Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 22 Mac 2026, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menayangkan Konsert Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun. Ya, selama itulah perjalanan seni Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin hingga ke hari ini! Usai menonton persembahan Biduanita Negara ini selama dua jam di kaca televisyen, hadirnya suatu perasaan sebak, terharu dan bangga yang bercampur baur. Masakan tidak, penulis menjadi saksi hidup perjalanan karier beliau sejak memenangi pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada tahun 1995, seterusnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-11 melalui lagu debut berhantunya, Jerat Percintaan setahun selepas itu. Dari saat itu, nama Siti Nurhaliza tidak lagi sekadar hadir, tetapi terus mekar dalam ingatan kolektif masyarakat majmuk Malaysia.

Dipimpin oleh maestro tersohor selaku pengarah muzik bersama Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail, konsert ini turut menjadi saksi perjalanan panjang beliau yang telah menyaksikan perkembangan diri Siti Nurhaliza sejak usia belasan tahun hingga kini bergelar seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata comel, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa. Yang menariknya, konsert ini juga menjadi detik akhir Datuk Mokhzani sebelum meninggalkan RTM setelah berbakti selama 35 tahun lamanya (1991-2026). Llebih manis selain mengakhiri tugasannya di RTM dengan mengetuai persembahan biduanita termasyhur Nusantara ini?

Bagai sirih pulang ke gagang, Siti Nurhaliza kembali beraksi di tapak awal yang menyaksikan kelahirannya sebagai seorang bintang, iaitu di Angkasapuri Kota Media yang dahulunya dikenali sebagai Wisma RTM. Lokasi ini sendiri seakan-akan menyimpan magis dan tuah tersendiri buat beliau, seperti pulang semula ke rumah yang sarat kenangan. Sejujurnya, penulis melihat Siti Nurhaliza sebagai seorang yang bijak berkomunikasi dengan audiens ketika membuat persembahan. Kematangannya dalam berinteraksi semakin terserlah seiring dengan usia pelibatannya sebagai seorang penghibur. Tutur katanya tidak kaku dan tidak juga membosankan, disulami unsur humor dan gurau canda secara sederhana namun cukup untuk mencuit hati sesiapa yang mendengar dan memahaminya. Penghargaan juga wajar diberikan kepada penulis skrip merangkap pengurus peribadinya, Rozi Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Rozi Sang Dewi.
Dalam ruangan aplikasi Thread, Rozi mendedahkan bahawa Siti Nurhaliza sebenarnya berada dalam keadaan kurang sihat yang sedikit sebanyak dapat dikesan ketika beliau berinteraksi dengan penonton. Namun begitu, sebaik sahaja beliau memulakan nyanyian dan mencapai nota pertama, segala kekurangan itu seolah-olah lenyap. Suaranya kembali utuh dan sempurna seperti biasa. Ternyata, gabungan aura Siti Nurhaliza dan RTM cukup ampuh dan padu, merentasi masa dan pengalaman. Benar, bakat dan suara yang dikurniakan kepada beliau merupakan suatu anugerah Ilahi, namun diperkukuh oleh disiplin, kerja keras dan konsistensi untuk senantiasa memberikan yang terbaik.
Tirai persembahan dibuka dengan Kesuma, lagu daripada album terbaharu beliau, Gema Bumantara (2025). Siti Nurhaliza memulakan segmen dengan lagu-lagu tradisional, mengingatkan kembali bahawa lagu irama Malaysia, Bahtera Merdeka, merupakan lagu terawal yang beliau berani bawakan di pentas suatu masa dahulu. Seperkara yang menarik tentang Siti Nurhaliza ialah meskipun mampu berdiri gah dengan jenamanya sendiri, beliau tetap membuka ruang kepada generasi baharu dalam industri seni untuk berkongsi pentas. Malah, mereka diberikan peluang untuk mempersembahkan karya sendiri. Pemilihan duo Kmy Kimo dan Luca Sickta melalui lagu 7 Nasihat memperlihatkan nuansa lagu berentak hip hop dalam diskografi beliau, sekali gus mengimbau kolaborasi terdahulu menerusi lagu Dua Dunia bersama Malique dan Joe Flizzow daripada kumpulan Too Phat.
Duetnya bersama-sama ratna balada kontemporari masa kini, Aina Abdul? Sememangnya senantiasa dinanti-nantikan oleh seluruh peminat kedua-dua diva ini, khususnya Sitizoners dan Ainations! Paduan suara mereka melalui Kumbang Bunga (nyanyian asal Siti Nurhaliza bersama Lesti Kejora) menyerlahkan kehebatan dan keunikan vokal masing-masing yang tak perlu dinafikan dan dipersoalkan lagi. Secara tersirat, persembahan ini juga memberi isyarat bahawa kedua-duanya saling menyokong antara satu sama lain, walakin wujud segelintir peminat yang gemar membanding-bandingkan mereka dari pelbagai sudut.
Seleksi lagu balada seperti Kau Kekasihku, Bukan Cinta Biasa dan Aku Cinta Padamu yang disampaikan dengan susunan muzik segar memberikan nafas baharu kepada karya-karya tersebut. Penari kanak-kanak cilik yang mengiringi persembahannya turut mengimbau nostalgia penulis kepada persembahannya sewaktu AJL ke-16 menerusi lagu Ya Maulai. Segmen penghormatan buat mantan mahagurunya, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan melalui medley lagu-lagu hit seperti Gelora Asmara, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih dan Azimat Cinta membuktikan bahawa jasa insan yang pernah mencorakkan perjalanan awal kariernya tidak pernah dilupakan. Selain Adnan Abu Hassan, nama-nama seperti Allahyarham Pak Ngah dan S. Atan turut menjadi sumber inspirasi yang besar buat beliau.
Tidak meletakkan dirinya setinggi bintang yang sukar digapai mahupun serendah mutiara yang tersembunyi, biduanita rakyat ini sentiasa hadir bersama kita baik sebagai seorang penghibur, usahawan, duta produk, ikon, ibu mahupun insan biasa. Wajah manisnya ada di mana-mana manakala suara buluh perindunya sering berkumandang di pelbagai medium. Pada era media sosial ini, beliau begitu dekat dengan peminatnya melalui siaran langsung serta perkongsian di Instagram dan TikTok. Hal ini membuktikan bahawa Siti Nurhaliza tidak melupakan akar tradisi di samping turut meraikan arus pemodenan dalam muzik dan platform sosial. Sinergi antara yang lama dan yang baharu menjadi kunci utama, menjadikan kedudukannya sebagai artis papan atas tidak mudah digugah.

Memandangkan konsert ini ditayangkan pada malam raya kedua, tirai persembahan dilabuhkan dengan lagu raya malar segar ikonik, Nazam Lebaran ciptaan Pak Ngah. Sebagai seorang Biduanita Negara, penonjolan unsur budaya dalam repertoir nyanyian merupakan suatu yang penting dan lagu raya menjadi salah satu wahana yang paling dekat dengan jiwa masyarakat. Maka itu, tidak hairanlah, karya-karya seperti Sesuci Lebaran, Air Mata Syawal dan Anugerah Aidilfitri terus subur didendangkan setiap kali Syawal menjelang. Malah, Siti Nurhaliza juga kekal produktif mengeluarkan lagu raya baharu hampir saban tahun, antaranya Lip Lap Raya, Raya Nak Ke Mana? dan Beraya Dengan Saya, sekali gus memperlihatkan keupayaannya memelihara tradisi sambil menyuntik nafas semasa dalam khazanah muzik perayaan tanah air. Seperkara yang pasti, sesiapa yang menyaksikan persembahan beliau pasti berpuas hati lantaran keupayaannya dalam menyampaikan pelbagai genre lagu dan irama dengan begitu baik sekali.
Melalui Konsert Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun ini, banyak yang dapat dipelajari oleh penggiat seni khususnya dan masyarakat secara umum. Konsert ini bukan sekadar perayaan, tetapi sebuah cerminan tentang erti ketekunan, kesetiaan dan kebijaksanaan dalam mengemudi perjalanan seni, sekaligus mengajarkan kita bahawa untuk kekal relevan, seseorang bukan sahaja perlu berubah, tetapi juga tahu memelihara asas yang membentuk dirinya.
Akhirnya, perjalanan ini masih belum menemukan bibit noktah. Selagi suara emas ini masih bergema dan semangatnya terus menyala, selagi itulah legasi ini akan terus disulam, mungkin untuk 30 tahun yang seterusnya pula. Semoga Biduanita Negara kesayangan ramai ini terus dikurniai kesihatan yang baik dan kekuatan untuk berkarya demi manfaat agama, rakyat dan tanah air kerana dalam setiap nyanyiannya, tersimpan denyut rasa sebuah bangsa berbudaya.
Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah merupakan Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB), Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia dan pernah menulis beberapa puisi, cerpen dan artikel yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Tamadun Islam seputar topik undang-undang, isu semasa, motivasi, figura, sukan, muzik dan filem.