Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan bahawa komitmen dan tekad politik yang tinggi dalam usaha membanteras isu pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di Malaysia, perlu seiring dengan evolusi teknologi semasa.
Majlis penutupan perasmian Seminar “Sinergi Nasional Mencegah dan Membasmi Pemerdagangan Orang dan Eksploitasi Pekerja” disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan di Dewan Multaqam, Maju Junction Mall, hari ini.
Menurut YB Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan, isu pemerdagangan dan eksploitasi pekerja ditegaskan sebagai satu pencabulan hak asasi manusia yang serius, selain mampu memberikan kesan langsung secara global terhadap imej serta ekonomi negara.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Malaysia sentiasa meneliti saranan dalam Laporan Pemerdagangan Orang oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (US TIP Report) 2025 sebagai asas untuk menilai kedudukan, memperbaik kelemahan, dan merancang tindakan intervensi pada peringkat nasional.
Beliau menambah bahawa kerajaan juga membuktikan tekad politik yang tinggi melalui ratifikasi konvensyen antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Ke-29 berkaitan buruh paksa.
“Pada peringkat domestik, penguatkuasaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta pindaan Akta Kerja 1955 diperkukuh menerusi dua instrumen utama, iaitu Pelan Tindakan Nasional Pemerdagangan Orang (NAP-ATIPSOM) dan Pelan Tindakan Buruh Paksa Kebangsaan (NAPFL),” jelasnya.
Walau bagaimanapun, cabaran semasa kini menjadi semakin kompleks berikutan perubahan modus operandi penjenayah yang memanfaatkan ancaman keselamatan siber dan penipuan pekerjaan (job scam) secara dalam talian.
“Ramai golongan muda terpedaya dengan tawaran gaji lumayan di media sosial sehingga akhirnya terperangkap sebagai buruh paksa. Aspek penguatkuasaan perundangan dan pemantauan perlulah seiring dengan evolusi teknologi ini. Melalui pencambahan minda (brainstorming) hari ini, kita mampu melakarkan pelan tindakan yang sememangnya boleh menoktahkan isu ini,” tambahnya.

Bagi mendepani isu yang telah berlegar sejak berdekad lamanya ini, seminar tersebut telah menggariskan tiga objektif utama, antaranya ialah meningkatkan pemahaman dasar dan peranan agensi Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO); meneliti laporan antarabangsa seperti US TIP Report 2025 serta meneliti cabaran siber dalam mewujudkan jaringan kerjasama strategik antara kerajaan dengan masyarakat.
Mengakhiri ucapan perasmian, beliau turut menyeru sektor swasta dan para majikan agar menerapkan agenda kerja yang munasabah sebagai budaya korporat bagi memastikan rantaian bekalan bebas daripada elemen buruh paksa.