Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMusim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi anak-anak tingkatan lima dijadualkan bermula pada 3 November hingga 23 Disember. Mereka membawa harapan ibu bapa untuk mengungguli peperiksaan yang merangkumi ujian bertutur, amali dan bertulis untuk mata pelajaran utama dan elektif.
Ketika musim ini, lazimnya ibu bapa memberikan sokongan moral, menyediakan persekitaran belajar yang selesa dan membantu anak mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Dengan melakukan perkara ini, musim peperiksaan SPM boleh menjadi pengalaman yang positif bagi seluruh ahli keluarga, terutamanya anak yang menduduki peperiksaan.
Antara peranan ibu bapa dalam membantu anak menghadapi musim peperiksaan SPM termasuklah dengan menjadi penyokong emosi kepada mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana peperiksaan ialah ujian yang mendebarkan dan memberikan tekanan kepada anak. Pada ketika ini, kehadiran ibu bapa sebagai penyokong mereka adalah sangat penting untuk menenangkan mereka daripada berasa takut dan bimbang.
Kajian menunjukkan bahawa anak yang mendapat sokongan moral daripada ibu bapa berasa lebih yakin dan mampu mengurus tekanan. Perbuatan mengucapkan kata ringkas seperti “adik sudah berusaha yang terbaik”, memberikan senyuman yang manis atau menepuk bahu mereka dengan lembut, mampu menyuntik motivasi mereka yang kian luntur akibat kekangan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Melalui sokongan dan dorongan yang sewajarnya daripada ibu bapa, anak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan.
Selain itu, ibu bapa perlu menyediakan persekitaran belajar yang tenang dan selesa untuk anak bagi membantu mereka fokus semasa mengulang kaji. Ibu bapa hendaklah memastikan ruang belajar anak tidak terdedah kepada bunyi yang mengganggu perhatian seperti televisyen, radio, telefon dan permainan. Sebaliknya, ruang belajar yang disediakan hendaklah mempunyai pencahayaan yang baik, kemas dan sunyi supaya anak dapat belajar dengan lebih selesa dan efisien.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh mencipta suasana belajar yang kondusif dengan menutup gangguan bunyi, menyediakan pencahayaan yang mencukupi dan memastikan semua alat tulis serta nota anak diletakkan di tempat yang mudah diakses. Kajian menunjukkan bahawa anak yang belajar di persekitaran yang teratur mampu mengekalkan tumpuan dengan lebih lama dan meningkatkan prestasi.
Di samping itu, ibu bapa perlu memastikan kesihatan fizikal dan mental anak berada pada tahap yang baik. Sekiranya ibu bapa melihat anak kurang tidur, tertekan, letih dan hilang fokus, ketahuilah bahawa keadaan ini tidak sihat untuk mereka dan masalah ini perlu ditangani dengan segera. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memastikan anak mendapat tidur dan rehat yang cukup serta mengambil makanan yang berkhasiat. Dengan ini, anak akan menjadi lebih cergas, fokus dan tenang dalam menghadapi peperiksaan dan mengurus tekanan.
Seterusnya, ibu bapa kepada anak yang tinggal berjauhan di asrama hendaklah memberikan sokongan emosi yang sewajarnya. Dalam menghadapi peperiksaan besar seperti SPM, anak pasti berasa gelisah dan kurang terurus kerana tiada figura ibu bapa yang membantu mereka di sisi. Maka itu, ibu bapa disarankan agar menghubungi anak dengan lebih kerap seperti membuat panggilan suara dan panggilan video serta menghantar pesanan ringkas kepada anak. Mereka boleh memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada anak agar mereka berasa lebih yakin dan tenang untuk menghadapi peperiksaan. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, aktiviti menziarahi anak pada hujung minggu atau sebelum peperiksaan mampu menjadi bekalan azimat untuk mereka berjuang di medan peperiksaan. Melalui perhubungan dan pertemuan ini, anak akan berasa lebih terjaga, disayangi dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan.
Peperiksaan SPM 2025 bukanlah ujian semata-mata, tetapi juga medan yang menyuntik kesabaran, ketabahan dan kasih sayang keluarga. Sokongan ibu bapa kepada anak sama ada secara langsung atau dari jauh, memainkan peranan yang sangat penting dalam membimbing mereka mengurus tekanan dan menghadapi peperaiksaan dengan lancarnya.
Ibu bapa disarankan agar memberikan dorongan kepada anak secara berterusan, menyediakan persekitaran belajar yang selesa dan memastikan kesihatan fizikal serta mental anak terjaga. Hal ini demikian kerana setiap ucapan semangat, senyuman atau panggilan ibu bapa, mampu membakar semangat anak untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Sememangnya, peperiksaan SPM bukan sahaja dilaksanakan untuk mengukur pengetahuan anak dan melihat pencapaian mereka, tetapi juga untuk membina keyakinan diri anak dan mengeratkan kasih sayang antara keluarga. Ingatlah bahawa komitmen, kerjasama dan perhatian ibu bapa adalah sangat signifikan untuk membantu anak menghadapi peperiksaan besar dengan mudahnya.