Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Daro – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakar sejarah tersendiri apabila memilih daerah Daro sebagai lokasi pertama di bumi Borneo bagi Kembara MADANI Bahasa dan Sastera bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 agensi tersebut yang berlangsung hari ini.
Penganjuran edisi yang padat dengan pelbagai inisiatif itu dimulakan dengan acara pemasangan papan tanda pantun di sekitar Taman Permainan Daro dan Dewan Masyarakat Daro yang disempurnakan bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Yang Berhormat (YB) Dr. Haji Safiee Ahmad dan Ketua Pengarah DBP, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Dr. Hazami Jahari.

Inisiatif pemasangan papan tanda khas yang memaparkan rangkap pantun berkaitan dengan bahasa itu bertujuan untuk memperkenalkan serta menyemarakkan semula kelestarian budaya pantun tradisional dalam kalangan komuniti di sekitar Daro.
Selain itu, bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar, Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) turut digerakkan di sekitar Daro dengan menjadikan naskhah majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar terbitan DBP sebagai bahan rujukan utama.

Program Kembara MDK Dewan Siswa di SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah melibatkan penyertaan sebanyak 98 orang pelajar, manakala MDK Dewan Pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong melihatkan penyertaan sebanyak 101 orang pelajar rendah SK Hijrah Badong dan SK Camporan Daro.
Pada masa yang sama, Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP turut mengadakan aktiviti Eksplorasi Bahasa yang melibatkan penyertaan sebanyak 90 peserta dari SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah yang menguji kecerdasan minda pelajar dari aspek bahasa dan sastera.
Mengisi agenda pembudayaan ilmu dalam komuniti setempat, Majlis Penyerahan Naskhah Budi MADANI turut diadakan di Dewan Masyarakat Daro yang disempurnakan oleh YB Dr. Haji Safiee Ahmad kepada wakil SMK Toh Puan Datuk Patinggi Haji Normah, SK Hijrah Badong dan Perpustakaan Majlis Daerah Matu Daro (MDMD).
Sumbangan bahan bacaan yang merangkumi judul bahasa, sastera, ilmiah dan kenegaraan itu merupakan manifestasi usaha berterusan DBP untuk memperluas akses masyarakat kepada naskhah bahasa Melayu yang bermutu tinggi.

Bagi menyemarakkan lagi semangat ukhuwah dan perpaduan, program sambutan turut diserikan dengan acara riadah yang membabitkan Perlawanan Muhibah Bola Tampar dan Bola Pikel (Pickleball).
Perlawanan bola tampar yang menemukan karyawan DBP dengan pasukan Majlis Daerah Daro menyaksikan saingan sengit dengan kemenangan berpihak pada pasukan tuan rumah, manakala perlawanan bola pikel antara DBP dengan wakil Pejabat ADUN Daro pula berlangsung meriah.

Kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP di Daro melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang menerusi penganjuran Malam Bahasa Jiwa Bangsa bertempat di Dewan Masyarakat Daro.
Acara penutup yang menyajikan persembahan kesenian dan kebudayaan tradisi masyarakat Melanau itu berjaya menghimpunkan kehadiran sebanyak 200 orang pengunjung sekitar Daro, sekali gus membuktikan peranan teguh bahasa sebagai budaya penyatuan pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir memeriahkan Kembara MADANI Bahasa dan Sastera bersempena dengan penganjuran Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP ialah Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Abang Haliman Abang Julai; Pegawai Pejabat Daerah Daro, Encik Zul Haji Usup; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunos; serta Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa.