej Malaysia di Arena Antarabangsa, saya ingin mengajukan soalan kepada kerajaan, iaitu apakah langkah yang telah diambil sejak pengisytiharan Dasar Diplomatik Budaya pada bulan Disember 2021, yang tujuannya untuk mengangkat unsur-unsur kebudayaan negara sebagai satu daripada bentuk diplomatik lunak (soft diplomacy)? Negara jiran kita, Indonesia sejak puluhan tahun telah menggerakkan program diplomasi budaya melalui kedutaan besarnya di negara-negara utama dunia, khasnya melalui atase pendidikan dan kebudayaan dan hasilnya kini menyerlah dengan kebudayaan Indonesia mendapat sambutan dalam pengajian ilmiah dan program sosiobudaya sedunia melebihi pencapaian negara kita.

Dalam konteks promosi bahasa nasionalnya pula, kejayaan dicapai apabila pada tahun 2024 UNESCO mengiktiraf bahasa Indonesia sebagai salah satu bahasa rasmi persidangan badan dunia itu. Negara kita pula sejak sekitar satu dekad lalu telah menggantung program yang berpotensi mempromosi keunikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa, seperti Kursi Pengajian Melayu di Leiden, New Zealand, Korea Selatan dan terakhir di Republik Rakyat China, di balik perancangan untuk membuka Kursi baharu di Turki, di United Kingdom, di Kaherah, di Makkah/Madinah dan lain-lain. Sebagai orang yang dua kali diberi amanah oleh kerajaan sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di RRC, saya perlu mengulang sambutan positif negara berkenaan kepada bahasa dan tamadun negara kita dengan kini terdapat 17 buah IPT di negara itu yang menawarkan kursus ijazah, diploma dan kursus khas bahasa Melayu yang sekali gus mendatangkan pulangan ekonomi, di samping mengangkat tamadun negara pada peringkat antarabangsa.

Reformasi Pendidikan

Dalam aspek Reformasi Pendidikan, saya ingin mengingatkan bahawa reformasi pendidikan telah pun dilaksanakan sebagai transformasi besar-besaran di negara ini pada tahun 1987/1988, khasnya dengan pengisytiharan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) untuk kali pertamanya dalam sejarah pendidikan negara dan pelaksanaan kurikulum bersepadu (KBSR untuk sekolah rendah dan KBSM untuk sekolah menengah). Peristiwa penting itu berlaku pada zaman YAB Perdana Menteri sendiri ketika menjadi Menteri Pendidikan. Pada hemat saya, reformasi pendidikan yang dilaksanakan dalam rangka RMK-13 perlu memperlihatkan kesinambungan reformasi 1.0 itu sebagai mata rantai yang penting, terutama dalam konteks melahirkan pelajar bersahsiah seimbang dan bersepadu antara aspek ilmu, kemahiran, intelek, emosi dan akhlak.

Isu keberhasilan pendidikan, termasuklah kemenjadian murid dan pelajar banyak berkaitan dengan kegagalan atau kelemahan pengisian FPK dan kurikulum bersepadu itu. Rangka pembentukan insan dan masyarakat madani sebenarnya telah pun tercantum dalam FPK dan Kurikulum Bersepadu, yang menyatakan “FPK ialah dasar pendidikan Malaysia yang bertujuan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, melahirkan insan seimbang (intelek, rohani, emosi, jasmani) berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan, serta rakyat yang berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, dan bertanggungjawab untuk kesejahteraan diri dan negara.” Dengan waktu yang terbatas, isu-isu pendidikan di peringkat pendidikan tinggi yang telah saya sebut pada permulaan perbahasan ini perlu diberi perhatian dan tindak lanjut oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Keadilan dan Kesaksamaan Peluang

Isu terakhir yang ingin saya sentuh berkaitan dengan Tumpuan 9: Mencapai Keadilan Sosial dan Kesaksamaan Peluang. Pada dasarnya semua strategi dan inisiatif yang dikemukakan memenuhi gagasan keadilan sosial dan kemakmuran bersama dengan golongan sasar meliputi semua warganegara. Hal itu sebenarnya menepati semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang seringkali disalah anggap oleh sesetengah pihak kerana dikatakan hanya memberikan perhatian kepada sesuatu kaum, khasnya orang Melayu dan Bumiputera. Perkara 153 itu dengan jelas menyebut “tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi serta menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak (Bumiputera), dan pada masa yang sama menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.”

Dalam RMK-13 disebut secara eksplisti dan rinci pelan pembangunan untuk kaum Cina dan India, di sisi untuk kaum Melayu dan Bumiputera yang merangkum anak Negeri Sabah, Bumiputera Sarawak dan Orang Asli. Catatan ringkas saya ialah:

  1. Angka-angka yang mengujakan tentang sasaran pencapaian pada tahun 2030 perlu disusuli dengan pelaksanaan yang berkesan, agar tidak berulang kegagalan Dasar Ekonomi Baharu;
  2. Dalam pelaksanaan Prakarsa yang berkaitan dengan Tumpuan 9, perlu dipastikan tidak timbul sebarang perkara yang menimbulkan prasangka dalam kalangan warganegara, khasnya yang melibatkan sentiment kaum yang diakibatkan sebahagiannya oleh pelaksana program-program dalam RMk-13 yang tidak menghayati semangat Perkara 153 itu.

Disesuaikan daripada Teks Perbahasan RMK-13 oleh YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang bin Sariyan bersempena dengan Mesyuarat Ke-2, Penggal Ke-15 Dewan Negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi