Diterbitkan pada 3 Disember 2025, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

PRN Sabah Ke-17 pada 29 November lalu berlangsung dalam suasana aman dan lancar dengan keputusan rasmi diumumkan menjelang awal pagi 30 November. Beberapa perubahan besar didapati berlaku dalam pola pengundian di Sabah seperti yang dipaparkan dalam media massa. Keputusan ini penting untuk dijadikan iktibar khususnya kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam arena politik. Pengajaran dan iktibar tersebut tidak hanya kepada rakyat Sabah, bahkan penting bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya dalam menghadapi PRU Ke-16 kelak.

Keputusan PRN Sabah secara rasmi yang dikeluarkan oleh SPR pada awal pagi 30 November 2025, menyaksikan tidak ada mana-mana parti politik yang menang dengan majoriti mudah, iaitu sebanyak 37 kerusi DUN daripada jumlah keseluruhan sebanyak 73 kerusi DUN. GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor mendapat kerusi terbesar, iaitu sebanyak 29 kerusi. Kerusi kedua terbanyak pula disumbangkan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal dengan mendapat 25 kerusi. Parti lain mendapat jumlah yang lebih kecil. Kedua-dua parti politik ini tidak mampu membentuk kerajaan negeri menerusi sistem satu parti. Kedua-duanya perlu bergabung dengan parti politik lain bagi mendapatkan jumlah sekurang-kurangnya sebanyak 37 kerusi bagi mendapatkan bilangan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri. Keputusan penuh parti politik yang bertanding dengan jumlah kerusi yang dimenangi adalah seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.

Keputusan PRN Sabah Ke-17.

Parti Politik yang bertanding GRS Warisan BN PN PH KDM STAR UPKO BEBAS Jumlah
Jumlah kerusi yang dimenangi 29 25 6 1 1 1 2 3 5 73

Parti terbanyak yang memenangi kerusi DUN ialah GRS,iaitu sebanyak 29 kerusi. Parti Warisan memperoleh kerusi kedua terbanyak berjumlah 29 kerusi. BN pula memenangi sebanyak enam kerusi, UPKO tiga kerusi, STAR dua kerusi, calon bebas memenangi sebanyak lima kerusi dan PN mendapat satu kerusi. PH dan KDM masing-masing memenangi satu kerusi. DAP mengalami kekalahan di semua lapan kerusi yang ditandinginya. Kawasan pengundi majoriti Cina yang ditandingi calon PKR, seperti N.18 Inanam, N.20 Api-Api dan N.54 Karamunting juga mengalami kekalahan teruk.

Kekalahan di semua kerusi tradisi yang ditandingi oleh DAP merupakan kekalahan terburuk dalam sejarah DAP di Sabah. Semasa PRN 2020, DAP menang sebanyak enam kerusi. Kerusi yang ditandingi DAP dalam PRN Ke-17 merupakan kerusi tradisi yang sebelum ini dimenangi oleh DAP dengan mudah. Akan tetapi, pada kali ini kerusi majoriti pengundi kaum Cina seperti N.19 Likas, N. 55 Elopura, N.56 Tanjong Papat, N.25 Kepayan, N.69 Sri Tanjong, N. 21 Luyang dan N.22 Tanjong Aru mengalami kekalahan yang mengejutkan. Kekalahan yang berlaku ini adalah di luar jangka berdasar sejarah kemenangan besar DAP di semua kerusi DUN tersebut sebelum ini.

Kekalahan teruk DAP ini seakan-akan mencerminkan bahawa terdapat isu tertentu yang menyebabkan pengundi kaum Cina mengubah sokongan kepada parti Warisan. Kekalahan calon-calon DAP ini juga memberikan kesan kepada kedudukan jumlah kerusi keseluruhan kerjasama GRS-PH. Sekiranya DAP menang di kesemua kerusi (atau sebahagian besar) yang ditandinginya seperti mana yang dicapai dalam PRN sebelum ini, kemungkinan besar jumlah keseluruhan yang dimenangi GRS-PH jauh lebih besar dan tidak sukar bagi mereka untuk mencapai majoriti mudah sebanyak 37 kerusi (kedudukan jumlah kerusi PRN Ke-17 adalah GRS+PH/PKR adalah 30 kerusi). Bagi DAP dan PKR, yang bertanding di kawasan majoriti Cina dengan kemenangan sebanyak tujuh kerusi dilihat sebagai pencapaian biasa dalam PRU sebelum ini. Dalam PRN sebelum ini, semua kawasan DUN majoriti kaum Cina seperti Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Kepayan, Elopura, Tanjong Papat dan Sri Tanjong dimenangi oleh calon PH sama ada bertanding atas tiket DAP atau PKR dengan memperoleh majoriti besar. Perubahan sokongan kaum Cina menolak calon PH pada kali ini adalah suatu yang luar biasa.

Parti terbanyak yang memenangi kerusi DUN Sabah, iaitu GRS sebanyak 29 kerusi tidak dapat membentuk kerajaan negeri secara kukuh kerana perlu melakukan kerjasama dengan parti politik lain. Dalam mencapai matlamat ini, GRS berjaya menarik kerjasama parti-parti politik yang menang bagi membentuk jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri. Pada pukul 3:00 pagi, 30 November 2025 Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah setelah mendapat sokongan daripada PH (satu kerusi), BEBAS (lima kerusi) dan UPKO (tiga kerusi). Dengan gabungan tiga buah parti politik ini, GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor memperoleh sebanyak 38 kerusi DUN. Jumlah 38 kerusi ini sudah memadai bagi syarat asas pembentukan Kerajaan Negeri Sabah.

Pada 1 Disember 2025 kabinet negeri telah dibentuk dan berlangsungnya upacara angkat sumpah. Tiga orang Timbalan Ketua Menteri (TKM) telah dilantik, iaitu Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (GRS, sebagai TKM I), Datuk Sri Masidi Manjum (GRS, TKM II) dan Datuk Ewon Benedict (UPKO sebagai TKM III). Sebanyak 10 orang menteri kabinet negeri telah dilantik (sebagaimana yang dinyatakan dalam peruntukan Perkara 6(2) Perlembagaan Negeri Sabah. Tujuh orang menteri daripada parti GRS, seorang daripada PH-PKR, seorang daripada UPKO dan juga seorang daripada BN-UMNO. Pelantikan Timbalan Ketua Menteri adalah selaras dengan semangat kerjasama menerusi gabungan parti politik yang membentuk kerajaan negeri. Begitu juga dengan pelantikan menteri kabinet negeri adalah berasaskan semangat kerjasama dengan melantik wakil daripada UPKO, PH dan juga BN.

Upacara angkat sumpah dilakukan dengan begitu cepat bagi pengesahan dan melalui peraturan dan undang-undang yang sah. Upacara angkat sumpah yang begitu cepat ini adalah sebahagian daripada strategi politik bagi menjamin kestabilan dan mengelak daripada sebarang kemungkinan kecelaruan kuasa. Hal ini dilakukan dengan segera bagi membentuk kestabilan dan mengelakkan sebarang ketidakstabilan yang mungkin berlaku. Percaturan kuasa dan ketidakstabilan politik yang berlaku selepas PRU Ke-14, pada 9 Mei 2018 mungkin diambil pengajaran bagi mengelak sebarang kemungkinan.

Dalam percaturan kuasa politik dan pentadbiran negeri Sabah selepas PRU Ke-14, yang berlangsung pada tahun 2018 sebelum ini membuka ruang kepada ketidakstabilan kerana kedua-dua belah pihak parti politik (iaitu pihak BN/gabungan beberapa parti-parti politik pimpinan Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman dan Parti Warisan serta gabungan pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal masing-masing seri dengan mendapat 29 kerusi. Perpindahan sokongan kepada mana-mana pihak akan memudahkan runtuhnya majoriti mudah yang dicapai, iaitu sebanyak 31 kerusi (pada masa itu jumlah keseluruhan DUN Sabah bejumlah 60 kerusi). Keadaan ini berbeza daripada keadaan dan situasi keputusan yang berlaku pada 29 November 2025. GRS memperoleh sebanyak 29 kerusi DUN, manakala Warisan memperoleh sebanyak 25 kerusi (perbezaan hanya empat kerusi). Setelah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor mengangkat sumpah pada pagi 30 November 2025, kedudukan tersebut sukar untuk dicabar oleh pihak Warisan yang hanya mendapat 25 kerusi (kerana Datuk Seri Haji Hajiji telah mendapat sebanyak 38 kerusi DUN).

Sekiranya Warisan pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal cuba membentuk gabungan politik, mereka tetap tidak akan dapat  membentuk majoriti mudah, iaitu sebanyak 37 kerusi. Sekiranya mendapat sokongan daripada BN (enam kerusi), PN (satu kerusi) dan STAR (dua kerusi), mereka tetap gagal memperoleh majoriti mudah sebanyak 37 kerusi. Hal ini bermakna kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji berada dalam keadaan stabil dan sukar untuk dicabar oleh pihak lawan. Keadaan berbeza daripada perkara yang berlaku dalam Mei 2018, apabila perubahan beberapa orang daripada Kumpulan BN pimpinan Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman mengubah jumlah majoriti mudah (iaitu 31 kerusi pada masa itu). Perlu diingatkan bahawa ketidakstabilan politik pada Mei 2018 perlu diambil pengajaran agar peristiwa yang sama tidak akan berulang kembali.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor kembali berkuasa dalam politik Sabah selepas PRN Ke-17 dan kini gabungan beliau berada dalam keadaan stabil. Dengan pelantikan enam orang ADUN yang dilantik kelak pasti akan mengukuhkan lagi pentadbiran beliau. Kebolehan dan pengalaman yang ada pada beliau diharapkan mampu membawa Sabah ke tahap yang lebih maju dan stabil. Falsafah dan asas Pembangunan berdasarkan “Sabah Maju Jaya” dengan empat rukun dan 16 strategi yang di janjikan dalam Manifesto GRS diharapkan menjadi dasar utama pentadbiran Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

PRN merupakan proses demokrasi bagi memilih kerajaan negeri. Selepas PRN berakhir dan keputusan yang disahkan oleh SPR, para pengundi harus menerimanya dengan reda berdasarkan keputusan pengundian yang diberikan oleh mereka sendiri. Dalam hal ini, yang kalah tidak kalah semuanya, yang menang pula tidak menang kesemuanya. Yang menang ada tanggungjawab untuk dipikul, begitu juga dengan pihak yang berfungsi sebagai pembangkang, perlu ada tanggungjawab untuk melaksanakan aspek semak dan imbang demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Kedua-dua pihak mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam proses membina kestabilan dan kemakmuran untuk negeri Sabah. Marilah kita bersama-sama membina kemakmuran demi cinta dan kasih terhadap negara kita berasaskan prinsip demokrasi dan perkara yang digariskan dalam perlembagaan. Semoga terbina semangat kerjasama, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi bagi kesejahteraan serta kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid, Felow Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah merangkap anggota penyelidik GEOPES (Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo).

 

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Negeri Sabah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi