Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bermula pada 1 Jun 2026, kerajaan telah menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-kanak dan Kod Pengurangan Risiko yang menetapkan bahawa kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak dibenarkan mendaftar akaun baharu di platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. Sehubungan dengan itu, penyedia perkhidmatan media sosial yang berlesen diwajibkan melaksanakan langkah perlindungan, termasuk mengesahkan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.

Proses pengesahan umur hendaklah dilakukan menggunakan rekod rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan seperti kad pengenalan, pasport atau dokumen pengenalan diri yang setara keluaran pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Pengguna yang gagal mengesahkan bahawa mereka berumur 16 tahun ke atas tidak akan dapat mendaftar akaun media sosial baharu malah, mereka juga tidak dibenarkan mengakses akaun sedia ada atau menggunakan ciri-ciri yang disediakan oleh platform berkenaan.

Penguatkuasaan kod ini selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, khususnya bagi kanak-kanak dan institusi kekeluargaan. Akta tersebut telah diluluskan oleh Parlimen pada Disember 2024 sebelum diwartakan pada Mei 2025. Pada tahun 2025, jumlah pengguna Internet di Malaysia dianggarkan sebanyak 35.4 juta orang, manakala jumlah pengguna aktif media sosial pula mencecah 30.7 juta orang.

Sebagai perbandingan, jumlah pengguna media sosial di Malaysia pada penghujung tahun 2025 bersamaan dengan 85.0 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Platform media sosial yang mempunyai jumlah pengguna paling ramai ialah TikTok dengan 30.7 juta pengguna berumur 18 tahun ke atas, diikuti oleh YouTube (23.6 juta pengguna), Facebook (23.0 juta pengguna), Instagram (16.1 juta pengguna), LinkedIn (10.0 juta pengguna), Messenger (9.60 juta pengguna), X (4.81 juta pengguna), Reddit (4.30 juta pengguna), Threads (3.60 juta pengguna) dan Snapchat (1.69 juta pengguna).

Penggunaan Internet yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia termasuk kanak-kanak telah menyebabkan larangan penggunaan media sosial bagi golongan bawah 16 tahun semakin relevan. Langkah ini mampu melindungi kesihatan mental kanak-kanak kerana penggunaan media sosial secara berlebihan boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan mental seperti kebimbangan, tekanan, kemurungan dan rasa rendah diri.

Media sosial sering memaparkan gambaran kehidupan yang kelihatan sempurna atau ideal. Kanak-kanak yang melihat rakan atau individu lain berkongsi kejayaan, kemewahan atau penampilan fizikal yang menarik cenderung membandingkan diri mereka dengan standard yang tidak realistik. Keadaan ini boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan diri, merasakan diri tidak cukup baik berbanding dengan orang lain, mengalami tekanan emosi dan kebimbangan serta berasa tersisih atau tidak diterima oleh rakan mahupun masyarakat sekeliling.

Selain itu, pendedahan terhadap kandungan yang tidak sesuai dapat dibendung melalui larangan ini. Media sosial mengandungi pelbagai jenis kandungan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak, termasuk bahan berunsurkan keganasan, pornografi, penggunaan bahasa yang lucah dan kasar, aktiviti jenayah serta kandungan yang mempromosikan kebencian atau ekstremisme.

Algoritma media sosial lazimnya mencadangkan kandungan berdasarkan sejarah tontonan atau interaksi pengguna. Walaupun kanak-kanak hanya melihat sesuatu kandungan yang tidak sesuai secara tidak sengaja, sistem akan terus mencadangkan lebih banyak kandungan yang serupa. Pendedahan awal terhadap kandungan sedemikian boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka ke arah yang negatif.

Kanak-kanak juga merupakan antara golongan yang paling terdedah kepada buli siber. Hal ini berbeza dengan buli fizikal yang pada kelazimannya berlaku di sekolah atau di tempat tertentu. Buli siber boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kanak-kanak boleh menjadi mangsa penghinaan atau cacian dalam ruangan komen, penyebaran gambar atau video tanpa kebenaran, penyebaran berita palsu, gangguan yang berterusan melalui mesej peribadi serta pemulauan sosial dalam kumpulan maya. Keadaan ini boleh memberikan kesan negatif terhadap kesihatan mental dan perkembangan sosial mereka. Oleh itu, larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah umur 16 tahun dapat membantu membendung gejala buli siber daripada terus berleluasa.

Selain itu, larangan penggunaan media sosial dapat melindungi privasi dan keselamatan kanak-kanak dalam talian. Pada kebiasaannya, Kanak-kanak kurang memahami risiko perkongsian maklumat peribadi melalui media sosial. Tanpa pemantauan atau bimbingan orang dewasa, mereka mudah berkongsi nama penuh, alamat rumah, nama sekolah, nombor telefon, lokasi semasa, gambar dan video peribadi. Maklumat tersebut boleh disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan, pencurian identiti atau eksploitasi. Di samping itu, mereka juga berisiko menjadi mangsa pengantunan (grooming), iaitu perbuatan individu dewasa yang berpura-pura menjadi rakan sebaya untuk mendapatkan kepercayaan kanak-kanak sebelum mengeksploitasi mereka.

Penguatkuasaan larangan penggunaan media sosial secara tidak langsung dapat menyokong perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka memerlukan pengalaman dalam dunia sebenar untuk membina kemahiran komunikasi dan menjalinkan hubungan interpersonal. Interaksi secara bersemuka memainkan peranan penting dalam memupuk kemahiran berkomunikasi, empati dan kerjasama. Sebaliknya, penggunaan media sosial secara berlebihan mengurangkan peluang kanak-kanak mengembangkan kemahiran sosial tersebut. Akibatnya, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi kehidupan sebenar.

Larangan ini juga berupaya meningkatkan tumpuan kanak-kanak terhadap pelajaran. Penggunaan media sosial secara berlebihan sering dikaitkan dengan penurunan prestasi akademik. Kanak-kanak yang ketagihan menggunakan telefon pintar akan menghabiskan masa berjam-jam pada setiap hari untuk melayari media sosial sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar, mengurangkan masa tidur dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Keadaan ini akhirnya boleh menyebabkan mereka terlalu bergantung pada gajet dalam kehidupan seharian. Oleh itu, larangan yang dikuatkuasakan dapat membantu kanak-kanak memberikan tumpuan yang lebih baik terhadap pelajaran di samping melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang menyokong pembangunan diri.

Kerajaan Australia menilai sesuatu platform media sosial yang berpotensi dikenakan larangan berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu tujuan utama platform tersebut adalah untuk membolehkan interaksi sosial antara dua orang pengguna atau lebih pengguna secara dalam talian, platform tersebut membenarkan pengguna berinteraksi dengan sebahagian atau semua pengguna lain, serta platform tersebut membenarkan pengguna menyiarkan atau memuat naik kandungan.

Walau bagaimanapun, YouTube Kids, Google Classroom dan WhatsApp tidak termasuk dalam larangan tersebut kerana platform berkenaan tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Oleh itu, perkhidmatan tersebut tidak diklasifikasikan sebagai platform media sosial yang tertakluk pada sekatan umur di bawah undang-undang baharu Australia. Menurut Meta, sebanyak 550 000 akaun telah dinyahaktifkan selepas penguatkuasaan larangan tersebut, termasuk 330 000 akaun Instagram, 173 000 akaun Facebook dan 39 000 akaun Threads. Pada masa yang sama, terdapat juga gesaan supaya kerajaan Australia memperluas pelaksanaan larangan tersebut dengan memasukkan platform permainan dalam talian seperti Roblox dan Discord yang masih belum tersenarai sebagai platform yang dikenakan sekatan.

Pada November 2025, Roblox mengumumkan bahawa platform tersebut akan memperkenalkan mekanisme pengesahan umur bagi mengakses beberapa ciri tertentu. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak, di samping memastikan hanya pengguna yang memenuhi syarat umur dibenarkan mengakses ciri-ciri berkenaan.

Indonesia pula muncul sebagai negara bukan Barat yang pertama menguatkuasakan sekatan penggunaan media sosial seperti yang dilaksanakan oleh Australia di seluruh negara mulai 28 Mac 2026. Bermula pada tarikh tersebut, akaun media sosial milik kanak-kanak yang berumur bawah 16 tahun di platform berisiko tinggi seperti YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, Bigo Live dan Roblox akan dinyahaktifkan.

Pada 17 Mac 2026, Brazil mula menyekat akses terhadap media sosial bagi kanak-kanak yang berumur bawah 16 tahun selepas kerajaan negara itu meluluskan undang-undang yang mengawal selia penggunaan media sosial oleh kanak-kanak pada tahun 2025. Pengguna yang berumur sehingga 16 tahun diwajibkan memautkan akaun peribadi mereka dengan akaun penjaga yang sah. Di samping itu, platform digital turut dikehendaki melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi menghalang golongan bawah 18 tahun daripada mengakses kandungan yang dilarang atau tidak sesuai seperti bahan pornografi dan kandungan berunsurkan keganasan.

Menurut Iage Miola, Pengarah National Data Protection Authority, iaitu badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan undang-undang tersebut, perundangan Brazil tidak membenarkan kaedah perisytiharan kendiri digunakan sebagai mekanisme pengesahan umur kerana kaedah tersebut didapati tidak berkesan untuk menghalang kanak-kanak daripada mengakses kandungan yang berbahaya.

Larangan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 16 tahun merupakan langkah yang relevan dalam usaha melindungi mereka daripada pelbagai risiko dalam talian. Pendedahan kepada kandungan yang berbahaya seperti keganasan, buli siber, eksploitasi seksual dan maklumat yang tidak sesuai boleh memberikan kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan sosial mereka.

Di samping itu, ciri-ciri platform media sosial yang direka untuk meningkatkan tempoh penggunaan turut berpotensi menyebabkan ketagihan, menjejaskan prestasi akademik serta mengurangkan interaksi sosial secara bersemuka. Oleh itu, larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun merupakan dasar yang wajar dilaksanakan bagi melindungi kepentingan dan kesejahteraan mereka, di samping memberikan ruang kepada pembangunan mekanisme keselamatan digital yang lebih menyeluruh dan berkesan pada masa hadapan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi