Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 membuka tirainya pada hari ini di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Tahun ini, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi kongres yang diadakan saban tahun itu. Kongres yang berlangsung selama dua hari bermula pada 6 hingga 7 Julai yang melibatkan pelbagai negara dianggap penting dalam aspek pembangunan ekosistem industri buku dunia.
YBrs. Encik Sheikh Faisal Sheikh Mansor, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa industri perbukuan di Malaysia dilihat semakin rancak dan mampu untuk lebih maju pada masa hadapan. Katanya lagi,
Pelbagai agensi di Malaysia termasuklah agensi kerajaan sentiasa menyokong usaha untuk merancakkan industri buku. Hal ini boleh dilihat menerusi bantuan dalam pelbagai aspek termasuklah kewangan dan latihan. Hasil kejayaan ini juga boleh dilihat menerusi penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.


Kongres Ke-35 ini turut menampilkan Thad Mollroy, penulis buku The AI Revolution in Book Publishing bagi menyampaikan ucap utama yang bertajuk “The Future of Publishing”. Dalam ucapannya, beliau memerihalkan tentang cabaran industri perbukuan dalam menghadapi gelombang kecerdasan buatan (AI) terutamanya dalam aspek hak cipta dan perundangan. Jelasnya lagi,
Walaupun dunia penerbitan menghadapi cabaran AI, namun penerbitan buku tetap mempunyaI sisi intelektual dan kemanusiaan yang tidak mampu dicipta oleh AI.

Katanya, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh penerbit untuk menangkis sedikit sebanyak pengaruh AI antaranya termasuklah dengan mencipta sekatan khusus (paywall) dan melakukan lebih banyak penyelidikan saintifik berkaitan dengan AI.
Pengaruh AI boleh dihindari dengan kita sebagai penerbit bertanya kembali kepada diri kita ‘mengapa kita menjadi penerbit’ dan ‘apakah nilai baik yang boleh diberikan kepada masyarakat’?
Selain itu, kongres yang berlangsung pada hari ini juga melibatkan perkongsian pandangan dan perspektif para tokoh dan pakar menerusi lima sidang plenari. Sidang plenari yang diadakan tersebut bertemakan antaranya termasuklah penerbitan berkhususkan pendidikan, pengadaptasian buku, kebolehpasaran penerbitan di Asia Tenggara dan kebebasan penerbitan.