Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Pergerakan pengakap kekal relevan sebagai platform pembinaan karakter, kepimpinan dan kemahiran insani, iaitu nilai yang semakin penting dalam dunia yang dipacu oleh teknologi.”
Demikian penjelasan YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Prof. Dr. Haji Mohd Zin bin Bidin, Ketua Pengakap Negara semasa menyampaikan ucapan kata alu-aluan dalam Majlis Makan Malam Bersama-sama Media Persekutuan Pengakap Malaysia 2025 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 6 Disember 2025.

Sehubungan dengan itu, kerjasama strategik antara Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dengan media dilihat berupaya memainkan peranan yang besar dalam memperkukuh profil, pengaruh dan kesinambungan pergerakan pengakap pada peringkat negara.
Menurut YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Prof. Dr. Haji Mohd Zin, pada masa ini pengakap negara telah berusia 117 tahun dan menjadi sebahagian daripada rangkaian belia global dengan lebih 60 juta ahli di 174 negara.
PPM ialah organisasi muda belia yang mempunyai keahlian teramai di Malaysia. Jelas beliau:

″Di Malaysia, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong merupakan penaung utama dan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri ialah penaung negeri.″
″Persekutuan Pengakap Malaysia bergerak dengan sukatan pelajaran dan sistem yang mantap yang dirangka oleh pakar pendidikan di seluruh dunia.″
″Untuk mendapatkan pengiktirafan dunia, pertubuhan pengakap perlu melaksanakan penyelidikan dan menyediakan biasiswa kepada pelajar bagi melahirkan pemimpin yang cemerlang.″
Dalam hal ini, beliau menyatakan bahawa PPM komited untuk memperkukuh program latihan, kepimpinan belia dan dan khidmat masyarakat. Bagi mencapai hasrat ini, beliau mengajak media untuk bersama-sama menyerlahkan pencapaian, perkembangan dan kisah-kisah inspirasi warga pengakap di seluruh dunia.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar menggalakkan pelibatan anak-anak dalam pertubuhan pengakap.
Menurut YBrs. Dr. Mohammed Mukhyuddin bin Sarwani, Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara:
″Pada peringkat organisasi, Persekutuan Pengakap Malaysia memberikan tumpuan pada pengukuhan latihan, peningkatan kualiti program dan memastikan aktiviti yang dijalankan teratur, selamat dan inklusif. Semua ini bertujuan untuk memberikan pengalaman kepada ahli pengakap agar mereka terus berkembang sebagai individu yang berdisiplin, berkeyakinan dan berkepimpinan.″


Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah penyampaian Anugerah Media PPM 2025. Anugerah ini bertujuan untuk menghargai sumbangan media yang telah menjadi rakan strategik dalam usaha penyebaran visi, misi dan aspirasi PPM di seluruh negara.
Selain itu, PPM turut mempamerkan bahan penerbitan, pakaian seragam dan lencana pengakap sebagai perkongsian maklumat dengan tetamu yang hadir.



Terdahulu, pengakap di Malaysia bermula dengan penubuhan kumpulan percubaan di Pulau Pinang pada tahun 1908 dan di Selangor melalui Victoria Institution pada tahun 1910, yang kini berada di Kuala Lumpur. Pergerakan ini berkembang pesat di Tanah Melayu dan Borneo.
PPM ditubuhkan secara rasmi di bawah Akta Parlimen No. 38 pada tahun 1968, dan kemudian dipinda dengan Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia No. 143 pada tahun 1974. Pada tahun yang sama, istilah ″Budak-budak″ digugurkan daripada nama rasmi, menjadikan organisasi ini dikenali sebagai Persekutuan Pengakap Malaysia dan akta ini dipinda kepada Akta 784.
PPM merupakan pertubuhan beruniform sukarela yang menyasarkan kanak-kanak, remaja dan belia untuk membangunkan individu yang berdikari, bertanggungjawab dan komited dengan nilai-nilai kerohanian, sosial dan berkeperibadian yang terkandung dalam Persetiaan dan Undang-undang Pengakap.