Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemberian tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai 2026 bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam serta perkhidmatan bas perantara di sepanjang laluan berkenaan, hari ini.
Khabar gembira itu diumumkan ketika YAB Dato’ Seri Anwar menyempurnakan Majlis Perasmian Operasi LRT Laluan Shah Alam.
Inisiatif tersebut dicapai menerusi persetujuan bersama Kementerian Pengangkutan, yang disifatkan sebagai satu langkah proaktif bagi melegakan beban kos sara hidup rakyat, di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih efisien.

“Saudara Anthony Loke sebagai Menteri (Pengangkutan), beliau mahu supaya kemudahan itu dapat memberikan manfaat kepada orang ramai dan pengumuman ini melegakan rakyat.
“Jadi, bermula 29 Jun sehingga 31 Julai, tambang perkhidmatan laluan Shah Alam dan bas-bas perantara akan diberikan secara percuma selama satu bulan,” jelas beliau.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut menekankan bahawa kos pembinaan jajaran LRT tersebut yang menelan perbelanjaan sebanyak RM4.7 bilion merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam menangani isu kesesakan lalu lintas yang kritikal di Lembah Klang.
Pelaburan prasarana bernilai bilion ringgit itu diyakini mampu menjadi pemangkin dalam menurunkan pelepasan karbon serta memulihara persekitaran negara.
“Tidak ada negara di mana pengangkutan awam itu boleh memberi pulangan yang lumayan kepada negara; ia sentiasa memerlukan suntikan kewangan berterusan yang tinggi.
“Namun, jika dinilai secara menyeluruh, ia berpotensi mengurangkan bebanan kos ekosistem, penjimatan bahan api serta peningkatan semula produktiviti rakyat yang sering tersusut akibat kesesakan jalan raya,” ujar beliau.
Dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar turut menyambut baik cadangan Menteri Pengangkutan bagi membangunkan tapak-tapak stesen LRT dan kawasan parkir milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang bersesuaian, sebagai tapak perumahan awam dan kompleks komersial bagi peniaga kecil.

Mengulas lanjut mengenai potensi tersebut, beliau mengarahkan agar pihak Prasarana, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, dan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyegerakan pelaksanaan pembangunan berkonsepkan in situ tersebut.
Langkah ini penting bagi memastikan pemilikan tanah berhampiran dengan hab transit tidak dibazirkan, sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya demi menjamin kos perjalanan yang lebih menjimatkan untuk rakyat berpendapatan rendah.
“Saya tidak berfikir bahawa perumahan lima bintang patut dibina di situ. Kawasan tersebut perlu dikhaskan untuk pembinaan perumahan rakyat dan kedai-kedai peringkat sederhana serta rendah. Hal ini secara langsung akan mengurangkan kos perjalanan dan memudahkan masyarakat untuk menggunakan kemudahan MRT atau LRT,” tegas YAB Dato’ Seri Anwar.
Beliau turut menitipkan pesanan tegas agar semua pihak mengutamakan kecekapan tata kelola pentadbiran dengan mengelakkan kerenah birokrasi, rasuah dan salah guna kuasa yang boleh merencatkan pelaksanaan projek kerajaan pada masa akan datang.
Turut hadir memeriahkan majlis perasmian tersebut termasuklah Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Pengerusi Kumpulan Prasarana, YBhg. Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.