Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pengamal media perlu terus mengekalkan keseimbangan antara keperluan untuk menyampaikan berita secara pantas dengan tanggungjawab memelihara integriti, keselamatan serta kepercayaan masyarakat pada era digital yang semakin mencabar.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBrs. Encik Derek John Fernandez berkata kawalan terhadap maklumat kini menjadi satu bentuk kuasa paling berpengaruh dalam dunia moden, malah berupaya mempengaruhi pemikiran, tingkah laku dan proses demokrasi sesebuah negara.

Menurut beliau, perkembangan pesat platform digital dan media sosial telah mengubah landskap penyebaran maklumat sehingga sesiapa sahaja boleh menggelarkan diri mereka sebagai wartawan atau saluran media tanpa tertakluk pada standard etika dan proses pengesahan fakta yang diamalkan oleh organisasi media profesional yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia.

“Jika seseorang dapat mengawal maklumat yang masuk ke dalam minda masyarakat, maka mereka berupaya mengawal cara masyarakat berfikir, bertindak dan membuat keputusan. Oleh sebab itu, isu kawalan maklumat menjadi sangat penting pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan TED Talk bertajuk “Trends, Public Reaction and Online Safety Implications” sempena Dialog Industri bertemakan “Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact” anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan sokongan SKMM dan Jabatan Penerangan Malaysia di The Zenith Hotel, hari ini.

Derek berkata cabaran terbesar yang dihadapi dunia digital ketika ini ialah kaedah untuk membezakan antara maklumat sahih dengan maklumat palsu yang disebarkan secara meluas melalui algoritma platform media sosial.

“Apabila sesuatu pembohongan diulang berkali-kali, pembohongan tersebut akhirnya diterima sebagai kebenaran oleh sebahagian masyarakat. Teknologi hari ini menjadikan kandungan palsu semakin meyakinkan sehingga masyarakat sukar membezakan antara fakta dengan penipuan,” katanya.

Beliau turut mengupas empat komponen utama yang sering wujud dalam jenayah siber dan penipuan dalam talian, iaitu kerahsiaan identiti pelaku, akses kepada rangkaian internet, sistem pembayaran digital serta maklumat sasaran yang diperoleh daripada pengguna sendiri.

Menurutnya, pendigitalan telah memberikan kelebihan besar kepada penjenayah kerana mereka boleh beroperasi dari mana-mana lokasi di dunia tanpa perlu mendedahkan identiti sebenar.

“Maklumat peribadi yang dikongsi secara sukarela di platform digital sebenarnya menjadi aset berharga kepada pihak yang ingin melakukan penipuan. Semakin banyak maklumat yang diketahui tentang seseorang, maka semakin mudah mereka dijadikan sasaran,” katanya.

Beliau berkata ancaman dalam talian kini semakin membimbangkan apabila melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja.

Katanya, sebanyak 1,470 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) telah dirampas pihak berkuasa, manakala 3,093 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

Selain itu, sebanyak 8,399 kes buli siber direkodkan dalam tempoh yang sama, namun beliau percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi kerana banyak kes tidak dilaporkan.

“Bagi setiap satu kes yang dilaporkan, mungkin terdapat tujuh lagi kes yang tidak dilaporkan. Perkara ini menunjukkan skala sebenar masalah yang sedang kita hadapi,” katanya.

Derek turut menjelaskan bahawa SKMM bukanlah badan yang mengawal kandungan media, sebaliknya bertanggungjawab mengawal penyalahgunaan kemudahan komunikasi dan multimedia yang digunakan untuk melakukan jenayah, menyebarkan kebencian, buli siber dan maklumat palsu.

Beliau berkata terdapat tanggapan salah dalam kalangan masyarakat bahawa pihak berkuasa dapat memantau semua komunikasi dalam talian, sedangkan kebanyakan platform menggunakan sistem penyulitan yang mengehadkan keupayaan pengawasan.

“SKMM tidak dapat melihat semua yang berlaku dalam internet. SKMMhanya boleh mengambil tindakan apabila menerima aduan dan menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang diberikan,” katanya.

Menyentuh isu kecerdasan buatan (AI), beliau menggesa industri media memberikan perhatian serius terhadap penggunaan teknologi tersebut, termasuk mempertimbangkan cadangan mewajibkan setiap kandungan yang dihasilkan atau diubah suai menggunakan AI ditandakan dengan jelas.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan ketelusan serta memelihara keyakinan masyarakat terhadap kandungan media yang diterbitkan.

Beliau juga mengingatkan bahawa penggunaan AI secara berlebihan berpotensi menjejaskan keupayaan berfikir manusia sekiranya teknologi tersebut dijadikan pengganti kepada proses pemikiran dan analisis.

Mengulas tentang perlindungan hak cipta kandungan digital, Derek menggesa organisasi media memanfaatkan peruntukan perlindungan hak cipta yang tersedia di platform digital serta membuat aduan rasmi sekiranya berlaku pelanggaran hak cipta.

Beliau turut mencadangkan supaya Majlis Media Malaysia (MMM) dan organisasi berkaitan memainkan peranan lebih aktif dalam mempertahankan hak serta kepentingan pengamal media profesional.

Menurutnya, cabaran utama industri media masa kini ialah memastikan usaha tersebut tidak mengorbankan kepercayaan awam, keselamatan pengguna dan kesejahteraan masyarakat.

“Kepercayaan masyarakat adalah aset paling penting bagi kewartawanan. Dalam dunia digital yang dipenuhi maklumat tanpa sempadan, wartawan profesional masih memainkan peranan sebagai benteng utama dalam memastikan fakta dan kebenaran terus terpelihara,” katanya.

Kredit Foto: Malaysia Press Institute (MPI)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi