Diterbitkan pada 30 Mac 2026, 19:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Jurisprudens Watan menjadi asas metodologi bagi pembinaan Fiqh al-Watan dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Jurisprudens Watan merupakan suatu metodologi analisis undang-undang, hukum dan sistem kenegaraan yang berakar pada kedaulatan watan, bersifat integratif serta berfungsi sebagai mekanisme pembebasan epistemologi daripada pengaruh ilmu kolonial. Hal ini tidak sekadar menawarkan kerangka tafsiran undang-undang, tetapi membina suatu sistem pemikiran yang menyatukan perlembagaan, sejarah tempatan, adat setempat, syaria, dan prinsip moral dalam kesatuan epistemologi. Dalam konteks ini, Jurisprudens Watan menjadi asas metodologi bagi pembinaan Fiqh al-Watan sebagai disiplin fiqh kebangsaan yang kontekstual, beretika dan berdaulat.

Prinsip pertama Jurisprudens Watan ialah pelestarian kaedah pentafsiran perlembagaan yang telah dibangunkan oleh Mahkamah Persekutuan, khususnya dengan menguruskan pertembungan antara dua kerangka falsafah utama, iaitu kontinum dan dikotomi. Melalui kerangka kontinum, undang-undang dilihat sebagai kesinambungan nilai dan norma yang tidak terpisah antara dimensi agama, moral, adat dan perlembagaan. Manakala dikotomi difahami secara terhad sebagai alat teknikal bagi pengurusan fungsi, bukan sebagai pemisahan mutlak antara agama dan kehidupan awam. Pendekatan ini membolehkan teks undang-undang, sejarah watan, ‘urf tempatan dan prinsip syariah dibaca secara harmoni sebagai satu sistem hukum yang hidup.

Prinsip kedua Jurisprudens Watan ialah penolakan terhadap pemisahan mutlak antara undang-undang awam dan nilai moral atau agama. Berbeza daripada positivisme undang-undang Barat yang menafikan peranan etika dan wahyu dalam pembentukan undang-undang, Jurisprudens Watan berpaksikan prinsip kontinum jurisprudens yang menegaskan kesinambungan hukum Ilahi merentasi risalah para nabi. Prinsip ini memastikan bahawa undang-undang tidak terpisah daripada maqasid syariah dan nilai keadilan substantif, sekali gus menjadikan undang-undang dan hukum sebagai instrumen amanah, bukan semata-mata mekanisme kuasa. Dalam kerangka ini, Fiqh al-Watan lahir sebagai fiqh yang berfungsi membimbing penggubalan, pentafsiran dan pelaksanaan undang-undang berteraskan nilai watan.

Prinsip ketiga ialah penyemakan semula penglihatan sejarah melalui lensa watan. Jurisprudens Watan tidak menolak fakta sejarah yang sahih, namun menentang dominasi naratif ilmu kolonial yang menstrukturkan sejarah berdasarkan kepentingan kuasa asing. Sejarah, dalam pendekatan ini, ditafsirkan semula dengan mengekalkan autoriti tempatan, institusi watan dan kesinambungan kedaulatan sebagai paksi utama. Penyemakan sejarah ini penting kerana ilmu kolonial bukan sekadar meninggalkan sistem undang-undang, tetapi turut membentuk cara berfikir masyarakat sehingga meminggirkan jati diri dan autoriti epistemologi tempatan.

Dalam kerangka Fiqh al-Watan, kedaulatan watan diletakkan di puncak struktur hierarki kenegaraan sebagai prinsip tertinggi yang mengikat seluruh sistem tadbir urus. Pemerintah diletakkan sebagai pemegang amanah yang memikul tanggungjawab kekhalifahan, bukan sekadar simbol agama atau kuasa politik. Amanah ini menuntut pemerintahan berasaskan keadilan, penghormatan terhadap ‘urf tempatan, serta pemeliharaan maqasid syariah. Dengan demikian, legitimasi pemerintahan tidak berpunca daripada ideologi asing atau kehendak individu, tetapi daripada kesinambungan amanah kedaulatan watan.

Lebih signifikan, Jurisprudens Watan berfungsi sebagai alat penyahjajahan ilmu kolonial dan kolonialisme epistemologi yang masih berakar dalam pemikiran masyarakat dengan menyingkap kerangka epistemologi ilmu kolonial yang memisahkan undang-undang daripada nilai moral serta membebaskan naratif undang-undang, hukum dan sejarah daripada dominasi ideologi asing. Proses penyahjajahan ini bukan sekadar bersifat reaktif, tetapi konstruktif, iaitu membina semula sistem ilmu yang berakar pada watan, adat dan syariah. Dalam konteks ini, Fiqh al-Watan muncul sebagai produk pemikiran tempatan yang berfungsi dalam pentafsiran perlembagaan, pengembangan ilmu, pentadbiran negara, pengurusan sosial, serta pembinaan etika kebudayaan pasca ilmu kolonial.

Struktur kuasa dalam Fiqh al-Watan disusun selaras dengan prinsip kenegaraan Islam dan perlembagaan moden melalui pembahagian kuasa kepada legislatif, eksekutif dan kehakiman. Di bawah autoriti khalifah sebagai pemegang amanah kedaulatan, setiap cabang kuasa beroperasi secara seimbang dan beretika. Bagi memastikan penggubalan dasar dan pelaksanaan polisi selaras dengan prinsip watan, Jurisprudens Watan memperkenalkan kaedah PoCFAM sebagai metodologi analisis yang sistematik dan holistik.

Melalui pendekatan ini, Jurisprudens Watan bukan sahaja memperkukuh sistem undang-undang dan tadbir urus, tetapi juga berperanan sebagai mekanisme pembebasan intelektual yang mampu melahirkan Fiqh al-Watan sebagai disiplin pasca ilmu kolonial yang mendukung kedaulatan watan, maqasid syariah dan jati diri bangsa, sekali gus menjadikan undang-undang dan hukum sebagai instrumen transformasi sosial dan budaya.

PoCFAM dalam Pembinaan Fiqh al-Watan

Fiqh al-Watan sebagai kerangka pemikiran kebangsaan dibangunkan melalui metodologi analisis Jurisprudens Watan yang berpaksikan falsafah kedaulatan. Keistimewaan Fiqh al-Watan terletak pada keupayaannya menyepadukan prinsip kekuasaan berperlembagaan dengan pertimbangan ‘urf, adat, keutamaan dan maqasid syariah, agar prinsip perundangan Islam berfungsi secara kontekstual dalam realiti tempatan yang majmuk dan dinamik. Pendekatan ini membezakan antara sekular sebagai ruang kehidupan dengan sekularisme sebagai ideologi yang menolak agama.

Dalam falsafah kontinum, kewatanan manusia difahami sebagai fitrah sejak Nabi Adam AS diturunkan ke bumi, yang dipelihara melalui risalah para nabi sehingga disempurnakan oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, pembinaan negara dan institusi bukan sekadar projek politik atau ekonomi, tetapi amanah peradaban berteraskan tauhid, keadilan dan syura. Bagi mengurus realiti moden tanpa mengorbankan prinsip, PoCFAM diperkenalkan sebagai metodologi analisis yang menyokong pembinaan Fiqh al-Watan berlandaskan etika tadbir urus bertaraf dunia.

PoCFAM merangkumi lima elemen utama, iaitu Potensi, Cabaran, Kemudahan, Aulawiyyāt dan Maqāṣid. Potensi menilai kapasiti sebenar masyarakat dan institusi kenegaraan, termasuk kekuatan perlembagaan, struktur sosial dan sumber intelektual. Dalam konteks penyahjajahan, penilaian potensi membolehkan masyarakat mengenal pasti kekuatan dalaman yang selama ini dinafikan oleh ilmu kolonial, termasuklah nilai moral, tradisi dan kekuatan rohani.

Cabaran pula merangkumi faktor dalaman dan luaran seperti globalisasi, perubahan politik, kerencaman sosial dan kolonialisme epistemologi. Dengan mengiktiraf cabaran ini, Fiqh al-Watan dirumuskan secara pragmatik tanpa menjejaskan kedaulatan watan atau prinsip syariah. Cabaran dilihat bukan sebagai alasan untuk meniru piawaian asing, tetapi sebagai peluang untuk memperkukuh sistem kenegaraan berasaskan nilai watan.

Kemudahan menekankan pengoptimuman sokongan institusi, pendidikan, teknologi dan budaya dialog bagi memastikan pelaksanaan Fiqh al-Watan berkesan. Dalam kerangka penyahjajahan, kemudahan merangkumi peranan institusi seperti muzium pascakolonial dan sistem pendidikan sebagai wadah peneguhan epistemologi tempatan.

Aulawiyyāt menyusun tertib keutamaan berdasarkan realiti setempat agar reformasi berlaku secara berperingkat dan berhemah bagi memastikan bahawa pembebasan daripada kolonialisme tidak mengorbankan keharmonian masyarakat majmuk atau kestabilan institusi watan. Manakala maqasid berfungsi sebagai kompas normatif yang memastikan keseluruhan kerangka Fiqh al-Watan berlabuh pada objektif syariah, termasuk pemeliharaan identiti watan dan keutuhan kedaulatan.

Secara keseluruhannya, PoCFAM berperanan sebagai mekanisme penyahjajahan ilmu kolonial yang mengharmonikan tradisi, agama dan perlembagaan moden yang menjadikan Fiqh al-Watan suatu disiplin fiqh kebangsaan yang beretika, strategik dan berbudaya, serta mampu membimbing negara berdaulat dalam menghadapi kompleksiti pada era moden.

Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi