Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Penghargaan tertinggi buat warga pendidik telah dizahirkan menerusi Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 pada hari ini. Majlis yang disambut dengan gilang-gemilang di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak ini menghimpunkan kehadiran pegawai perkhidmatan pendidikan, guru dan pelajar dari seluruh tanah air.

Dengan tema “Guru Bitara Nadi Negara”, sambutan ini mengangkat peranan guru sebagai tunjang pembinaan negara. Tema ini berteraskan rukun MADANI yang berhasrat melahirkan generasi masa hadapan yang berwibawa dan berdaya saing.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa guru bertanggungjawab mempersiapkan pelajar dengan cabaran baharu pada peringkat domestik dan global. Oleh itu, sumbangan mereka wajar dihargai dengan pelaksanaan inisiatif baharu, antaranya termasuklah:

  1. Meneruskan program pensijilan Google Certified Educator (GCE) secara percuma kepada semua guru.
  2. Menawarkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) khas kepada guru yang sanggup berkhidmat di sekolah rintangan.
  3. Memperluas Biasiswa Perguruan Persekutuan kepada pemimpin sekolah untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana.
  4. Memperuntukkan sebanyak RM169 juta untuk pembekalan peranti pengajaran kepada setiap sekolah.
  5. Memperuntukkan RM100 juta dana tambahan untuk penyelenggaraan bilik guru.
  6. Memperuntukkan RM50 juta dana tambahan untuk penyelenggaraan kuarters guru.
  7. Memperuntukkan RM10.5 juta untuk penyediaan bahan bacaan tambahan murid prasekolah.
  8. Memansuhkan sistem perekodan kokurikulum secara manual oleh guru dengan penggantian sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) secara digital.

Sementara itu, majlis ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Beliau turut menyampaikan tiga anugerah, iaitu Anugerah Sekolah Terbaik Dunia kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1), Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kepada Cikgu Haji Abdul Rasid Bakar, mantan guru mata pelajaran Kimia dari SMK Tinggi Melaka, dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Dr. Haji Ahmad Rafee Che Kassim yang merupakan figura penting dalam KPM pada suatu masa dahulu.

Para penerima Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; YB Dato’ Seri Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; dan YBhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi