Diterbitkan pada 17 April 2026, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

NATO atau North Atlantic Treaty Organization ditubuhkan pada tahun 1949 melalui Perjanjian Atlantik Utara yang ditandatangani oleh asasnya 12 buah negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis, Kanada, Itali, Belgium, Belanda, Luxembourg, Norway, Denmark, Iceland dan Portugal. Penubuhannya berlaku dalam konteks awal Perang Dingin dengan tujuan utama untuk mengekang pengaruh Kesatuan Soviet serta menjamin keselamatan kolektif negara-negara Eropah Barat. Berteraskan prinsip pertahanan kolektif melalui Artikel 5, NATO menetapkan bahawa sebarang serangan bersenjata terhadap mana-mana negara anggota di Eropah atau Amerika Utara akan dianggap sebagai serangan terhadap keseluruhan pakatan.

Dalam keadaan sedemikian, setiap negara anggota berkewajipan untuk membantu pihak yang diserang, termasuklah dengan penggunaan kekuatan ketenteraan sekiranya perlu, selaras dengan hak mempertahankan diri yang diiktiraf dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Objektif penubuhannya bukan sahaja untuk mempertahankan keselamatan Eropah, tetapi juga untuk memastikan kestabilan geopolitik di rantau Atlantik Utara melalui kerjasama ketenteraan dan politik yang bersepadu.

Meskipun Perang Dingin telah berakhir, NATO terus berkembang dari segi keanggotaan dan skop peranannya. Daripada hanya 12 negara pengasas, NATO kini telah berkembang kepada 32 buah negara anggota, dengan penyertaan terkini Finland pada tahun 2023 dan Sweden pada tahun 2024, yang mencerminkan kebimbangan baharu terhadap ancaman keselamatan di Eropah. Namun demikian, dalam konteks konflik semasa yang melibatkan Israel dan AS-Iran, timbul persoalan sama ada NATO masih berfungsi sebagai pakatan ketenteraan yang efektif, atau sekadar menjadi pemerhati dalam krisis yang berada di luar mandat asalnya.

Konflik yang memuncak pada 26 Februari lalu sering ditafsirkan oleh sebahagian penganalisis sebagai perang yang berdasarkan kepentingan Israel, walaupun AS terlibat secara tidak langsung. Serangan awal yang dilancarkan oleh Israel terhadap sasaran strategik Iran, terhadap kemudahan ketenteraan dan infrastruktur berkaitan, bertujuan untuk mengekang pengaruh Iran yang semakin meluas di Asia Barat kerana dianggap oleh Israel sebagai ancaman kepada keselamatannya. AS pula dilihat tidak memulakan konflik tersebut, tetapi kemudiannya memberikan sokongan dalam bentuk pertahanan, logistik dan kepentingan strategiknya di rantau tersebut. Oleh sebab itu, wujud persepsi bahawa konflik ini bukan sepenuhnya “perang AS”, sebaliknya lebih kepada “perang Israel” yang mendapat sokongan AS. Persepsi ini turut mempengaruhi sikap negara-negara Eropah dalam NATO, yang terlibat secara langsung kerana melihat konflik tersebut tidak berpunca daripada ancaman kolektif terhadap pakatan, tetapi lebih kepada kepentingan keselamatan unilateral Israel dan AS.

Sehingga ke hari ini, peranan NATO dilihat berada dalam keadaan yang bersifat selektif. Walaupun pakatan ini masih mengekalkan prinsip pertahanan kolektif, realitinya konflik di Asia Barat tidak termasuk dalam skop langsung Artikel 5, justeru NATO tidak terikat untuk terlibat secara ketenteraan. Malah, kepimpinan NATO sendiri menegaskan bahawa konflik ini bukan perang NATO, sebaliknya merupakan tindakan unilateral AS dan Israel tanpa berunding dengan negara NATO. Malah, sekutu NATO tidak bertanggungjawab untuk menyokong perang yang dianggap sebagai war of choice oleh AS. Keadaan ini menjelaskan punca yang menyebabkan kebanyakan negara anggota, khususnya di Eropah, memilih untuk tidak menyertai operasi ketenteraan tersebut walaupun terdapat tekanan daripada Washington. Dalam konteks ini, keengganan Eropah untuk menyertai konflik boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk kematangan diplomasi dan usaha mengelakkan perang yang berisiko tinggi tanpa matlamat strategik yang jelas.

Selain itu, konflik ini turut memperlihatkan perpecahan yang semakin ketara dalam kalangan negara NATO. Hanya sebahagian kecil negara anggota menyatakan sokongan terbuka terhadap tindakan AS dan Israel, manakala majoriti mengambil pendekatan berkecuali atau menyeru kepada penyelesaian diplomatik. Negara-negara Eropah, secara konsisten menekankan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa dalam menangani krisis Iran. Malah, terkini Perancis telah mengambil tindakan menutup ruang udaranya kepada kapal AS bagi tujuan transit ketenteraan, khususnya yang berkait dengan penghantaran peralatan ketenteraan ke Israel. Tindakan ini selari dengan pendirian beberapa buah negara Eropah lain yang enggan terlibat secara langsung dalam operasi AS dan pangkalan tenteranya untuk menyokong operasi ketenteraan AS.

Sepanyol juga melarang pesawat tentera AS menggunakan laluan udara negaranya untuk tujuan operasi ketenteraan. Madrid secara terbuka enggan membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan tenteranya untuk melancarkan serangan terhadap Iran. Tindakan ini mencerminkan pendirian tegas Sepanyol untuk tidak terlibat dalam konflik tersebut serta menolak sebarang bentuk sokongan terhadap operasi ketenteraan AS di Asia Barat. Pada masa yang sama, United Kingdom mengambil pendekatan yang lebih seimbang dengan mengekalkan sokongan politik terhadap AS, namun tidak menunjukkan komitmen untuk terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan terhadap Iran.

UK dilihat lebih cenderung memainkan peranan sebagai penyokong diplomatik dan keselamatan terhad, khususnya dalam melindungi kepentingan maritim di Teluk, berbanding dengan menyertai peperangan. Pendekatan ini mencerminkan usaha London untuk mengekalkan hubungan transatlantik tanpa terjerumus dalam konflik berskala besar yang berisiko tinggi. Selain itu, negara seperti Jerman dan Itali menegaskan bahawa sebarang pelibatan harus mematuhi undang-undang antarabangsa dan tidak menyokong tindakan ketenteraan tanpa mandat yang jelas. Turki juga mengambil pendirian lebih kritikal dengan menolak konflik serta menyeru kepada penyelesaian diplomatik.

Namun begitu, NATO tidak boleh dikatakan tidak berfungsi sepenuhnya dalam konflik ini. NATO tetap melindungi negara anggotanya daripada ancaman Iran sesuai dengan artikel 5. Justeru, peranannya lebih tertumpu pada aspek pertahanan. Sebagai contoh, sistem pertahanan NATO telah digunakan untuk memintas peluru berpandu yang memasuki ruang udara Turki, sekali gus menunjukkan bahawa fungsi utama NATO sebagai mekanisme pertahanan secara kolektif masih relevan. Dalam erti kata lain, NATO tetap beroperasi, tetapi dalam kapasiti defensif atau pertahanan dan bukan sebagai instrumen untuk melancarkan serangan.

Lebih menarik lagi, konflik ini sebenarnya membuka ruang kepada perubahan ketara dalam hubungan antara AS dan sekutu NATO. Konflik ini turut menunjukkan tekanan yang jelas daripada AS terhadap sekutu NATO. Presiden AS, Donald Trump secara terbuka mengkritik negara-negara Eropah kerana tidak menyokong operasi ketenteraan terhadap Iran, malah menyifatkan tindakan tersebut sebagai kegagalan dalam menunjukkan solidariti dalam pakatan.

Tekanan ini dapat dilihat apabila AS mendesak penggunaan pangkalan tentera, ruang udara dan sokongan logistik daripada negara anggota NATO bagi menyokong operasinya di Asia Barat. Kritikan terbuka oleh Presiden Donald Trump terhadap keengganan negara-negara NATO untuk menyokong operasi ketenteraan terhadap Iran yang bukan sahaja mendedahkan ketidaksepakatan dalam pakatan tersebut, malah menunjukkan bahawa NATO tidak lagi berada di bawah telunjuk AS atau sebagai blok yang bersatu di bawah kepimpinan AS. Dari sudut AS, NATO dilihat sebagai platform sokongan strategik yang sepatutnya membantu setiap langkah ketenteraannya, khususnya dalam menghadapi ancaman yang ditakrifkan oleh Washington walaupun dalam konflik yang tidak semestinya mendapat legitimasi antarabangsa. Akan tetapi, negara-negara Eropah kini semakin menunjukkan kecenderungan untuk tidak lagi mengikut pendirian AS secara automatik. Sebaliknya, negara-negara Eropah kini dilihat semakin berhati-hati dalam menilai setiap konflik berdasarkan kepentingan nasional masing-masing serta implikasi jangka panjangnya.

