Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenjelang tahun 2026, rantaian bekalan dunia bakal berhadapan dengan tekanan besar berikutan ketidaktentuan geopolitik, ekologi dan ekonomi. Konflik berterusan di Asia Barat terutamanya kawasan strategik perkapalan di Selat Hormuz dan Laut Merah telah mencetuskan suatu gangguan besar terhadap aliran logistik dunia dan perdagangan antarabangsa.
Gangguan Laluan Perdagangan Global
Ketegangan geopolitik telah memaksa kapal dagangan untuk mengubah laluan penghantaran yang lebih jauh ke Cape of Good Hope di Afrika Selatan. Perubahan ini menyebabkan tempoh penghantaran menjadi lebih panjang, serta meningkatkan kos operasi, antaranya termasuklah kos bahan api, insurans dan pengurusan logistik.
Tambahan pula, peningkatan tarif perdagangan dan langkah perlindungan bukan tarif turut memberikan tekanan kepada syarikat global. Banyak organisasi kini terpaksa menilai semula strategi perolehan mereka seperti mempertimbangkan pendekatan penempatan serantau (nearshoring) atau pewilayahan (regionalisation) untuk mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan.
Impak kepada Industri Minyak Global
Konflik di Asia Barat telah memberikan kesan langsung terhadap bekalan rantaian minyak global. Sekatan dan ketidakstabilan di Selat Hormuz sebagai laluan utama penghantaran minyak dunia telah mengganggu pengangkutan minyak mentah ke pasaran antarabangsa. Oleh itu, harga minyak mentah meningkat hampir 40 peratus, manakala kos perkapalan dan logistik juga turut melonjak.
Kesan kepada kenaikan harga ini bukan sahaja memberikan impak kepada negara pengimport minyak, malah turut memberikan tekanan kepada kestabilan ekonomi secara keseluruhan termasuk sektor pembuatan, pengangkutan dan perdagangan antarabangsa.
Kesan kepada Malaysia dan Perniagaan Antarabangsa
Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak melalui PETRONAS, namun negara ini juga tidak terkecuali daripada impak krisis global ini. Hal ini dikatakan demikian kerana lebih separuh daripada minyak mentah yang diproses di Malaysia masih perlu diimport untuk memenuhi keperluan domestik seperti petrol dan diesel, serta hampir 40 peratus daripada import tersebut melalui Selat Hormuz. Keadaan ini memberikan implikasi besar kepada:
Langkah Mitigasi oleh Malaysia
Sebagai langkah proaktif, PETRONAS telah memastikan bekalan bahan api domestik mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026. Selain itu, kerajaan Malaysia masih mengekalkan subsidi bahan api seperti RON95 dan diesel bagi mengawal impak kenaikan harga terhadap rakyat. Langkah ini penting bagi menstabilkan ekonomi domestik serta memastikan kelangsungan operasi industri dan perniagaan.
Krisis rantaian bekalan global pada tahun 2026 menunjukkan betapa rapuhnya sistem perdagangan antarabangsa apabila berdepan dengan konflik geopolitik. Malaysia, walaupun mempunyai kelebihan sebagai negara pengeluar minyak, namun masih terdedah kepada kejutan luaran. Oleh itu, strategi seperti digitalisasi rantaian bekalan, kepelbagaian sumber, serta kerjasama serantau menjadi semakin penting untuk memastikan daya tahan ekonomi dan kelangsungan perniagaan antarabangsa kukuh pada masa hadapan.