Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLandskap kesihatan awam Malaysia kini menunjukkan remaja semakin berhadapan dengan cabaran kompleks seperti peningkatan obesiti, tekanan mental dan gaya hidup yang sedentari. Gaya hidup sedentari merujuk cara seseorang menjalani kehidupan yang tidak aktif secara fizikal dan hanya melibatkan aktiviti fizikal ringan. Contohnya, menonton televisyen, bermain permainan video dan berbaring di luar waktu tidur. Hal ini menyebabkan peningkatan obesiti dalam kalangan remaja.
Dianggarkan separuh daripada rakyat Malaysia kini berada dalam kategori berat badan berlebihan atau obes, iaitu Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 25 kg/m2. Menurut Dasar Kesihatan Remaja Negara (DKRN), remaja merujuk individu berumur antara 10 tahun hingga 19 tahun. Walaupun Ramadan sering dilihat sebagai bulan ibadah, namun bulan ini mengandungi dimensi kesihatan yang signifikan dan berpotensi membentuk kesejahteraan fizikal, mental, sosial dan rohani remaja. Sehubungan dengan itu, Ramadan boleh ditafsirkan sebagai manifestasi praktikal kepada konsep kesihatan holistik yang digariskan dalam DKRN melalui pembinaan gaya hidup yang sihat dan seimbang kepada remaja Malaysia.
Dari sudut kesihatan fizikal, puasa berpotensi membantu menangani isu obesiti yang semakin membimbangkan di Malaysia. Statistik yang dikeluarkan National Health and Morbidity Survei (NHMS) menunjukkan bahawa peratusan rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes meningkat daripada 50.1 peratus pada tahun 2019 kepada 54.4 peratus pada tahun 2023. Statistik yang membimbangkan ini menekankan keperluan untuk campur tangan segera bagi mencegah penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, paras kolestrol meningkat dan pelbagai jenis penyakit barah.
Trend ini memberikan implikasi serius kepada remaja kerana tabiat pemakanan tidak sihat dan kurang aktiviti fizikal lazimnya terbentuk sejak usia muda. Amalan berpuasa sepanjang Ramadan melatih disiplin pemakanan, mengawal waktu makan dan menggalakkan kesederhanaan, selari dengan prinsip pemakanan sihat dan seimbang mengikut keperluan tubuh badan.
Dari perspektif sains biologi, puasa turut dikaitkan dengan pengaktifan proses autofagi (sel memakan diri sendiri), iaitu mekanisme semula jadi sel yang berperanan menyingkirkan komponen rosak dan mengitar semula bahan sel bagi pembentukan sel baharu. Yoshinori Ohsumi menemui gen penting untuk proses ini pada tahun 1990-an, menjadikannya pemenang Hadiah Nobel Fisiologi atau Perubatan 2016. Kajian menunjukkan bahawa keadaan kekurangan nutrien, seperti puasa dalam jangka pendek, boleh merangsang autofagi dan menyokong kesihatan sel serta menyumbang kepada pencegahan penyakit degeneratif.
Selain puasa, solat tarawih juga memberikan sumbangan terhadap kesihatan remaja. Dari sudut fizikal, pergerakan berulang seperti berdiri, rukuk dan sujud melibatkan aktiviti otot dan sendi yang menyerupai senaman ringan, sekali gus membantu meningkatkan fleksibiliti dan peredaran darah. Dari aspek mental dan emosi, pelaksanaan tarawih secara khusyuk membantu menenangkan minda serta mengurangkan tekanan.
Pelaksanaan secara berjemaah pula menggalakkan interaksi sosial dan perasaan kebersamaan, yang merupakan faktor pelindung penting terhadap masalah kesihatan mental remaja. Amalan ibadah lain seperti membaca al-Quran dan muhasabah diri, membolehkan remaja menilai tingkah laku harian, selain itu, tabiat berisiko seperti merokok sepanjang berpuasa turut menyumbang kepada kesedaran disiplin, kesejahteraan mental dan rohani. Kajian oleh Koenig (2012) mendapati bahawa pelibatan dalam aktiviti keagamaan berkait rapat dengan kestabilan emosi dan kesejahteraan psikologi remaja. Dalam persekitaran yang sarat dengan tekanan akademik dan sosial, Ramadan menyediakan ruang refleksi diri yang amat bermakna.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183) Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai (pelindung). Apabila ada seseorang di antara kamu berpuasa, janganlah dia berkata yang kotor dan janganlah dia bertindak bodoh. Jika seseorang mencela atau berbuat buruk kepadanya, katakanlah: ’Saya sedang berpuasa.’ Puasa merupakan senjata melawan hawa nafsu dan syaitan. Dengan menahan diri daripada makan dan minum, seseorang membangun ketahanan terhadap godaan syaitan,” kata Imam Al-Ghazali.
Ramadan merupakan manifestasi kesihatan holistik yang signifikan bagi remaja Malaysia. Melalui integrasi amalan puasa, solat tarawih, penghayatan rohani dan sokongan sosial, Ramadan bukan sahaja membentuk disiplin diri, malah menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan sosial remaja. Oleh itu, dengan bimbingan keluarga, institusi pendidikan dan sokongan dasar kesihatan negara, Ramadan berpotensi dimanfaatkan secara strategik dalam usaha melahirkan generasi remaja yang sihat, seimbang dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi Dasar Kesihatan Remaja Negara.