Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kebebasan menerbit merupakan asas kepada kelangsungan ilmu, budaya, identiti dan keadilan yang memerlukan keberanian luar biasa daripada warga penerbitan di seluruh dunia.
Perkara itu menjadi inti pati sesi panel khas yang menghimpunkan tiga penerima Hadiah Prix Voltaire anjuran International Publishers Association (IPA), iaitu Rasha Al Ameer dari Lubnan, Khaled Lotfy dari Mesir dan Nadia Kandrusevich dari Belarus.
Anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2006 sebagai Hadiah Kebebasan Membaca sebelum dikenali sebagai Prix Voltaire itu diwujudkan bagi mengiktiraf penerbit yang mempertahankan kebebasan menerbit walaupun berhadapan dengan ancaman terhadap keselamatan diri, keluarga dan organisasi mereka.
Menurut beliau, penerbit memainkan peranan sebagai benteng mempertahankan budaya, ilmu pengetahuan dan kebebasan bersuara.
Rasha Al Ameer membuka perkongsian dengan menceritakan bahawa beliau menerima Prix Voltaire selepas kematian abangnya, pengkritik Hezbollah, Lokman Slim, yang juga rakan kongsi beliau di rumah penerbitan Dar Al Jadeed yang dibunuh pada tahun 2021.
Beliau berkata, pengalaman hidup dalam zon peperangan mengubah sepenuhnya pemahaman terhadap kebebasan kerana ketika nyawa berada dalam bahaya, usaha mempertahankan kehidupan menjadi keutamaan.
Menurutnya, peperangan memusnahkan keseluruhan ekosistem penerbitan apabila penerbit, penulis dan golongan intelektual terpaksa berhijrah, manakala penerbitan buku semakin merosot akibat konflik yang berpanjangan.
Beliau turut menegaskan bahawa peperangan sentiasa bertentangan dengan kebebasan dan keadilan.
Rasha menjelaskan bahawa Lubnan yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai pusat penerbitan di Asia Barat kini kehilangan ramai bakat apabila penulis dan penerbit berpindah ke negara lain yang menawarkan persekitaran penerbitan yang lebih stabil.
Menurut beliau, kelemahan institusi negara serta konflik yang berlarutan menyebabkan industri penerbitan oleh penerbit tempatan semakin sukar untuk bertahan.
Sementara itu, Nadia Kandrusevich berkongsi pengalaman membangunkan rumah penerbitan Koska yang memberikan tumpuan kepada penerbitan buku kanak-kanak dalam bahasa Belarus.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun bahasa Belarus merupakan bahasa rasmi negara itu, penggunaannya semakin berkurangan sehingga dianggap sebagai bahasa terancam kerana bahasa yang lebih lazim digunakan kini ialah bahasa Rusia.
Menurut beliau, selepas tahun 2020 dan tercetusnya perang di Ukraine, penerbitan buku kanak-kanak dalam bahasa Belarus sendiri dianggap sebagai satu bentuk penentangan politik.
Keadaan itu menyebabkan banyak penerbit bebas dipenjarakan, manakala sebahagian besar lagi terpaksa meninggalkan Belarus dan meneruskan operasi dari luar negara.
Beliau kini mengendalikan penerbitannya dari Warsaw, Poland, selain membangunkan platform digital bagi memastikan ibu bapa berbangsa Belarus yang tinggal di luar negara masih boleh mendapatkan bahan bacaan dalam bahasa ibunda mereka.
Katanya, penerimaan Prix Voltaire menjadi lambang solidariti antarabangsa terhadap seluruh komuniti penerbit bebas Belarus.
Beliau turut menegaskan bahawa akses kepada buku dalam bahasa ibunda merupakan hak asasi yang penting bagi membentuk identiti generasi muda.
“Jika kanak-kanak tidak dapat membaca dalam bahasa sendiri, mereka akan kehilangan identiti mereka dan orang lain akan menentukan siapa diri mereka,” katanya.
Khaled Lotfy juga menceritakan pengalaman dipenjarakan selama lima tahun selepas menerbitkan sebuah buku yang akhirnya mencetuskan tindakan undang-undang terhadap beliau.
Pengasas Kedai Buku Tanmia itu berkata, walaupun semua naskhah buku berkenaan telah dimusnahkan, beliau tetap didakwa dan dipenjarakan.
Menurutnya, Prix Voltaire menjadi sumber kekuatan moral yang amat besar sepanjang berada di dalam penjara.
“Saya merasakan akhirnya ada orang yang berdiri bersama-sama saya dan memahami bahawa saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai penerbit,” katanya.
Beliau berkata, hukuman penjara bukan sahaja memberikan kesan kepada dirinya, malah kepada seluruh keluarga apabila kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia ketika beliau masih dipenjarakan.
Selain itu, pengalaman tersebut turut menyebabkan ramai penerbit lain menjadi lebih berhati-hati sehingga wujud budaya penapisan kendiri (self censorship) kerana bimbang akan berhadapan dengan nasib yang sama.
Sepanjang perbincangan, ketiga-tiga panel bersetuju bahawa walaupun mereka datang daripada latar belakang dan negara yang berbeza, cabaran yang dihadapi tetap mempunyai persamaan, iaitu tekanan politik, peperangan, penapisan dan rasa takut yang akhirnya menjejaskan kebebasan berkarya.
Mereka turut mengakui bahawa ancaman terhadap kebebasan menerbit semakin kompleks pada era teknologi digital.
Rasha berpandangan bahawa teknologi bukan sahaja membuka peluang baharu kepada penerbitan, malah turut digunakan sebagai alat peperangan dan penindasan.
Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa manusia semakin bergantung kepada teknologi sehingga berisiko kehilangan kebebasan sebenar.
Nadia pula berpendapat bahawa kemajuan digital membantu penerbit dalam buangan terus berhubung dengan pembaca, namun pada masa yang sama kerajaan autoritarian turut meningkatkan kaedah penindasan melalui kawalan sempadan, pengharaman buku dan sekatan terhadap kebebasan bersuara.
Bagi Khaled, perkembangan teknologi tidak semestinya menjadikan masa hadapan kebebasan menerbit lebih baik kerana ancaman terhadap penerbit masih terus wujud.