Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Samarahan – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan sentiasa memastikan tahap kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa menerusi pengenalan inisiatif Dapur Siswa MADANI.
Inisiatif tersebut dirangka bertujuan untuk membantu para pelajar yang berhadapan dengan kesukaran kewangan agar para pelajar dapat memperoleh makanan secara percuma, sekali gus mengelakkan bebanan itu daripada menjejaskan kelangsungan hidup serta tumpuan terhadap pengajian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata demikian susulan majlis perasmian pelaksanaan Dapur Siswa MADANI peringkat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen jitu pihak universiti berkenaan dalam memastikan tiada penuntut yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
Menerusi satu hantaran di laman media sosial rasminya, beliau menyeru seluruh mahasiswa yang berdepan dengan masalah kewangan sehingga terputus keperluan harian termasuk makanan, untuk segera tampil mendapatkan bantuan.
“Kepada seluruh mahasiswa di luar sana, sekiranya anda berdepan apa jua masalah, jangan pendam atau berasa segan.
“Berhubunglah dengan pihak hal ehwal pelajar atau universiti masing-masing. Banyak saluran bantuan disediakan dan pihak pengurusan universiti sentiasa bersedia untuk membantu,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan pendirian tegas kementerian yang sama sekali tidak mahu melihat ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut, berlapar atau mengorbankan keperluan asas semata-mata demi meneruskan kelangsungan pengajian di kampus.
“Fokus utama anda adalah belajar, menimba ilmu dan membina masa hadapan. Soal kebajikan, pihak kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu.
“Tiada mahasiswa yang seharusnya tercicir atau berdepan dengan kesukaran ini secara bersendirian,” tegasnya lagi.