Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai Google for Education Pre Reference Institution Malaysia, sekali gus mencatatkan sejarah sebagai sekolah pertama dan tunggal di negara ini yang menerima pengiktirafan berprestij tersebut.
Pengiktirafan ini mencerminkan kesediaan institusi pendidikan di negeri Perlis untuk membudayakan standard pendidikan digital yang tinggi, di samping membina ekosistem pembelajaran dinamik yang selari dengan amalan terbaik pada peringkat antarabangsa.
Pemilihan SMK Kuala Perlis oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai satu-satunya sekolah di negeri Perlis yang melaksanakan inisiatif Bilik Darjah Dikuasakan AI (AI-Powered Classroom) merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.
Langkah ini jelas mencerminkan keyakinan tinggi KPM terhadap kemampuan sekolah ini untuk bertindak sebagai peneraju dalam menerapkan teknologi digital, yang mampu memperkayakan pengalaman pembelajaran dan pengajaran.
Komitmen, kesungguhan, dan keberanian warga sekolah dalam meneroka pendekatan serta paradigma baharu dalam dunia pendidikan ini merupakan satu langkah yang wajar dipuji dan diteladani.
AI-Powered Classroom merupakan antara contoh dan penanda aras terbaik yang menonjolkan keupayaan teknologi boleh dimanfaatkan secara optimum untuk menimba pengalaman Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah.
Demikian makluman yang dipersembahkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, YBhg. Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian sempena dengan Majlis Peluncuran Bilik Darjah Dikuasakan AI (AI-Powered Classroom) yang diadakan di Dewan Al-Biruni, SMK Kuala Perlis, baru-baru ini.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat memuliakan majlis ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta waris kedua anak sulung baginda, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Inisiatif berimpak tinggi ini berjaya dijayakan hasil kolaborasi strategik antara KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, SMK Kuala Perlis, Google for Education, Sasbadi Sdn. Bhd., Micro Concept Tech (MCT) dan Agrobank.
Sokongan berupa bantuan kewangan daripada Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM berjumlah RM10,000.00 serta sumbangan perolehan peranti Chromebook daripada pihak Agrobank bernilai RM161,000.00 menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan hasrat murni sekolah ini ke arah memacu kecemerlangan pendidikan digital berkenaan.
Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Puan Perlis DYTM, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menyaksikan Majlis Penandatanganan Perjanjian Program Google for Education Pre-Reference Institution Malaysia.

Penandatanganan perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengetua SMK Kuala Perlis, Puan Norihan Kassim, yang menyerahkan nota perjanjian kepada wakil Google, Encik Danial Azizan Abdullah Henry selaku Country Lead, Google for Education (Malaysia, Brunei), sebelum disusuli dengan penyerahan Plak Google kepada pihak sekolah.