Diterbitkan pada 21 Jun 2026, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengorbanan seorang ayah ialah bahasa sunyi yang tidak tertulis, tetapi terlukis pada peluh yang jatuh tanpa disedari, pada langkah yang tidak pernah berhenti walau lelah merintih dalam diam.

Di balik wajah yang jarang-jarang menzahirkan perasaan letih, seorang ayah memikul dunia kecil bernama keluarga. Dia tidak selalu bersuara tentang penatnya, namun setiap hari merupakan perjalanan panjang antara tanggungjawab dan harapan yang tidak pernah gugur. Ada ayah yang pulang ketika malam sudah menutup mata, masih membawa sisa tenaga untuk senyuman anak-anaknya. Ada juga yang menangguhkan mimpi sendiri, hanya supaya mimpi anaknya sempat tumbuh terlebih dahulu di bumi yang keras.

Sesungguhnya, pengorbanan seorang ayah bukan sekadar perbuatan, tetapi cinta yang tidak meminta dikenang, namun tetap hidup dalam setiap denyut kehidupan anak-anaknya.

Seorang ayah sering menjadi insan yang paling banyak berkorban, namun paling jarang-jarang disebut dalam doa yang lantang. Di sebalik wajah yang tenang ketika pulang ke rumah, tersimpan kepenatan yang tidak pernah dipamerkan. Ayah memilih untuk diam, kerana baginya setiap keluhan hanya akan menambah beban, sedangkan keluarga perlu terus bergerak ke hadapan.

Pada masa kini, ramai ayah masih keluar bekerja setiap hari dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Ada yang bekerja lebih masa, ada yang memegang dua atau tiga pekerjaan serentak, malah ada yang memandu jauh berjam-jam setiap hari semata-mata untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat tanpa pernah mengadu, walaupun tubuh semakin letih dan usia semakin menginjak.

Justeru, pengorbanan seorang ayah jelas bukan hanya kisah lama, tetapi realiti yang masih berulang pada setiap hari dalam senyap yang tidak selalu difahami.

Selain itu, pengorbanan seorang ayah semakin terserlah apabila usia mula memadamkan kekuatan yang dulu menjadi tunjang keluarga. Dahulu, dia mampu berdiri lama tanpa mengeluh, mampu memikul beban tanpa meminta bantuan, namun masa perlahan-lahan mengubah segalanya. Tubuh yang dahulunya tegap mula membongkok, langkah yang dulu pantas kini semakin perlahan. Walaupun begitu, hatinya masih tetap sama iaitu ingin melihat anak-anaknya terus berjaya walaupun dirinya sendiri semakin dimamah usia.

Kini, kita sering melihat ayah yang pulang dari kerja dengan wajah letih, kadang-kadang hanya duduk diam di ruang tamu tanpa banyak bicara. Ada juga yang masih bekerja walaupun sudah bersara, hanya untuk menampung kos hidup atau membantu anak-anak yang masih memerlukan. Namun dalam kesunyian itu, jarang-jarang sekali ada yang benar-benar bertanya, “Ayah sudah makan?” atau “Ayah penat tak hari ini?”

Pendek kata, semakin ayah berkorban dalam diam, semakin besar nilai kasihnya yang sering tidak disedari, walaupun setiap detik hidupnya hanya untuk keluarga.

Di samping itu, nilai pengorbanan seorang ayah sering hanya benar-benar difahami apabila masa mula mengambil jarak antara anak dan dirinya. Ketika masih kecil, seorang ayah mungkin dilihat sebagai insan yang tegas, kurang bercakap dan terlalu sibuk dengan kerja. Namun apabila dewasa mula menjengah, barulah perlahan-lahan tersingkap bahawa setiap teguran itu sebenarnya adalah kasih yang terselindung di sebalik ketegasan, dan setiap kesunyian itu menjadi doa yang tidak pernah putus untuk anak-anaknya.

Ada anak yang kini sudah bekerja, hanya sempat mengirim pesan ringkas kepada ayah yang semakin uzur. Ada juga yang pulang ke kampung, lalu terdiam melihat tubuh ayah yang dahulu bertenaga kini hanya duduk di kerusi lama yang sama, tetapi dengan nafas yang lebih perlahan. Ada ketika, kesedaran itu datang terlalu lewat, iaitu ketika panggilan tidak lagi berjawab. Malahan, rumah yang suatu ketika dahulu penuh dengan suara kini hanya tinggal sunyi yang panjang.

Oleh itu, pengorbanan seorang ayah tidak pernah benar-benar hilang, tetapi hanya mula difahami apabila masa sudah tidak lagi memberikan peluang untuk berkata “terima kasih” dengan sepuas-sepuasnya.

Seterusnya, pengorbanan seorang ayah menjadi paling menyentuh apabila anak akhirnya menyedari bahawa setiap detik bersama merupakan sesuatu yang tidak akan kembali lagi. Pada saat kesibukan dunia mengejar kejayaan, manusia sering terlupa bahawa masa bersama-sama ayah tidak pernah menunggu. Hari demi hari berlalu tanpa sempat mengucap terima kasih, tanpa sempat memeluk lebih lama, dan tanpa sempat duduk benar-benar mendengar cerita lelah seorang lelaki yang selama ini hanya tahu memberi.

Kini, ramai anak hanya mampu melihat gambar lama ayah di telefon, atau menatap sepi kerusi kosong di rumah ketika pulang ke kampung. Ada yang berdiri lama di pusara, baru menyedari bahawa suara yang dahulu dianggap biasa itu sebenarnya ketenangan paling mahal dalam hidup mereka. Pada saat itu, kata “maaf” dan “terima kasih” hanya mampu diulang dalam hati yang penuh sesak dengan penyesalan.

Sesungguhnya, pengorbanan seorang ayah hanya benar-benar dihargai apabila kehadirannya sudah menjadi kenangan, sedangkan kasihnya selama ini tidak pernah sekali pun berhenti walau sedetik.

Bahawasanya, pengorbanan seorang ayah bukan sesuatu yang boleh diukur dengan kata-kata atau dibalas dengan harta. Kasih ayah adalah seperti satu perjalanan sunyi yang hanya difahami oleh hati yang benar-benar mahu mengerti.

Kesimpulannya, hargailah ayah selagi masih ada kesempatan. Ucapkan terima kasih walaupun ringkas, peluklah walaupun seketika, dan dengarlah walaupun cerita itu berulang kerana dalam setiap detik kecil itu, tersimpan nilai yang mungkin tidak akan kembali bila masa sudah melangkah pergi.

Jika kita terus leka, mungkin akan tiba satu hari apabila kita hanya mampu memandang gambar lama, mengenang suara yang pernah memanggil nama kita dengan penuh kasih. Pada ketika itu, tiada lagi peluang untuk membalas, hanya tinggal rindu yang tidak berpenghujung.

Kasihnya ayah, seluruh langkah kita selama ini berdiri atas pengorbanannya yang diam. Selamat Hari Bapa.

Penulis seorang pendidik dan berkelulusan Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya. Beliau ditauliahkan sebagai Munsyi Bahasa oleh DBP tahun 2010.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi