Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam satu sidang media bersempena dengan Persidangan PEMADAM Kebangsaan di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1980, Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie atau lebih dikenali sebagai King Ghaz, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu, telah ditanya soalan yang tidak berapa disenangi oleh beliau. Penulis yang pada masa itu baru dua tahun bertugas di Radio Malaysia Pulau Pinang dapat mengesan keresahan King Ghaz.
Penulis tiba-tiba terus teringat pesan rakan-rakan mengenai sikap beliau terhadap perkara seperti itu. Penulis menjangkakan King Ghaz akan menempelak wartawan yang bertanya itu, namun jangkaan penulis meleset. Allahyarham sebaliknya berkata dengan nada bergurau, “Saya rasa elok kita tidak teruskan sidang media ini dan awak balik buat kajian dahulu. Esok kita jumpa lagi.”
King Ghaz memang digeruni oleh wartawan yang bertugas pada zamannya kerana sikapnya yang sentiasa mengharapkan para wartawan mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya kepada beliau. Ini menyebabkan kebanyakan wartawan cukup berhati-hati apabila berhadapan dengan beliau ketika membuat liputan. Namun begitu, beliau tidak melatah apabila diajukan soalan yang mungkin berbaur sensitif, provokatif atau kritikal. Sebagai seorang menteri yang berpengalaman luas dalam hal pentadbiran, beliau sentiasa mengawal keadaan apabila berhadapan dengan media.
Penulis mengimbau kembali cerita di atas bagi melihat tindakan yang seharusnya dilakukan oleh menteri sekiranya berhadapan dengan situasi luar jangka seperti yang berlaku pada sidang media sebuah kementerian baru-baru ini.
Penulis tidak berniat untuk membandingkan King Ghaz dengan mana-mana menteri, baik yang sezaman dengannya atau menteri pada era kini. Namun begitu, elok kita lihat kembali perkara yang berlaku bagi mencari titik penyelesaian yang adil dan tidak memihak.
Ada dua isu yang dipertikaikan susulan maklum balas menteri berkenaan yang didakwa memperkecil soalan seorang wartawan dengan memberitahu bahawa beliau akan menghubungi editor akhbar berkenaan kerana bertanyakan soalan tentang tema kempen kementeriannya yang menggunakan bahasa Inggeris. Pertama, isu maklum balas menteri manakala yang kedua ialah isu bahasa.
Sudah pasti, kejadian pada sidang media tu menarik perhatian banyak pihak terutamanya golongan daripada dua bidang penting, iaitu industri media dan bahasa. Penulis berpandangan bahawa jika isu yang mencetuskan maklum balas menteri tersebut bukan berkaitan dengan bahasa, mungkin impaknya tidak sebesar itu.
Atas sebab berlatarbelakangkan industri media, penulis ingin menjuruskan pembicaraan ini dengan menyentuh hak pengamal media seperti yang terkandung dalam peruntukan Majlis Media Malaysia (MMM).
Menurut Timbalan Pengerusi MMM, Premesh Chandran, matlamat utama majlis itu adalah untuk membantu media berkembang, memaklumkan masyarakat, dan menegakkan demokrasi, sambil memastikan media sentiasa bertanggungjawab dan beretika. Justeru, MMM mestilah memastikan kebebasan media sentiasa dipertahankan agar dapat melaksanakan liputan dan pemberitaan yang objektif serta tidak berat sebelah.
Dalam isu yang membabitkan menteri yang diperkatakan di atas dan wartawan akhbar berkaitan, maklum balas menteri ketika wartawan tersebut bertanya soalan mengenai penggunaan tema berbahasa Inggeris untuk program kementerian berkenaan, boleh ditafsirkan sebagai menyekat kebebasan media. Bertanya soalan dalam sidang media merupakan hak wartawan manakala hak untuk menjawab atau tidak terpulang kepada responden. Responden boleh memilih untuk menjawab, berdiam diri atau sekadar berkata “tiada komen” yang sudah pasti akan menimbulkan kesangsian bahawa responden ingin menyembunyikan sesuatu.
Namun dalam isu kementerian itu, menteri memilih untuk mempersoalkan latar belakang wartawan dan memberitahu dengan nada serius akan menghubungi editor beliau. Wajarkah atau tidak tindakan sedemikian? Untuk menjawabnya, kita perlu berbalik pada peruntukan yang dinyatakan dalam MMM.
Perkara yang penulis boleh ulas ialah, soalan wartawan itu adalah sah dan wajar kerana tidak bernada provokatif atau serangan peribadi, jauh sekali cuba mengkritik. Sidang media bukan gelanggang debat, sebaliknya sebagai medan untuk berkongsi maklumat.
Percayalah, menyerang secara peribadi, tidak ada dalam kamus seorang wartawan. Setiap wartawan memang sudah terdidik untuk sentiasa menjaga nama baik organisasi yang diwakilinya.
Wartawan tidak ada kepentingan peribadi. Mereka bertugas semata-mata untuk menyampaikan maklumat kepada orang awam. Setiap soalan, termasuk soalan kritikal, yang dikemukakan kepada responden dilakukan demi kepentingan awam semata-mata.
Bagaimanakah pula dengan isu bahasa yang dibangkitkan oleh wartawan berkenaan? Oleh sebab penulis bukan pakar bahasa, penulis akan hanya menyentuh kerelevanannya dari sudut kerjaya kewartawanan.
Walau apa pun alasannya, bahasa tetap penting kerana mencerminkan nilai bangsa dan negara. Pemimpin yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan, dianggap telah mengingkari Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa bahasa bukan sahaja sekadar alat komunikasi, tetapi asas perpaduan dan identiti kebangsaan.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bererti bahawa kepentingan negara haruslah berteraskan bahasa Melayu. Maka itu, tiada alasan bagi mana-mana institusi kerajaan untuk menidakkan kepentingan bahasa Melayu dalam sebarang urusan rasmi kerajaan.
Penulis tidak ingin memanjangkan isu bahasa ini tetapi ingin menutup pembicaraan ini dengan amanat DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen pada 19 Januari lalu.
Baginda bertitah bahawa bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
“Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda.
Lihatlah negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Perancis dan Jerman. Negara-negara tersebut tetap kekal menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam semua urusan rasmi. Kenapakah tidak kita?
Penulis ialah mantan Setiausaha Agung Persatuan Veteran RTM.