Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kundasang – Sebanyak 120 peserta yang terdiri daripada guru dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Kursus Kenegaraan Penulisan Naratif MADANI (PENA MADANI) Zon Sabah yang berlangsung di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, Sabah selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Jun 2026.

Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman peserta terhadap konsep Malaysia MADANI serta meningkatkan kemahiran menghasilkan penulisan naratif yang mampu menyampaikan mesej kenegaraan secara tepat, berkesan dan berintegriti kepada masyarakat.

Sepanjang kursus berlangsung, peserta mengikuti pelbagai slot pengisian yang merangkumi Penetapan Minda Kenegaraan, Realiti dan Cabaran Negara, Ancaman Manipulasi Maklumat, Integriti Warga Pendidik, Penggunaan Kecerdasan Buatan dalam Penulisan, serta Latihan Penghasilan Karya Penulisan dan Video Pendek.

Satu daripada slot yang mendapat perhatian peserta ialah perkongsian mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang disampaikan oleh Pegawai Tugas Khas Menteri Pendidikan, YBrs. Dr. Radin Muhd Amiduddin.

Sesi tersebut mendedahkan peserta kepada hala tuju pendidikan negara bagi tempoh sedekad akan datang yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, pengukuhan nilai, kesejahteraan pendidikan, transformasi digital, serta pembentukan generasi yang berdaya saing dan berakhlak mulia.

Peserta kursus mendengar sesi perkongsian yang disampaikan oleh penceramah.

Beliau turut menjelaskan peranan strategik warga pendidik dalam merealisasikan aspirasi pendidikan negara selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Pada masa yang sama, peserta turut didedahkan dengan teknik penulisan naratif yang berkesan bagi menghasilkan kandungan yang mampu membina persepsi positif masyarakat terhadap usaha pembangunan negara.

Program ini juga memberikan penekanan kepada keupayaan peserta untuk menilai kesahihan maklumat, menangani penyebaran berita palsu dan menghasilkan penulisan yang beretika serta berfakta.

Antara impak utama program termasuklah peningkatan keyakinan peserta dalam menghasilkan karya berteraskan nilai MADANI, pengukuhan semangat patriotisme, serta pembentukan jaringan profesional antara guru dan pegawai pendidikan dari pelbagai daerah di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Program ini mampu melahirkan kumpulan penulis yang berpotensi menjadi ejen penyampai maklumat yang sahih dan pembina naratif positif dalam komuniti masing-masing.

Pegawai Tugas Khas Menteri Pendidikan, Dr Radin Muhd Amiduddin menyempurnakan majlis penutup bagi kursus PENA MADANI Zon Sabah Dan Labuan.

Menurut seorang peserta, Guru Bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Sipitang, Sabah, Puan Noor Ezzaidah Jasli menyatakan bahawa kursus tersebut berjaya membuka perspektif baharu tentang peranan pendidik dalam membentuk pemikiran masyarakat melalui penulisan.

“Program ini memberikan kami suara untuk menyampaikan naratif tentang kemanusiaan dalam pendidikan. Melalui penulisan naratif, kami dapat mendokumentasikan kefahaman tentang dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan keberkesanan nilai MADANI diterapkan dalam membina karakter anak bangsa. Program ini merupakan satu bentuk inisiatif yang mampu memberikan inspirasi dan maklumat tepat kepada masyarakat tentang realiti sebenar pendidikan di Malaysia,” ujarnya.

Menerusi program ini, kebanyakan peserta mencadangkan agar PENA MADANI Fasa ke-2 diadakan bagi memperkukuh kemahiran yang telah dipelajari agar semua peserta pulang dengan membawa ilmu, pengalaman dan semangat baharu untuk terus menyebarkan nilai MADANI melalui penulisan dan komunikasi yang berkesan demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara. ‎

Kredit Foto: Syahnur Azura Mohd Saufi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi