Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited dalam memperkasakan golongan wanita bagi mendepani era gelombang TVET 2.0 menerusi penganjuran Seminar Wanita Dalam TVET: Membina Potensi, Mencorak Masa Hadapan yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, hari ini.
Penganjuran seminar ini merupakan manifestasi berterusan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti tinggi dan pembangunan kompetensi masa hadapan dapat dinikmati secara adil serta inklusif oleh golongan wanita.
Ketua Pengarah Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad menegaskan bahawa landskap bidang kemahiran kini menyaksikan perubahan ketara apabila wanita mula menonjol dan berjaya dalam pelbagai sektor profesional yang sebelum ini didominasi lelaki, termasuk bidang teknologi automotif, kejuruteraan, teknologi maklumat, dan teknologi kimpalan.
“Penyertaan wanita dalam bidang TVET bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan keperluan strategik bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Dasar TVET Negara 2030,” ujar beliau dalam ucapannya mewakili Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.
Mengulas mengenai hala tuju negara, KPM menarik perhatian terhadap pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Hari TVET Negara lalu yang mengiktiraf prestasi TVET Malaysia sebagai antara penanda aras terbaik pada peringkat ASEAN.
Di bawah kerangka TVET 2.0 yang diselaraskan bersama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026-2030, fokus utama tertumpu untuk melahirkan modal insan berteknologi tinggi bagi mengisi Sektor Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (High Growth, High Value – HGHV).
Sektor ini melibatkan pembuatan semikonduktor canggih, reka bentuk litar bersepadu (IC Design), kecerdasan buatan (AI), automasi robotik, teknologi digital, dan tenaga boleh diperbaharui. “Dalam gelombang TVET 2.0, persoalan jantina sudah tidak relevan lagi. Era sektor 3D (Kotor, Sukar, Bahaya) yang didominasi lelaki telah berlalu. Kehadiran teknologi pintar membolehkan wanita berdiri sama tinggi dalam menguasai lapangan seperti kejuruteraan sistem dan pembinaan pintar,” jelasnya.
Sebagai bukti kejayaan agenda ini, beliau turut berkongsi pencapaian luar biasa anak didik KPM, Nuraisyah Azlin dari Kolej Vokasional Kajang yang berjaya melakar sejarah pada peringkat antarabangsa apabila merangkul Medal of Excellence dalam bidang Teknologi Automotif di WorldSkills Asia di Taipei, serta dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dalam Pertandingan WorldSkills ASEAN Manila 2025.
“Kejayaan bertaraf dunia ini telah memecahkan tembok kebiasaan dalam bidang automotif dan membuktikan secara mutlak bahawa kecemerlangan dalam TVET 2.0 tidak ditentukan oleh gender, sebaliknya oleh bakat, disiplin, dan ruang peluang yang saksama,” tambahnya lagi.
Dalam usaha menterjemahkan aspirasi RPM 2026-2035, KPM komited melaksanakan penjajaran kurikulum di kolej vokasional agar bergerak seiring dengan kepesatan landskap industri HGHV demi melahirkan modal insan merintangi cabaran Revolusi Industri 5.0.
Bagi menjamin keberhasilan agenda berkenaan, peranan strategik pemimpin institusi dan guru kaunselor amat penting sebagai pemangkin perubahan dalam memugar keberanian minda pelajar wanita untuk mengangkat bidang TVET sebagai citra kerjaya masa hadapan bermula pada peringkat sekolah.
Pada masa yang sama, majlis turut menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dengan Advanced Energy Industries (M) Sdn Bhd yang disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, YBhg.Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad.

Melalui kerjasama ini, sebanyak 101 pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektrik dan Diploma Teknologi Elektronik dari kolej vokasional di Zon Utara telah terpilih untuk menyertai program On-The-Job Training (OJT) di Advanced Energy Industries (M) Sdn Bhd, Pulau Pinang. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 24 orang ialah pelajar wanita, sekali gus membuktikan komitmen KPM dalam menyediakan saluran bakat (talent pipeline) tanpa mengira jantina bagi menyokong rantaian nilai industri semikonduktor negara.
Mengakhiri ucapan, Ketua Pengarah Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Azam juga menitipkan pesanan kepada para peserta wanita muda agar tidak meragui kemampuan diri serta tidak membiarkan stereotaip masyarakat yang mengehadkan impian mereka dan memberikan kepercayaan bahawa wanita mempunyai segala keupayaan menjadi antara pencorak utama masa hadapan negara yang progresif dan berdaya saing.
Yang turut hadir dalam majlis perasmian ini termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPM, YBhg. Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak;Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan (KPM), YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia KPM (Sektor Operasi Sekolah), Encik Zainal Abas dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad.