Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pemilihan Pesuruhjaya Kebangsaan (Perancangan Strategik) Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Encik Zairin Adam Abdul Aziz sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kandersteg International Scout Centre (KISC) di Switzerland, merupakan satu pengiktirafan tinggi terhadap kepimpinan belia dan peranan Malaysia dalam pergerakan Pengakap dunia.
Encik Zairin Adam yang dipilih bagi penggal 2026-2030 menyifatkan pelantikan tersebut sebagai pelengkap kepada pelibatan aktif Malaysia dalam pelbagai platform tadbir urus antarabangsa ketika ini.
“Malaysia pada hari ini memainkan peranan yang semakin penting dalam kepimpinan Pengakap dunia. Ketua Pengakap Negara Malaysia kini mempengerusikan Jawatankuasa Pengakap Rantau Asia-Pasifik, manakala beberapa lagi rakyat Malaysia turut memegang jawatan strategik pada peringkat serantau,” katanya.
Mengulas mengenai agenda beliau sebagai AJK baharu, Encik Zairin menegaskan komitmennya untuk menyokong penuh Strategi KISC 2024-2030, dengan memastikan keutamaan strategik yang dipersetujui memberikan impak langsung kepada ahli, sukarelawan dan pengunjung.
Selain itu, beliau berhasrat untuk memperkukuh hubungan dengan Organisasi Pengakap Kebangsaan, khususnya di rantau yang masih kurang diwakili seperti Asia-Pasifik, Arab, Afrika dan Inter-Amerika.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Kecil Transformasi Strategik Rantau Asia-Pasifik, menjelaskan bahawa kekangan geografi dan kos perjalanan sering menjadi cabaran utama bagi pengakap dari rantau ini untuk ke platform antarabangsa. Antara perkara yang ingin diperjuangkan termasuklah:
“Keterangkuman bukan sekadar soal perwakilan, tetapi memastikan setiap Pengakap merasakan bahawa KISC benar-benar milik mereka tanpa mengira negara, budaya, bahasa atau latar belakang,” ujarnya.
Berdasarkan rekod, KISC yang sering dikenali sebagai Permanent Mini-Jamboree merupakan satu-satunya Pusat Pengakap Dunia yang diwujudkan berdasarkan visi pengasas pengakap, Lord Robert Baden-Powell.
Pusat yang beroperasi sepanjang tahun di Switzerland ini menjadi simbol persaudaraan dunia dan pendidikan bukan formal yang mempertemukan ribuan pengakap dari seluruh dunia untuk membina nilai kepimpinan, empati dan kesedaran global.