Diterbitkan pada 24 September 2025, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

”Alangkah bagusnya jika kita boleh datang ke sini (Palestin) dengan 20 buah bot serentak. Israel memang boleh hentikan sebuah atau dua buah bot, menahan bot yang ketiga atau halang bot keempat dan mereka boleh bermain muslihat dengan melibatkan pihak berkuasa untuk sekat bot kelima. Akan tetapi, mereka tidak boleh hentikan 10, 20 atau 30 buah bot yang membawa suara dunia.” Demikian luah saudari Bisan Owda, seorang wartawan Palestin semasa ditemu bual oleh kumpulan aktivis kemanusiaan Medleen.

Siapa sangka kata-kata keramat itulah yang menjadi pencetus inspirasi, pemangkin dan penyuntik semangat kepada gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan secara besar-besaran melalui jalan laut sehingga terbentuknya Global Sumud Flotilla yang disertai oleh 45 delegasi termasuklah Malaysia.

Baru-baru ini, negara kita telah melancarkan satu projek mega yang bukan sahaja menghimpunkan NGO tempatan, malah aktivis dari negara Asia yang berhampiran untuk menyahut seruan solidariti bagi membantu rakyat di Palestin. Gerakan ini dinamakan sebagai Sumud Nusantara yang membawa maksud “daya tahan” dan “kepulauan Melayu dan Asia Selatan”.

Pada awalnya, pengasas Cinta Gaza Malaysia, saudara Nadir al-Nuri merangkap jawatankuasa induk dalam misi ini, yang juga merupakan seorang figura yang sinonim dengan perjuangan menolak kezaliamn rejim Israel di Palestin, menolak strategi flotila kerana melibatkan perbelanjaan yang besar, berisiko tinggi dan muatan bantuan yang sedikit. Namun begitu, susulan sambutan luar biasa daripada aktivis-aktivis global yang mahu menggugah pendirian kerajaan mereka terutamanya negara-negara Barat, sebaliknya terus memugar semangat beliau untuk bersama-sama dalam agenda ini.

Peserta yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla menghimpunkan sukarelawan di seluruh dunia dengan pelbagai latar berlakang termasuklah ahli politik, wartawan, pegawai perubatan, selebriti dan pempengaruh yang memiliki jutaan pengikut dalam media sosial. Strategi ini sekali gus membawa mesej kesedaran kepada seluruh dunia dan menekan pemimpin-pemimpin negara berkuasa veto untuk tidak lagi memejamkan mata apabila menyaksikan keadaan masyarakat Palestin yang sedang dizalimi dengan begitu dahsyat.

Sejarah mencatatkan bahawa Palestin sudah dijajah lebih tujuh dekad lalu dengan kelahiran negara haram Israel dan penindasan tersebut berterusan hingga kini. Malah sejak tragedi 23 Oktober 2023, kekejaman rejim Zionis semakin menjadi-jadi. Sudah lebih 700 hari rakyat Palestin dihenyak dan dinafikan hak sebagai manusia. Lebih menyayat hati, bilangan rakyat yang kehilangan nyawa di negara itu, tidak kira lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak semakin meningkat dari hari ke hari berikutan segala jenis bantuan dari pelbagai sudut disekat tanpa sebab yang munasabah.

Sempadan-sempadan negara jiran ditutup sepenuhnya. Hingga ke hari ini, tiada lagi bantuan yang berjaya menembusi sempadan negara baik melalui darat, udara mahupun laut. Namun begitu, disebabkan perjalanan laut tersebut merupakan laluan perairan antarabangsa yang tidak dimiliki oleh mana-mana kuasa, maka dengan melalui jalan inilah disifatkan sebagai inisiatif akhir untuk membantu penduduk Palestin.

Pada akhirnya, misi flotilla ini bukan sekadar hasrat untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin semata-mata, tetapi merupakan misi yang membawa suara kemanusiaan bagi memecahkan tembok tirani dan kuku besi yang melampaui batas insani. Sesungguhnya, tiada sesiapapun yang berhak menindas hak asasi seseorang manusia, tanpa mengira agama, bangsa atau negara mereka. Untuk kali ini, biarlah samudera menjadi tangan. Teruskan berbicara tentang Palestin walau di mana jua pun kita berada. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi