Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja formal akan diperluas dengan liputan menyeluruh selama 24 jam sehari dan tidak terhad kepada waktu bekerja sahaja.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), langkah berkenaan akan dilaksanakan melalui pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24/7 yang merupakan inisiatif terbaharu di bawah LINDUNG Pekerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Tambahnya, pekerja formal akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.
“Bacaan pertama Rang Undang-undang (RUU) bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) telah dibentangkan di Dewan Rakyat, menandakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara melalui pengenalan LINDUNG 24/7,” menurut KESUMA dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu juga menyebut, pengenalan LINDUNG 24/7 bukan sahaja meningkatkan perlindungan kepada pekerja dan keluarga mereka, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara dengan memastikan mangsa kemalangan terus mendapat bantuan kewangan dan pemulihan sewajarnya.
Antara faedah yang ditawarkan menerusi LINDUNG 24/7 termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.
“Pindaan akta berkenaan turut mengambil kira realiti semasa dunia pekerjaan yang semakin fleksibel dan berisiko di luar tempat kerja, sejajar dengan perubahan corak kerja masa kini termasuk mengambil kira faktor kerja jarak jauh,” tambahnya.
Menurut KESUMA, bacaan Kedua dan Ketiga pindaan tersebut akan dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim pada sidang Parlimen Disember kelak.
” Langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan setiap pekerja di Malaysia sentiasa dilindungi pada setiap masa dan di mana jua mereka berada,” jelas YB Steven Sim ketika membentangkan bacaan pertama RUU bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) di Dewan Rakyat semalam.