Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, “Proses pendidikan di negara ini tidak seharusnya bersifat mengejar kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pemangkin utama dalam melahirkan insan sejahtera yang seimbang, selaras dengan hasrat Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.”

Baginda menekankan bahawa generasi muda hari ini perlu dilengkapkan dengan ilmu yang bermanfaat serta membentuk peribadi mereka dengan akhlak dan budi pekerti yang luhur agar mereka mampu mencorakkan masa hadapan yang gemilang.

Pada masa yang sama, baginda bertitah bahawa perhatian yang sewajarnya oleh orang dewasa juga perlu diberikan dalam usaha meningkatkan pencapaian murid secara menyeluruh, merangkumi aspek ilmu, kemahiran dan pembentukan nilai insaniah.

“Isu literasi dan numerasi juga hendaklah terus ditangani secara berfokus agar setiap murid menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira bermula dari sekolah rendah,” titah baginda pada Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis di Dewan Serbaguna, JPN Perlis, semalam.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dengan diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan JPN Perlis dan seluruh institusi pendidikan di negeri itu supaya memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik daripada sektor kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti.

Baginda bertitah, “Sinergi berkenaan akan membuka lebih banyak ruang kepada perkongsian kepakaran, inovasi dan peluang yang dapat memperkasakan mutu pendidikan negeri Perlis.”

Sementara itu, mengenai kompleks baharu JPN Perlis, baginda menzahirkan keyakinan bahawa kemudahan yang lengkap dan moden itu bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu, malah berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang penting dalam memperkukuh pengurusan pendidikan, sekali gus dapat melonjakkan kecemerlangan murid.

Bersempena dengan majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2026 kepada Encik Mustaffa Ibrahim dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2026 Peringkat Negeri Perlis kepada Encik Haji Izmi Ismail.

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2026 kepada Encik Mustaffa Ibrahim.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) KPM, Encik Zainal Abas; dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Arifin.

Kredit Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi