Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penerbit Mesir, Yehia Fekry dari El Maraya for Culture and Arts diumumkan sebagai penerima IPA Prix Voltaire 2026, manakala pengasas Merit Publishing House, Mohamed Hashem, menerima Anugerah Khas IPA Prix Voltaire secara anumerta sebagai penghargaan terhadap sumbangannya mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan menerbit.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Penyampaian IPA Prix Voltaire 2026 bersempena dengan Kongres Persatuan Penerbit Antarabangsa anjuran International Publishers Association (IPA) yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebebasan Menerbit IPA, Jessica Sänger, berkata kebebasan menerbit terus berhadapan dengan cabaran besar di banyak negara apabila penerbit dipaksa beroperasi ketika dibuang negeri, disekat daripada menyertai pesta buku dan festival sastera serta undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara.

Menurut beliau, terdapat juga penerbit yang terus menerbitkan karya dalam suasana peperangan demi memastikan masyarakat masih mempunyai akses kepada ilmu dan suara yang mampu membantu mereka memahami dunia di sekeliling.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan terdapat ramai lagi penerbit berani di negara-negara yang kebebasan menerbitnya terlalu terhad sehingga pencalonan bagi Anugerah Prix Voltaire sendiri tidak dapat dilakukan.

Jessica berkata, tanggungjawab Jawatankuasa Kebebasan Menerbit bukan sekadar memilih penerima anugerah setiap tahun, malah memastikan sokongan berterusan diberikan kepada semua penerima anugerah terdahulu yang masih tertekan akibat mempertahankan kebebasan menerbit.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap hukuman penjara selama 25 tahun yang dikenakan terhadap Sihem Bensedrine, penerima Prix Voltaire 2009 dari Tunisia, atas perjuangannya mempertahankan kebebasan.

Menurut Jessica, jawatankuasa anugerah dari semasa ke semasa memilih untuk memberikan anugerah khas tersebut bagi menghargai individu yang sepanjang hayatnya memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan menerbit.

Beliau menyifatkan Mohamed Hashem sebagai tokoh penerbitan Mesir yang berani serta pengasas Merit Publishing House, sebuah rumah penerbitan bebas yang sejak tahun 1998 memberikan ruang kepada penulis baharu dan suara masyarakat yang terpinggir di dunia Arab.

Selain aktif sebagai penerbit bebas, Mohamed Hashem turut dikenali sebagai aktivis antiautoritarian apabila bersama-sama menubuhkan Gerakan Kefaya pada tahun 2004 dan Writers and Artists for Change Movement pada tahun 2005.

Rumah penerbitan Merit kemudiannya menjadi pusat pertemuan tetap bagi aktivis semasa Revolusi 25 Januari 2011 di Mesir, selain menyediakan bantuan kepada para penunjuk perasaan.

Anugerah khas tersebut diterima oleh anak perempuan beliau, Mirette Hashem, bagi pihak keluarganya.

Sementara itu, Yehia Fekry diumumkan sebagai penerima IPA Prix Voltaire 2026 atas komitmennya mempertahankan kebebasan penerbitan melalui El Maraya for Culture and Arts.

Dalam ucapan penerimaannya, beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan besar kepada seluruh pasukan El Maraya dan berjanji akan terus memikul amanah itu dengan penuh tanggungjawab.

Menurut beliau, El Maraya ditubuhkan pada tahun 2016 dengan misi menyediakan ruang kepada suara generasi muda Mesir yang memperjuangkan nilai demokrasi, kebebasan serta pemikiran kritis yang sering terpinggir daripada wacana arus perdana.

Beliau berkata, penubuhan El Maraya berkaitan rapat dengan perubahan landskap politik Mesir selepas Revolusi 2011 yang mengangkat tuntutan kebebasan, keadilan sosial dan demokrasi.

Namun begitu, selepas tahun 2013, ruang kebebasan bersuara semakin mengecil apabila peluang kepada suara bebas dan kritis semakin berkurangan.

“El Maraya lahir dalam suasana itu sebagai sebuah institusi budaya yang membina jambatan antara penulis, penyelidik dan intelektual dengan masyarakat pembaca, sekali gus membuka ruang baharu kepada ilmu yang kritis dan membebaskan,” katanya.

Sepanjang sedekad lalu, El Maraya telah menerbitkan puluhan buku yang menilai semula sejarah politik, sosial, ekonomi dan budaya Mesir daripada perspektif baharu.

Rumah penerbitan itu turut menerbitkan karya yang membincangkan isu-isu semasa seperti inflasi, kemiskinan, pendidikan, kesihatan, perumahan dan pembangunan bandar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat Mesir.

Selain itu, El Maraya memberi tumpuan kepada penerbitan karya yang mengangkat pengalaman wanita, agama minoriti dan kelompok masyarakat yang kurang mendapat perhatian, di samping menerbitkan buku mengenai politik serantau, isu Palestin serta perubahan geopolitik dunia.

Dalam bidang sastera pula, El Maraya akan terus membuka peluang kepada penulis muda yang menghasilkan karya kreatif, eksperimental dan berani, tetapi mempunyai akses yang terhad kepada dunia penerbitan.

Kredit Foto: Tangkap layar penyampaian IPA Prix Voltaire 2026
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi