Diterbitkan pada 7 Januari 2026, 12:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Gunung Kinabalu yang menjadi mercu tanda bagi negeri Sabah.

Struktur parti politik di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 pada 29 November tahun lepas menunjukkan ciri-ciri “kecelaruan” disebabkan terlalu banyak parti politik yang muncul. Situasi ini dapat dilihat dari satu sudut bahawa bilangan parti politik yang terlalu banyak bertanding dalam sesebuah pilihan raya negeri dikaitkan dengan pengurusan parti politik yang tidak begitu kemas.

Antara parti politik yang bertanding dalam PRN Ke-17 baru-baru ini ialah parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada gabungan beberapa buah parti politik, BN/UMNO, Parti Warisan Sabah, PN/PAS, PKR, DAP,Amanah, UPKO, KDM, Parti Impian Sabah (PIS), STAR, SAPP dan beberapa buah parti politik kecil lain. Terlalu banyak kemunculan parti politik menjadikan pertandingan yang terlalu banyak dalam sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Hal ini disaksikan menerusi PRN Sabah Ke-17 lalu apabila tidak ada pertandingan yang berlaku antara dua atau tiga penjuru. Yang paling banyak adalah antara enam hingga 13 penjuru. Ada pertandingan berlaku sehingga 14 penjuru. Saya tidak melihat situasi ini sebagai kemeriahan atau pesta demokrasi yang sihat. Saya lebih melihat berlakunya kegagalan pengurusan politik dan pilihan raya dalam sistem demokrasi. Kita perlu kembali kepada matlamat sebenar penubuhan parti politik dan pertandingannya dalam sesebuah pilihan raya bagi memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih wakil mereka.

Dengan bilangan yang begitu ramai dan terlalu banyak parti politik yang bertanding, adakah matlamat pemilihan itu akan berlaku dengan sempurna? Mudahkah para pengundi berfikir untuk membuat pemilihan wakil mereka dengan begitu tepat, iaitu dengan memilih calon yang benar-benar sesuai atau hanya sekadar mengundi? Atau berlakunya pengundi yang mengelakkan diri daripada membuang undi atas beberapa alasan tertentu?

Peratus pengundian yang kurang daripada 70% dalam PRN Sabah Ke-17 menunjukkan bahawa penyertaan rakyat yang tidak mencapai tahap yang baik. Perkara yang berlaku pada pendapat penulis berkisar tentang kelemahan pengurusan parti politik pada peringkat negeri. Situasi ini terlalu jauh daripada mencapai pertandingan dua penjuru berasaskan sistem dua parti utama (two party system), iaitu tahap yang baik dalam pengurusan politik dan pilihan raya seperti yang diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Perkembangan yang agak baik berlaku selepas pilihan raya, apabila keputusan diumumkan, iaitu perkembangan politik selepas 29 November 2025. Dalam Keputusan PRN ke-17 yang diumumkan tidak ada satu pun antara parti politik yang bertanding mendapat sokongan majoriti bagi membolehkan parti atau gabungan parti politik membentuk Kerajaan Negeri Sabah. Daripada jumlah parti politik yang bertanding hanya dua buah parti politik sahaja yang mendapat jumlah yang besar, iaitu Parti GRS dan Parti Warisan Sabah (Warisan). GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor mendapat sebanyak 29 kerusi manakala Warisan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal mendapat sebanyak 25 kerusi DUN. Parti politik lain mendapat bilangan kerusi yang sangat lemah secara bandingan dengan jumlah keseluruhan DUN Sabah sebanyak 73 kerusi itu.

Perkembangan dan percaturan kuasa politik Sabah selepas keputusan PRN ke-17 diumumkan adalah menarik untuk dikaji dalam memahami bagi pembentukan kestabilan politik di negeri tersebut. Situasi yang berlaku pada PRN kali ini jauh lebih baik daripada yang berlaku pada bulan Mei 2018, iaitu selepas PRU-14. Hal ini ada hubungannya dengan jumlah kerusi yang dimenangi oleh GRS dan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti Warisan. Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal memenangi sebanyak 25 kerusi, iaitu perbezaan tipis hanya empat kerusi lebih daripada parti GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor yang berjaya membentuk kerajaan negeri dengan mudah dan lancar. Beliau berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada pukul 3:00 pagi 30 November. Beliau berjaya menarik sokongan daripada ADUN bebas sebanyak lima kerusi, UPKO pimpinan Datuk Awon Benedict sebanyak tiga kerusi dan daripada calon tunggal PH/PKR satu kerusi. Jumlah 38 kerusi itu sudah mencukupi bagi membentuk majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri.

Dalam perkembangan ini, kita dapat lihat kekuatan pimpinan beliau dalam menarik sokongan parti-parti yang dalam pilihan raya adalah pesaing, tetapi berjaya ditarik sebagai rakan bagi membentuk kerajaan negeri. Saya melihat hal ini sebagai kekuatan pimpinan beliau (asas yang kuat adalah bilangan 29 kerusi ADUN itu). Asas bilangan ini tidak ada pada parti Warisan dan sukar bagi parti itu mendapat angka minimum 37 kerusi. Keadaan ini berbeza daripada situasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), (2018) kerana Warisan dan BN/UMNO mendapat bilangan kerusi DUN yang sama, iaitu 29:29 (jumlah keseluruhan DUN Sabah pada tahun 2018 adalah sebanyak 60 kerusi). Angka majoriti mudah pada ketika itu sebanyak 31 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, iaitu dengan penambahan hanya dua kerusi DUN sahaja. Harus diingatkan bahawa berjaya membentuk majoriti mudah tidak bermakna berjaya membentuk kekuatan sebenar dan kestabilan. Inilah yang membawa kepada ketidakstabilan politik dan pentadbiran Sabah dalam tempoh minggu pertama selepas keputusan PRU-14 pada 9 Mei 2018. Keadaan ini berbeza daripada situasi yang berlaku selepas 29 November 2025 lalu.

Perkembangan dan percaturan politik Sabah selepas PRN Ke-17 dan kaedah yang dilakukan oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah berjaya membentuk kestabilan yang sukar dicabar oleh parti Warisan. Jika perkembangan ini terus berjalan lancar, pastinya situasi ini mampu membina kestabilan politik di negeri Sabah pada masa akan datang. Perkara yang dilakukan oleh beliau ini lebih kepada mendekati proses pembentukan sistem dua parti (two party system), iaitu amalan politik pilihan raya di negara maju seperti di AS dan UK. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji berjaya membina kerjasama politik dengan parti politik yang menjadi “musuh” semasa pilihan raya. Parti politik seperti BN/UMNO. UPKO, STAR merupakan pesaing dan “musuh” semasa pilihan raya berlangsung. Kesemua parti politik ini berjaya dibawa masuk sebagai parti gabungan bersama GRS pimpinan beliau. Calon tunggal PAS, iaitu Datuk Dr. Aliakbar Gulasan juga menyatakan sokongan dan bekerjasama dengan pentadbiran Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

Calon tunggal Perikatan Nasional dari PAS, iaitu Datuk Dr. Aliakbar Gulasan menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

Selepas pilihan raya, kita dapati hanya dua parti politik yang mewarnai politik Sabah, iaitu parti Warisan dan GRS serta parti politik yang menyokong pentadbiran Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor. Hanya dua buah parti politik atau gabungan parti politik yang terbentuk dalam negeri selepas PRN Sabah Ke-17. Sekiranya situasi ini dapat dikekalkan, maka Sabah melalui satu proses baharu dalam politik pilihan raya, iaitu berasaskan sistem dua parti utama. Keadaan akan menjadi lebih baik pada masa hadapan dalam pengurusan politik di negeri ini. Sabah mampu mencapai satu tahap pengurusan politik matang yang menyamai politik negara maju, iaitu hanya dua buah parti politik yang mewarnai struktur parti politik pada peringkat negeri. Sekiranya hal ini dapat dikekalkan, maka akan terbentuklah sistem dua parti. Semoga pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berjaya mengekalkan dan membentuk sistem dua parti dalam PRN Sabah pada PRN akan datang.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid, Felow Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Asal Borneo (BorIIS),Universiti Malaysia Sabah.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi