Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAllahyarham Dato’ Dr. Firdaus Abdullah dengan tuntas mewajibkan karya Profesor Emeritus Ezrin Arbi disebarkan secara meluas “untuk membetulkan kesalahan fakta”. Hal ini dikatakan demikian kerana akan “meluruskan” interpretasi yang bengkok dan “mitos yang salah” atau setidak-tidaknya “mitos yang tidak tepat”. Beliau dengan jelas merujuk kenyataan “Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy” dan soal “pembukaan” Kuala Lumpur atau mana-mana tempat dalam sejarah di rantau ini, khususnya sejarah Malaysia banyak membentuk tanggapan dan pemahaman kita.
Kata-kata itu dilontarkan dalam ruangan “Seulas Pinang” oleh Dato’ Dr. Firdaus Abdullah yang bersifat pengenalan kepada karya Profesor Ezrin Perkembangan Awal Kuala Lumpur: Sumbangan Perantau Minang (2023). Buku itu dihadiahkan kepada saya oleh Pak Ezrin dengan nukilan “untuk teman seperjuangan”. Semasa idea membawa satu lagi perspektif mengenai kehidupan awal Kuala Lumpur, saya memaklumkan kepada Pak Ezrin bahawa saya tidak ada bahan dan latar belakang mengenai sejarah dan kehidupan awal Kuala Lumpur. Saya amat setuju dalam menyuarakan satu naratif yang berbeza daripada apa-apa yang sering diketahui. Pada tahun 2018, Abdur-Razzaq Lubis telah menerbitkan Sutan Puasa: Founder of Kuala Lumpur (Sutan Puasa: Pengasas Kuala Lumpur). Ini merupakan satu cabaran dalam membetulkan satu naratif yang cuba menonjolkan satu naratif yang lain.
Dato’ Dr. Firdaus telah mengingatkan kita tentang kecuaian (penulisan) sejarah, dan penyelewengan fakta yang berlaku selama ini. Beliau membangkitkan soal pengiktirafan yang setimpal, fakta yang tepat dan interpretasi yang jujur. Ini merupakan syarat yang mutlak untuk kita berdialog dengan sejarah. Dialog itu adalah untuk merancang masa hadapan dalam meneruskan kehidupan. Pembinaan sesebuah negara bangsa, apatah lagi sesebuah negara ketamadunan, memerlukan akar yang kukuh supaya kita tidak akan “kehilangan akal” untuk menghadapi masa depan yang penuh mencabar. Beliau menggesa bahawa fakta sejarah yang tepat mengenai individu-individu yang terlibat mesti dinyatakan.
Sebagai contoh, naratif dan imej Haji Abdullah Hukum, Dato’ Khatib Koyan dan Haji Ahmad Taib misalnya, tidak diceritakan dengan fakta yang sewajarnya. Namun begitu, buku Perkembangan Awal Kuala: Sumbangan Perantau Minang ini amat berguna untuk memperdalam pengetahuan kita tentang geografi dan sejarah Minangkabau, selain tentang budaya merantau dan perantau. Kawasan Lembah Kelang adalah satu dari kawasan rantau penting untuk perantau Minangkabau dan bukan satu anomali dalam gagasan kesedaran “orang Minang”. Negeri Sembilan tidaklah memiliki keunikan sepenuhnya dalam hal perantauan Minangkabau.
Malah, seperti yang pernah saya tulis dalam beberapa esei, terutamanya dalam buku saya Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang (2015), orang Minangkabau bertebaran di seluruh Kepulauan Melayu – dari Sumatera ke Filipina, dari Kelantan ke Sarawak dan Brunei, dari Gombak ke Alor Setar. Datuk Dr. Firdaus pernah membisikkan kepada saya bahawa orang Minangkabau adalah “penjajah yang halus”. Maksudnya, di mana-mana sahaja akan terdapat orang Minangkabau, yang tidak dipisahkan daripada institusi dan amalan merantau. Di situlah, sumbu budaya Melayu itu tercetus. Pandangan sarwa Alam Melayu seterusnya disemarakkan. Inilah kekuatan perantau Minangkabau di Alam Melayu. Kekuatan ini ditampilkan dengan sikap yang tidak sombong – sederhana dan rendah diri.
Mungkin inilah juga yang kita dapati daripada “Prakata” Pak Ezrin. Beliau bermula dengan menyatakan bahawa “… penulis buku ini, merupakan seorang peminat sejarah, bukan pakar sejarah. Saya mengenali nama Pak Ezrin sejak tahun 1970-an semasa beliau berada di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam; tetapi hanya bertemu susuk peribadinya pada tahun 2005 pada majlis pertemuan orang-orang Minangkabau di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Pak Ezrin mengenali sejarah dan semangat perancangan Kuala Lumpur, bukan hanya sebagai ibu kota Malaysia, tetapi juga sebagai sebuah petempatan awal peribumi dan perantau. Beliau merupakan perancang utama dan Pengurus Projek Unit Pelan Induk (UPI) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada akhir tahun 1970-an. Beliau “dipinjam” dari ITM untuk menyediakan Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) yang pertama. Jelas beliau, bagi menyempurnakan tugasan tersebut, “Saya terpaksa mempelajari sejarah bandarnya. Hal ini disebabkan “kita hanya boleh membuat rancangan masa hadapan dengan baik jika mengetahui perkara yang telah berlaku pada masa silam dan memahami keadaan kita sekarang”. Beliau menegaskan bahawa sejarah awal Kuala Lumpur melibatkan anak negeri, pendatang dari seberang, imigran asing serta penjajah British yang masing-masing mempunyai peranan dalam perkembangan awal bandar itu.
Beliau mendapati masih banyak orang termasuk anggota pasukannya sendiri yang pada awalnya percaya bahawa Kuala Lumpur diasaskan oleh Yap Ah Loy, seorang imigran dari China. Malah empat puluh tahun kemudian pada tahun 2021 ketika buku ini dalam persiapan, masih ada penulis yang cuba menonjolkan nama itu. Penyebaran sejarah yang tidak tepat yang kononnya Yap Ah Loy pengasas atau pendiri Kuala Lumpur bermula secara konsisten pada awal abad ke-20. Dengan menggunakan pelbagai hujah yang diada-adakan serta merujuk penulisan orang asing yang tidak tepat serta memutarbelitkan maklumat, menyebabkan banyak orang menjadi buta sejarah lalu mempercayainya.
Menurut Ezrin, pada suatu ketika dahulu, murid-murid sekolah diberitahu bahawa Kuala Lumpur didirikan oleh Yap Ah Loy. Hal ini tentunya telah menimbulkan reaksi daripada orang-orang yang maklum tentang sejarah. Beliau dengan tegas menimbulkan usaha untuk meniadakan atau mengecilkan pelibatan orang Melayu. Sebaliknya ditonjolkan peranan bukan Melayu dalam pembinaan awal Kuala Lumpur berlaku secara sistematik dan berterusan. Naratif ini terus kekal disebarkan melalui budaya cetak dan diraikan lagi melalui wacana popular seperti dalam media sosial. Malah kegiatan-kegiatan sejarah dan warisan sering diadakan lalu memaparkan dan menyebarkan sejarah yang palsu itu.
Perkara yang tidak rencam dalam naratif, dianggap tidak wujud dalam kesedaran kita. Dalam hal ini, walaupun kita tahu akan nama dan peranan mereka seperti Abdullah Hukum, Dato’ Khatib Koyan dan sebagainya, mereka tidak diraikan dan tidak diceritakan sepenuhnya. Masyarakat hanya “sedar” apabila terpandang papan tanda tempat dan jalan. Kita tidak menganjurkan acara seperti syarahan dan seminar mengenai mereka; dan nama-nama mereka tidak diabadikan melalui cerita seperti mana nama Yap Ah Loy yang dikaitkan dengan Kuala Lumpur. Kita hanya kaitkan Abdullah Hukum dengan sebuah Kampung; atau Khatib Koyan dengan Kampung Baru – bukan dengan sejarah Kuala Lumpur.
Pak Ezrin menangkis pelbagai teori dan hujah. Ulasannya untuk mengemukakan sesuatu teori, kita perlu tahu tentang sejarah. Dalam hal ini, sebelum kuli-kuli Cina dihantar oleh Raja Abdullah pada 1857, nama Kuala Lumpur sudah pun wujud. Teori-teori itu yang dicetuskan oleh ahli akademik universiti tempatan dan di Singapura yang mengandaikan “Kuala Lumpur” tidak wujud sebelum 1857. Sebelum buruh-buruh Cina dihantar oleh Raja Abdullah melombong timah di Ampang, orang-orang Melayu tempatan bersama-sama Melayu Sumatera telah lama melampan timah di Lembah Kelang. Pak Ezrin dalam membalas tulisan “ilmiahnya” seorang pensyarah Nanyang University, Singapura, menyatakan pensyarah itu tidak sedar bahawa Raja Abdullah berasal dari keluarga yang sudah mengusahakan perlombongan dengan jayanya di Lukut dan mendirikan “bandar timah” yang moden pada awal abad ke-19.
Pak Ezrin menegaskan bahawa kesilapan pensyarah itu yang paling besar dengan menyatakan bahawa Yap Ah Loy ialah Kapitan Cina yang pertama dan oleh itu dialah pendiri Kuala Lumpur. Itu tidak betul, Faktanya beliau Kapitan Cina yang ketiga. Tanya Pak Ezrin, adakah “kesilapan” itu disengajakan? Beliau merujuk kepada Profesor Dr. Khoo Kay Kim yang pernah menyatakan dengan tegas bahawa Kuala Lumpur berasal daripada petempatan Melayu, dan bukan diasaskan oleh Yap Ah Loy. Kapitan Cina itu boleh dituntut sebagai “pembina semula” Kampung Cina Kuala Lumpur yang musnah kerana perang saudara.
Pak Ezrin juga menyentuh dalam kalangan penulis Melayu. Ada dalam kalangan kumpulan yang ada ingin menonjol Raja Abdullah sebagai Orang Besar yang dilantik secara rasmi oleh Sultan yang seharusnya diiktiraf sebagai pengasas Kuala Lumpur. Ada yang tidak bersetju kerana hujah sebelum pelantikannya, petempatan itu sudah pun wujud dan didiami oleh orang-orang Rawa dari Pasaman, Sumatera Barat dan orang Mandailing dari Tapanuli, Sumatera Utara. Beliau merujuk kepada Abdur-Razzaq Lubis yang menyatakan bahawa Sutan Puasa, tokoh masyarakat Mandailing di Kuala Lumpur pada awal abad ke 19 telah memainkan peranan penting dalam pembukaan petempatan baru di kawasan sekitar pertemuan Sungai Kelang dan Gombak serta mempelopori pembangunan sistem pengairan untuk tanaman padi di Setapak dan Segambut sebelum Raja Abdullah dilantik. Pak Ezrin memperakui hujah Lubis yang disebutnya sebagai kukuh dengan penelitian yang “amat komprehensif dan penuh maklumat terperinci”.
Namun begitu, Pak Ezrin berpendapat dan mengingatkan saya dalam beberapa pertemuan semasa menyiapkan bukunya itu bahawa kredit sebagai pengasas Kuala Lumpur tidak semestinya dan tidak patut diberikan kepada seseorang individu sahaja. Hal ini disebabkan Bandar Kuala Lumpur telah berkembang secara beransur-ansur di sepanjang sejarah melibatkan penduduk biasa – peribumi dan perantau, dan pengusaha lombong timah serta peniaga yang membina kehidupan mereka di kawasan sekitar pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak termasuklah peranan penguasa dan pemerintah Kolonial sejak tahun 1880-an dalam pembangunan fizikal Bandar. Selain daripada orang Mandailing, orang Rawa, Batubara, Kerinci dan Minangkabau pun ikut memberikan sumbangan dalam proses pembangunan Kuala Lumpur.
Dengan itu, tujuan utama beliau dalam penulisan buku Perkembangan Awal Kuala Lumpur: Sumbangan Perantau Minang ini ialah untuk menggali daripada timbunan sejarah sumbangan orang Minangkabau yang terbenam sejak seratus tahun perkembangan awal Kuala Lumpur. Budi, jiwa, rupa dan rasa Minang tidak pernah lentur dan luntur jika kita berada dalam persekitaran Kuala Lumpur. Inilah satu tafsiran sejarah yang jujur daripada seorang arkitek dan perancang bandar yang bertanggungjawab menyediakan Pelan Struktur Kuala Lumpur yang pertama, yang juga merupakan seorang perantau abad ke-20.
Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, Profesor dan Pengarah, Pusat Kajian Ketamadunan Melayu-Islam (CMICS), Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.