Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Wilayah Persekutuan yang disambut setiap pada 1 Februari setiap tahun menandakan kelahiran sebuah entiti khas dalam struktur negara. Hal ini dikatakan demikian kerana wilayah yang diletakkan terus di bawah pentadbiran Persekutuan demi kepentingan bersama-sama. Tarikh ini berakar pada 1 Februari 1974, apabila Kuala Lumpur secara rasmi diserahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan. Langkah ini bertujuan memastikan pusat pentadbiran negara ditadbir secara lebih tersusun, neutral dan menyeluruh. Kemudian, Labuan menyusul sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1984, diikuti Putrajaya pada 2001. Ketiga-tiga wilayah ini mempunyai peranan yang berbeza, namun tetap mempunyai hala tuju yang sama.

Wilayah Persekutuan bukanlah sekadar hasil penstrukturan pentadbiran. Di sinilah pertemuan kepelbagaian rakyat berlaku setiap hari. Keadaan ini termasuklah dalam urusan, perkhidmatan, pekerjaan dan kehidupan. Secara tidak langsung penstrukturan ini menjadi cerminan inisiatif negara mengurus kemajuan tanpa menafikan nilai kemanusiaan. Justeru, sambutan 1 Februari mengajak kita melihat masa hadapan lebih jauh selain cuti umum setiap tahun. Sewajarnya setiap warga Wilayah Persekutuan mengetahui bahawa wilayah ini terbina atas kepercayaan, pengorbanan dan tanggungjawab bersama. Malahan, setiap warganya mempunyai peranan untuk menjaga, menyumbang dan memaknainya.
Warga Wilayah Persekutuan ialah tunjang keharmonian dan kemajuan wilayah yang menjadi nadi pentadbiran serta cerminan negara. Sebagai wilayah yang menempatkan pusat pentadbiran, perkhidmatan dan ekonomi, Wilayah Persekutuan dihuni oleh masyarakat pelbagai latar budaya, pekerjaan dan pandangan hidup. Peranan warga bukan sekadar mematuhi undang-undang, tetapi memupuk sikap bertanggungjawab, saling menghormati dan menjaga kesejahteraan bersama dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, amalan seperti menjaga kebersihan bandar, mematuhi peraturan awam, menghormati kepelbagaian kaum dan agama, serta terlibat dalam aktiviti komuniti mencerminkan kesedaran warga terhadap tanggungjawab mereka. Sikap ini membantu membentuk persekitaran wilayah yang selamat, tersusun dan inklusif. Oleh hal yang demikian, peranan warga Wilayah Persekutuan tidak boleh dipandang ringan. Setiap tindakan, sekecil mana pun, menjadi penyumbang kepada imej wilayah ini sebagai lambang perpaduan, kematangan sosial dan kemajuan Malaysia secara keseluruhan.
Selain itu, kepelbagaian sosial di Wilayah Persekutuan merupakan kekuatan utama, namun turut menuntut pengurusan pembangunan bandar yang adil, inklusif dan seimbang. Hal ini dikatakan begitu kerana Wilayah Persekutuan menjadi tumpuan rakyat dari seluruh negara dan luar negara untuk bekerja, belajar dan menetap. Kepelbagaian kaum, budaya, latar ekonomi dan gaya hidup ini memperkaya identiti wilayah, namun pada masa sama mencetus cabaran seperti jurang pendapatan, akses perumahan mampu milik, tekanan infrastruktur dan ketidakseimbangan peluang.
Isu perumahan di bandar misalnya, khususnya kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki atau menyewa rumah di Kuala Lumpur dan Putrajaya, sering menjadi perbincangan. Malahan, kewujudan kawasan setinggan bandar, kesenjangan kemudahan awam antara kawasan elit dan kawasan padat penduduk, serta tekanan terhadap pengangkutan awam menunjukkan bahawa pembangunan fizikal perlu disertai kepekaan sosial. Dalam konteks ini, kepelbagaian warga hanya akan menjadi kekuatan jika setiap lapisan masyarakat tidak tercicir daripada arus pembangunan. Jelaslah bahawa kejayaan Wilayah Persekutuan tidak boleh diukur melalui kemodenan semata-mata, tetapi melalui keupayaannya mengurus kepelbagaian dan pembangunan secara manusiawi. Perkara ini amat wajar diperhalus agar kemajuan yang dicapai dapat dirasai secara bersama.
Di samping itu, kelestarian bandar merupakan agenda penting Wilayah Persekutuan dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan, alam sekitar dan kualiti hidup warga pada masa hadapan. Sebagai wilayah yang berkembang pesat, Wilayah Persekutuan berdepan tekanan terhadap alam sekitar seperti pencemaran udara, pengurangan kawasan hijau dan peningkatan sisa pepejal. Pembangunan yang tidak dirancang secara lestari boleh menjejaskan kesejahteraan jangka panjang, justeru perancangan bandar perlu mengambil kira aspek alam sekitar, kesihatan awam dan keperluan generasi akan datang.
Media massa sering mengetengahkan isu banjir kilat di kawasan bandar, peningkatan suhu akibat kesan pulau haba, serta kesesakan lalu lintas. Musibah ini mencetuskan pencemaran udara walaupun mencerminkan keperluan mendesak terhadap pembangunan mampan. Usaha memperluas pengangkutan awam, memelihara kawasan hijau bandar, dan menggalakkan amalan mesra alam seperti pengurangan penggunaan plastik menunjukkan bahawa kelestarian bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi menuntut pelibatan aktif warga. Secara ringkasnya, masa hadapan Wilayah Persekutuan bergantung pada kebijaksanaan warganya pada hari ini. Pembangunan yang lestari akan memastikan wilayah ini kekal berdaya huni, seimbang dan relevan sebagai pusat negara yang bukan sahaja maju, tetapi juga berperikemanusiaan.
Seterusnya, Wilayah Persekutuan berperanan sebagai wajah pentadbiran negara, seriring dengan kualiti tadbir urus dan tahap kepercayaan awam menjadi penentu imej Malaysia di mata rakyat dan dunia. Sebagai pusat pentadbiran dan penggubalan dasar, setiap keputusan, dasar dan pelaksanaan di Wilayah Persekutuan memberi kesan langsung terhadap keyakinan rakyat. Tadbir urus yang telus, cekap dan berintegriti bukan sahaja menjamin kelancaran pentadbiran, malah membentuk kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan.
Contoh ketara ialah isu birokrasi, kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, serta ketelusan dalam pengurusan bandar sering menjadi perhatian masyarakat. Pada masa yang sama, usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan, penambahbaikan sistem penyampaian dan penglibatan rakyat dalam proses membuat keputusan menunjukkan komitmen ke arah tadbir urus yang lebih responsif dan inklusif. Oleh hal yang demikian, kecemerlangan Wilayah Persekutuan tidak hanya diukur melalui bangunan pentadbiran atau dasar yang digubal, tetapi melalui sejauh mana kepercayaan rakyat dapat dipelihara, kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah wilayah dan negara.
Kesimpulannya, Hari Wilayah Persekutuan adalah lebih daripada tarikh sambutan. Hari keramat ini menandakan perpaduan, tanggungjawab warga, dan kemajuan wilayah yang menjadi nadi pentadbiran negara. Warga Wilayah Persekutuan seharusnya membulatkan kesetiaan kepada Raja dan negara, sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Sudah pastilah pembangunan wilayah ini akan bersifat lestari, inklusif dan harmonis. Aapek Tadbir urus, kepelbagaian sosial, kelestarian bandar, dan kesedaran sivik warga membentuk asas kejayaan Wilayah Persekutuan.
Pada masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol Badan Tertinggi di Wilayah Persekutuan perlulah dijadikan naungan demi kesetiaan, tanggungjawab, dan komitmen terhadap negara. Sesungguhnya, 1 Februari bukanlah sekadar cuti, tetapi peluang untuk memaknakan diri sebagai warga yang aktif, bertanggungjawab dan berintegriti. Usaha bersepadu ini perlu dipikul bersama-sama demi masa hadapan Wilayah Persekutuan dan Malaysia yang lebih gemilang.
Penulis merupakan seorang pendidik dan turut bergelar Munsyi Dewan.