Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 29 November setiap tahun, dunia menyambut Hari Solidariti Antarabangsa Bersama-sama Rakyat Palestin bagi memperingati tragedi kemanusiaan yang menimpa Palestin dan rentetan penindasan yang telah berlangsung selama lebih tujuh dekad.
Tarikh ini dipilih bersempena dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada 29 November 1947. Dalam perhimpunan ini, Resolusi 181 telah diluluskan untuk membahagikan tanah Palestin sebanyak 44 peratus kepada penduduk Arab Palestin, 55 peratus kepada negara Yahudi dan satu peratus kepada wilayah antarabangsa di Baitul Maqdis.
Pelan pembahagian tanah ini pada asalnya ditolak sepenuhnya oleh rakyat Palestin dan negara-negara Arab pada ketika itu. Namun begitu, pelan ini disambut baik oleh gerakan Zionis antarabangsa yang melihatnya sebagai peluang untuk mengabsahkan projek kolonial mereka.
Pelan ini juga merupakan kesinambungan kepada keputusan kolonial British dalam Deklarasi Balfour 1917 dan Peel Commission 1937 yang meminggirkan suara penduduk asal Palestin. Sebelum itu, UN Special Committe on Palestine (UNSCOP) telah ditubuhkan di bawah Jawatankuasa PBB untuk menilai masa hadapan Palestin, namun jawatankuasa ini hanya beroperasi selama tiga bulan akibat terpengaruh dengan sogokan pelobi Zionis. Hal ini membuktikan bahawa kedudukan Palestin ditentukan oleh percaturan serta dominasi kuasa global, dan bukannya daripada aspirasi rakyatnya sendiri.
Segala keputusan yang berat sebelah ini akhirnya membuka jalan kepada Nakba (bencana dahsyat) pada tahun 1948 apabila lebih 750,000 orang rakyat Palestin diusir dan dihancurkan perkampungannya dari Haifa hingga Beersheba. Pembersihan etnik Palestin yang dilakukan secara sistematik menunjukkan bahawa peristiwa ini bukan sekadar tragedi berdarah, tetapi luka yang terus bernanah sehingga hari ini.
Melangkah ke tahun 2026, Hari Solidariti Palestin diingati dalam suasana yang paling tragis sejak peristiwa Nakba 1948 apabila dunia telah menyaksikan penindasan yang berlaku di Palestin secara langsung menerusi peranti milik sukarelawan yang menyertai misi bantuan, dan bukan setakat membaca tentangnya melalui teks sejarah. Fenomena ini telah menjentik sensitiviti masyarakat untuk tidak menormalisasikan kekejaman.
Dua tahun selepas serangan yang dilakukan terhadap Palestin pada 7 Oktober 2023, mereka terus dihimpit oleh penderitaan tanpa henti di bawah pendekatan genosid dan apartheid yang telah meragut lebih 160,000 nyawa. Majoriti mangsa ini terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak, sementara lebih 10,000 orang masih terperangkap dan hilang di bawah runtuhan bangunan.
Kebuluran pula meragut nyawa anak kecil dan warga emas sehingga menjadikan Gaza bukan sekadar wilayah perang, tetapi tanah perkuburan terbuka yang menghampari seluruh kegagalan sistem dunia. Isu ini menunjukkan sejarah hitam manusia moden apabila kemusnahan berskala besar yang berlaku secara terbuka dengan segala bukti dokumentasi dan rekod, masih gagal dihentikan oleh dunia. Perkara yang lebih pahit untuk diterima ialah sistem antarabangsa yang konon-kononnya berfungsi sebagai penjaga keamanan, ternyata telah gagal membendung kekejaman dan menjadi saksi bisu kepada kehancuran sebuah bangsa.
Dalam menghadapi tragedi ini, warga dunia sebenarnya telah menyedari peranan mereka untuk bangkit dengan berani. Sebagai contoh, demonstrasi besar-besaran telah memenuhi jalan raya di ibu kota dunia, kampus universiti menggerakkan boikot akademik, majlis konvokesyen mahasiswa dijadikan simbolik solidariti, beberapa kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan sebanyak 137 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin.
Sementara itu, badan antarabangsa seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pelaku jenayah genosid, Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant. Gelombang solidariti global ini membuktikan bahawa penindasan terhadap Palestin bukan lagi isu pinggiran, tetapi isu moral dunia moden yang menguji hati nurani dan keberanian manusia dalam menegakkan keadilan.
Namun begitu, dalam tempoh dua tahun ini kita masih lagi menyaksikan penderitaan dan penindasan yang tidak henti-henti di Palestin. Ada dalam kalangan kita yang sudah hilang perikemanusiaan dan segelintirnya pula langsung tidak tersentuh melihat anak kecil mati kebuluran, ibu kehilangan keluarga dan wilayah bertukar menjadi tanah perkuburan terbuka.
Persoalannya, sedarkah kita bahawa inilah petanda paling bahaya apabila hati manusia tidak bergetar melihat kezaliman? Hal yang lebih menakutkan ialah kita tidak menyedari bahawa tragedi di Palestin boleh berlaku di negara kita pada bila-bila masa sahaja. Sekiranya dunia boleh berdiam diri terhadap penindasan yang begitu jelas, apakah jaminan yang ada untuk mempertahankan negara kita daripada ancaman seperti ini kelak? Bersama-samalah kita renungkan perkara ini.
Sesungguhnya, tragedi di Palestin pada hari ini bukan sahaja ujian untuk mereka, tetapi ujian untuk kita semua. Misalnya, ujian terhadap keadilan, ujian terhadap komitmen kemanusiaan dan ujian terhadap keberanian berkata benar apabila berhadapan dengan kekejaman.
Ketika dunia sedang memerhatikan dan menuntut keadilan, muncul pula Pelan Damai Gaza yang dibawa oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Pelan ini diumumkan dengan penuh gimik seolah-olah menawarkan jalan penyelesaian, tetapi kandungan pelan ini sebenarnya menampilkan wajah baharu penjajahan lama.
Dalam pelan ini, Gaza dicadangkan untuk ditadbir oleh jawatankuasa teknokrat apolitik di bawah pengawasan antarabangsa oleh Trump sendiri sebagai Ketua Board of Peace. Tentera Hamas pula diminta untuk meletakkan senjata, tetapi tiada penetapan yang jelas untuk rejim Israel berundur dari Gaza, apatah lagi dipertanggungjawabkan atas segala kekejaman yang telah dilakukan. Malah, Israel terus mengebom, membunuh dan menembak rakyat Palestin dengan sewenang-wenangnya sehingga hari ini. Pembentukan negara Palestin pula disebut secara samar-samar tanpa sebarang komitmen yang konkrit.
Sekiranya pelan ini tidak dilihat secara teliti, kesilapan yang sama berkemungkinan akan berulang lagi. Palestin diletakkan di bawah kuasa asing, sedangkan penjajah dibenarkan untuk mengekalkan kekuasaan. Hal ini mengingatkan kita kepada Resolusi 181 yang pernah digunakan sebagai alat untuk merampas tanah Palestin apabila UNSCOP yang dikatakan neutral, gagal menyelesaikan keadaan setelah termakan dengan sogokan Zionis.
Pelan yang dikemukakan oleh Trump ini jelas sekali tidak menamatkan penjajahan, tetapi menunjukkan percubaan untuk mengurus penjajahan dengan wajah diplomatik baharu. Pelan ini memaksa mangsa meletakkan senjata, sementara membenarkan penjajah terus bersenjata apabila Palestin dituntut untuk menyerah atas nama perdamaian, sedangkan perdamaian itu tidak mungkin wujud tanpa kebebasan sebenar.
Malaysia melalui Wisma Putra perlu terus menegaskan bahawa perdamaian bukan dengan cara menyerah. Sebaliknya, perdamaian hanya boleh wujud apabila Palestin benar-benar bebas untuk menentukan masa hadapannya sendiri tanpa kawalan kuasa asing seperti tentera Israel dan tanpa syarat berat sebelah yang mematikan perjuangan kemerdekaan mereka. Kedaulatan negara bernama Palestin mesti menjadi asas, dan bukannya pilihan sampingan.
Dalam konteks ini, Ilan Pappé dalam buku terbaharunya berjudul Israel on the Brink; Eight Steps for a Better Future menegaskan bahawa penyelesaian status quo antara dua negara tersebut tidak memadai kerana tiada pecahan struktur penjajahan dan terdapat ketidakseimbangan kuasa yang menindas rakyat Palestin sehingga hari ini. Beliau mengusulkan idea Decolonization and Coexistence, iaitu membina semula sistem politik dan sosial yang benar-benar inklusif setelah penjajahan dihapuskan secara keseluruhan agar kewujudan dua negara secara bersama-sama ini dapat terlahir atas dasar persamaan hak, dan bukannya dominasi.
Pandangan ini seiring dengan amaran Mahatma Gandhi dalam suratnya kepada Martin Buber, Sarjana Yahudi Jerman pada tahun 1930-an.
“If I would have been convinced that the Jews of Europe want to live alongside the Arabs of Palestine, I would be the greatest supporter of Zionism. My impression is that you want to live instead of the Palestinians and therefore you will never get my blessing for such a colonialist project.”
Hari Solidariti Antarabangsa Bersama-sama Rakyat Palestin mengingatkan kita bahawa keadilan sebenar masih ditangguhkan. Hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, membentuk negara berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta hak pelarian untuk kembali ke tanah asal mereka masih belum dipenuhi walaupun PBB mengiktirafnya sebagai hak tak terpisah (inalienable right). Selagi tuntutan asas ini tidak ditegakkan, sebarang pelan damai hanyalah alat kosmetik kepada struktur penjajahan yang tidak berubah.
ABIM menegaskan bahawa solidariti terhadap Palestin bukanlah pilihan politik, tetapi kewajipan moral. Hal ini menuntut kita memahami sejarah sebenar, menolak naratif yang dimanipulasikan dan mengiktiraf hakikat bahawa Palestin bukan mangsa konflik simetri, tetapi mangsa kepada penjajahan. Dalam dunia yang semakin kehilangan moral, usaha untuk berdiri seiringan secara bahu-membahu bersama-sama dengan Palestin menunjukkan bahawa manusia masih mampu mempertahankan keadilan.
Selagi Gaza terus dihujani oleh peluru, selagi Tebing Barat terus dirampas, selagi pelarian Palestin masih dilarang untuk pulang, dan selagi pelan damai baharu terus menghalalkan penindasan lama, selagi itulah Hari Solidariti Bersama-sama Rakyat Palestin akan kekal relevan untuk diingati. Palestin tidak memerlukan pelan baharu yang memadamkan hak mereka, tetapi keadilan yang sekian lama dinafikan.
ABIM berdiri teguh pada prinsip keadilan yang tidak boleh dirunding oleh penjajah dan kemerdekaan yang tidak boleh digantikan dengan pentadbiran teknokrat. Palestin hanya akan merdeka apabila penjajahan benar-benar ditamatkan dan rakyatnya bebas menentukan masa hadapan mereka sendiri. Di sinilah makna sebenar solidariti bahawa kita tidak akan berhenti bersuara selagi keadilan belum ditegakkan.
Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).