Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya khususnya di negeri Johor sempena Hari Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 11 Julai ini.
Menurut kenyataam media oleh LLM, keadaan tersebut berikutan jangkaan kepulangan kira-kira 300,000 pengundi dari luar bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Johor.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang bercadang untuk memasuki atau melalui Johor disarankan agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan utama menuju ke negeri berkenaan.
Dalam usaha memastikan kelancaran trafik, LLM memaklumkan bahawa semua kerja penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan pada hari pengundian, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan.
Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan menggunakan aplikasi TuJu, iaitu sebuah aplikasi navigasi dan perancangan perjalanan pintar yang dibangunkan oleh LLM bersama-sama dengan Prosignal Consortium Sdn. Bhd.
Selain itu, LLM mengingatkan bahawa pengguna perlulah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki Touch ’n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.
Pengguna juga dinasihatkan untuk mematuhi had laju selain berhati-hati di kawasan pembinaan lorong ketiga di Lebuhraya Utara-Selatan antara Simpang Renggam hingga Senai (Utara), serta mematuhi arahan ketika pengaktifan lorong pintar (smartlane).
Sementara itu, pengguna disarankan untuk merancang perjalanan dengan baik dan memastikan rehat yang secukupnya serta berhenti berehat di kawasan Rehat dan Rawat (Rest and Relaxation – R&R) yang disediakan sepanjang lebuh raya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Bagi sebarang maklumat trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya, pengguna boleh memperolehnya melalui media sosial rasmi LLM atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM melalui talian 1-800-88-7752.
Orang ramai juga boleh mengakses paparan trafik secara langsung melalui kamera litar tertutup (Closed-circuit television – CCTV) di laman sesawang rasmi LLM serta saluran WhatsApp LLM Info Trafik.