Pendekatan ini banyak dipengaruhi oleh pengalaman lalu, khususnya semasa Perang Iraq 2003. Perang tersebut bermula pada tahun 2003 apabila AS, bersama-sama dengan sekutunya termasuk United Kingdom dan beberapa buah negara lain, melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iraq dengan alasan bahawa negara itu mempunyai senjata pemusnah besar-besaran yang boleh mengancam keselamatan global.

Namun demikian, selepas kejatuhan rejim Saddam Hussein di Iraq dan pemeriksaan menyeluruh dijalankan, dakwaan tersebut gagal dibuktikan secara meyakinkan. Tiada senjata pemusnah besar-besaran ditemui, dan hubungan langsung antara Iraq dan Al-Qaeda juga tidak dapat disahkan. Kegagalan ini bukan sahaja menimbulkan krisis kepercayaan terhadap justifikasi perang tersebut, malah menjejaskan kredibiliti AS dari mata masyarakat antarabangsa. Lebih daripada itu, Iraq terjerumus ke dalam ketidakstabilan yang berpanjangan, termasuk konflik antara Sunni dan Syiah, kemunculan kumpulan militan seperti ISIS, serta isu keselamatan dan masalah ekonomi dalam negara tersebut selama bertahun-tahun.

Bagi negara-negara Eropah, pengalaman ini menjadi pengajaran yang amat signifikan. Mereka menyedari bahawa sokongan tanpa penilaian kritikal terhadap tindakan ketenteraan AS boleh membawa kepada implikasi politik, ekonomi dan keselamatan yang besar tanpa jaminan hasil yang stabil. Justeru, dalam konteks konflik Iran pada hari ini, negara-negara Eropah tidak lagi bersedia untuk menyokong tindakan ketenteraan secara automatik. Sebaliknya, mereka lebih cenderung untuk menilai secara teliti setiap perkembangan menggunakan pendekatan diplomasi dan kestabilan jangka panjang, agar kesilapan yang sama seperti dalam perang Iraq tidak berulang.

Sehubungan dengan itu, negara-negara Eropah kini semakin tegas dalam mempertahankan autonomi strategik mereka. Mereka tidak lagi melihat NATO sebagai mekanisme untuk menyokong agenda unilateral AS, sebaliknya sebagai pakatan yang perlu berfungsi berdasarkan konsensus dan kepentingan bersama. Dalam konteks konflik Iran, perbezaan ini menjadi semakin jelas apabila AS memilih pendekatan ketenteraan yang agresif, manakala Eropah secara konsisten menekankan kepentingan diplomasi. Perbezaan pendirian ini bukan sekadar perbezaan taktikal, tetapi mencerminkan jurang yang semakin melebar apabila melihat cara kedua-dua pihak mentafsir keselamatan dan kepentingan global. AS kelihatan semakin cenderung kepada pendekatan unilateral yang berisiko tinggi, manakala Eropah pula bergerak ke arah pendekatan yang lebih berhati-hati dan berasaskan kestabilan jangka panjang.

Dalam konteks konflik AS dan Israel-Iran, langkah NATO untuk tidak terlibat secara langsung boleh dianggap sebagai satu keputusan yang bijak dan berasaskan pertimbangan strategik yang rasional. NATO mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengekalkan fungsi utamanya sebagai pakatan pertahanan kolektif, bukannya sebagai instrumen untuk menyokong operasi ketenteraan yang tidak mendapat persetujuan bersama dalam kalangan anggotanya. Keengganan untuk terlibat secara langsung bukan sahaja mengelakkan risiko konflik yang lebih besar, malah menunjukkan bahawa NATO kini beroperasi secara lebih selektif. Dalam hal ini, NATO masih relevan, namun dalam bentuk yang telah berubah, iaitu sebagai pakatan yang menumpukan kepada keselamatan kolektif dan kestabilan serantau, bukannya sebagai alat campur tangan global tanpa batas. Oleh itu, relevansi NATO hari ini tidak terletak pada keupayaannya untuk terlibat dalam setiap konflik, tetapi pada kebijaksanaannya dalam menentukan kaedah yang sewajarnya dalam melakukan sebarang tindakan.

Prof Madya Dr. Azlizan Mat Enh, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi