Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Membawa kesinambungan pencapaian cemerlang kementerian pada tahun sebelumnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus proaktif memperkukuh ekosistem pendidikan negara menerusi peluncuran pelbagai inisiatif strategik yang merangkumi pendigitalan sistem kewangan, pengenalan dasar keselamatan serta penstrukturan semula pengurusan sekolah.

Kesemua inisiatif tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek bersempena dengan Perhimpunan Bulanan KPM di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, hari ini.

YB Fadhlina Sidek semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Pengurusan Sekolah Menengah Teknik kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh.

Perhimpunan kali ini menyaksikan Peluncuran sistem iPayment kelolaan Bahagian Akaun KPM, Peluncuran Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid, Peluncuran Portal Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, serta kemuncaknya, Majlis Penyerahan Pengurusan Sekolah Menengah Teknik kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh.

Menyampaikan amanatnya pada majlis tersebut, YB Fadhlina Sidek menegaskan bahawa pengenalan dasar keselamatan baharu itu mewajibkan semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak untuk mematuhinya sebagai akujanji memelihara kesejahteraan murid.

“Polisi perlindungan murid menjadi penegasan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk pengabaian, penderaan, eksploitasi, buli, gangguan seksual dan ancaman yang boleh menjejaskan kesejahteraan murid,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, bagi melengkapkan tadbir urus tersebut, KPM dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan melatih sebanyak 1,200 guru dan pegawai sebagai Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) pada tahun ini.

Menyentuh mengenai Peluncuran Portal RPM 2026-2035, beliau mengingatkan seluruh warga kementerian agar dokumen perancangan strategik pendidikan itu tidak sekadar menjadi bahan pelancaran semata-mata, sebaliknya perlu disebar luas dan difahami sepenuhnya pada peringkat akar umbi.

“Kebimbangan KPM adalah secara realitinya masih ada pihak di bawah yang tidak maklum tentang RPM ini. Urusan menyampaikan dasar yang berkaitan dengan RPM harus dilaksanakan dengan berani, bersungguh-sungguh dan berkesan,” jelasnya mengingatkan Pasukan Prakarsa RPM yang baru sahaja dilantik.

YB Fadhlina Sidek bersama-sama dengan Pasukan PRAKARSA RPM Tahun 2026 yang baru sahaja dilantik ketika Majlis Perhimpunan Bulanan KPM Jun 2026.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan ucapan syabas atas kejayaan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berjaya mencatatkan rekod kehadiran luar biasa melebihi dua juta pengunjung.

Susulan kejayaan kempen kesedaran membaca seperti Kelab Perempuan Membaca di reruai KPM, beliau menyeru warga pendidik untuk mengubah paradigma masyarakat terhadap amalan membaca yang perlu dipupuk dari akar umbi.

“Kita harus mula merubah pandangan kita tentang amalan membaca ini. Amalan ini bukan sekadar hobi. Membaca itu adalah tentang kuasa untuk melihat kita mengubah perkara-perkara yang sangat fundamental dalam masyarakat,” ujarnya.

Mengakhiri ucapan beliau, YB Menteri Pendidikan memberikan jaminan tegas bahawa sebarang bentuk cabaran atau “rempuhan ekonomi” yang sedang berlaku pada masa kini sama sekali tidak akan dibenarkan menjejaskan keutamaan dan fokus KPM dalam memastikan tiada anak-anak yang terpinggir daripada sistem pendidikan negara.

Kredit Foto: YB Fadhlina Sidek
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi