Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap empat tahun sekali, semua penduduk bumi akan menanti-nantikan satu temasya sukan bola sepak yang paling berprestij. Tidak kira tua atau muda, lelaki dan wanita, aatau apa-apa sahaja status kehidupan mereka, temasya ini akan menarik minat semua untuk merasai ‘demam’ temasya ini. Inilah kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA. Kejohanan yang memasuki edisi ke-23 ini dilangsungkan dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026. Buat pertama kalinya, tiga buah negara dipilih sebagai tuan rumah, iaitu Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada. Sebelum ini, hanya sebuah negara tunggal sahaja yang akan dipilih sebagai tuan rumah. Setakat ini, hanya Korea Selatan dan Jepun sahaja yang pernah menjadi dua negara pertama yang menganjurkan secara bersama pada tahun 2002.
AS menganjurkan kejohanan ini buat kali kedua setelah pertama kalinya menganjurkannya pada tahun 1994, manakala Mexico menganjurkannya buat kali ketiga setelah menjadi tuan rumah pada tahun 1970 dan 1986. Kanada menganjurkannya buat pertama kali pada tahun ini. Jumlah pasukan yang bertanding juga dinaikkan daripada 32 pasukan kepada 48 pasukan. Jumlah perlawanan juga bertambah daripada 64 perlawanan kepada 104 perlawanan, cukup sesuai dengan penambahan jumlah tuan rumah penganjur.
Perlawanan pembukaan pada 11 Jun 2026 telah mempertemukan tuan rumah bersama, Mexico dengan pasukan Afrika Selatan yang dilangsungkan di Stadium Azteca, Mexico City. Kebetulan, perlawanan ini juga menjadi perlawanan ulangan dalam edisi tahun 2010 di mana kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan pembukaan di Afrika Selatan. Dalam edisi 2026 ini, Mexico berjaya menewaskan Afrika Selatan dengan jaringan 2-0 mengatasi keputusan dalam edisi 2010 yang berakhir dengan jaringan 1-1.
Kemudian, perlawanan pembukaan turut dianjurkan di dua negara tuan rumah lagi, iaitu perlawanan AS menentang Paraguay dan Kanada menentang Bosnia dan Herzegovina. AS berjaya menumbangkan Paraguay dengan jaringan 4-1, manakala Kanada hanya seri Bosnia dan Herzegovina dengan jaringan 1-1.
Penganjuran Piala Dunia FIFA tidak pernah lari daripada kontroversi yang memberikan imej buruk kepada negara tuan rumah. Namun begitu, penganjuran kali ini bakal dikatakan paling buruk pernah dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam sejarah Piala Dunia. Kontroversi bermula dengan ugutan boikot dan penarikan diri oleh beberapa pasukan handalan dunia, seperti Sepanyol, Perancis, England dan Jerman. Hal ini berlaku bersangkut paut dengan dasar penglibatan Presiden Donald Trump dalam penganjuran Piala Dunia kali ini. Donald Trump telah dianugerahi Hadiah Keamanan FIFA semasa sesi undian rasmi kumpulan Piala Dunia FIFA. Hal ini sekali gus menimbulkan rasa kurang senang kepada negara lain kerana FIFA seolah-olah mengiktiraf pembabitan AS dalam konflik antara Palestin dan Israel yang sedang berlaku sekarang.
Ketika pusingan kelayakan Piala Dunia FIFA zon Eropah, pasukan handalan dunia ini sudah mula membangkitkan isu untuk memboikot kejohanan ini jika negara haram Israel layak ke Piala Dunia. Mujur Israel tidak berjaya melayakkan diri menjadikan isu itu reda seketika. Dengan pengiktirafan yang diberikan oleh FIFA itu telah membangkitkan semula rasa tidak puas hati itu kepada negara-negara anggota FIFA yang lain. AS dilihat mahu menjadi polis dunia dengan kononnya menjadi orang tengah kepada konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel dan menawarkan jalan damai kepada kedua-dua negara itu. Hasilnya masih menguntungkan kepada pihak Israel dengan rakyat Palestin terus dibunuh hari demi hari.
Dasar dwistandard FIFA ini amat menjengkelkan kerana agensi itu melayan AS seperti raja dan mendengar cakap negara itu apabila tidak menggantung pasukan bola sepak Israel. Sebaliknya, badan induk bola sepak antarabangsa itu terus menggantung bola sepak Rusia dalam masa 2-3 hari selepas serangan Rusia ke atas Ukraine. Hal ini menimbulkan pendebatan dalam kalangan pemerhati bola sepak dunia yang menganggap FIFA telah ditarik hidung oleh AS dan Israel.
Kontroversi penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 tidak berhenti di situ. Konflik antara AS dengan Iran yang semakin tegang pada bulan Februari dan Mac 2026 tempoh hari terus dibawa ke dalam kejohanan itu. Iran yang diundi dalam kumpulan G bersama-sama pasukan New Zealand, Belgium dan Mesir mengancam untuk menarik diri daripada edisi kali ini. Iran perlu beraksi di AS dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan menjadikan satu ketidakselesaan kepada pasukan Asia itu. Tambahan pula, AS turut mengugut untuk tidak memberikan visa perjalanan kepada pasukan Iran bagi memasuki negara itu.
Pasukan Iran dan beberapa orang pemerhati bola sepak memberikan cadangan kepada FIFA untuk menukar perlawanan yang melibatkan Iran ke negara Mexico ataupun Kanada. Walau bagaimanapun, FIFA enggan untuk menukar lokasi perlawanan dengan menggunakan alasan bahawa persiapan sudah dilakukan dan sukar untuk menukar jadual. Mahu tidak mahu, FIFA terpaksa memujuk Iran untuk kekal bermain dalam Piala Dunia dan terus berusaha berunding dengan AS.
Akhirnya, pasukan Iran diberikan pelepasan visa khas. Pasukan itu akan berkampung di Mexico dan hanya dibenarkan memasuki negara AS pada hari perlawanan sebelum perlu keluar segera dari negara itu setelah tamat perlawanan. Hal ini tidak memberikan situasi menang-menang kepada Iran kerana melihat lokasi perlawanan yang dilangsungkan di Seattle dan California yang terletak di utara dan barat AS, pemain-pemain Iran perlu terbang beribu-ribu kilometer pada hari perlawanan hanya untuk bermain pada hari perlawanan. Perjalanan yang jauh ini memberikan kesan keletihan kepada para pemain dan seterusnya memberikan kelebihan kepada pasukan lawan. Namun begitu, ketika artikel ini ditulis, pasukan Iran berjaya mengharungi perlawanan pertama setelah berjaya mengikat pasukan New Zealand dengan jaringan 2-2.
Isu pemberian visa oleh AS terus dikritik apabila negara itu mengenakan syarat permohonan visa yang ketat dan berisiko menolak permohonan visa beberapa buah negara. Analisis Perbadanan Penyiaran British (BBC) mengeluarkan kenyataan bahawa AS telah menolak 40% permohonan visa daripada 11 buah negara yang bertanding termasuklah penyokong dari Ghana, Algeria, Iran, Haiti, Cape Verde dan Senegal. Ada penyokong telah membeli tiket perlawanan, menempah tiket penerbangan dan hotel hanya mampu berputih mata kerugian beribu-ribu ringgit setelah permohonan visa tidak diluluskan.
Selain isu visa, penganjuran Piala Dunia kali ini turut dikritik dengan harga jualan tiket yang terlalu mahal, naik kira-kira 5 kali ganda daripada edisi 2022 yang dilangsungkan di Qatar. Sebagai perbandingan, tiket perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2022 dijual bermula USD604, manakala dalam edisi 2026, tiket dijual bermula harga USD2,790 menjadikan harga tiket paling mahal dalam sejarah Piala Dunia FIFA.
Jarak perjalanan yang jauh antara semua stadium yang melibatkan tiga buah negara besar menjadikan Piala Dunia FIFA kali ini sangat tidak ekonomi dan tidak praktikal untuk dianjurkan. Hal ini ditambah pula dengan isu pemeriksaan keselamatan yang ketat oleh pihak keselamatan AS, termasuklah ke atas para pemain dan pegawai pasukan bola sepak. Hampir semua pasukan bola sepak telah diperiksa dengan teliti sebaik turun dari kapal terbang di lapangan terbang. Ada juga pasukan yang perlu melalui pemeriksaan keselamatan di hotel penginapan sebelum menaiki bas untuk ke stadium.
Isu-isu yang berbangkit telah dibuat perbandingan oleh para peminat bola sepak dengan penganjuran yang telah dianjurkan oleh Qatar, empat tahun yang lalu. Qatar telah dikritik hebat berkaitan isu eksploitasi pekerja yang membina fasilitet Piala Dunia apabila mereka tidak diberikan hak pekerja yang baik di negara itu. Ini ditambah pula dengan isu-isu lain seperti larangan penjualan arak dan isu kelakuan seks secara terbuka di negara itu memandangkan Qatar merupakan negara Islam.
Isu-isu yang berbangkit di Qatar itu telah dikritik hebat oleh beberapa orang pemain bola sepak yang beraksi seperti pasukan Jerman. Para pemain Jerman telah membuat tanda protes dengan menutup mulut ketika sesi fotografi sebelum perlawanan berlangsung. Kesudahannya, Jerman tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut setelah gagal dalam edisi 2018 di Rusia.
Di sebalik kritikan itu, Qatar telah menjadi penganjur Piala Dunia FIFA yang paling berjaya, jauh lebih baik daripada AS sekarang. Pemain-pemain yang sebelum ini mengkritik penganjuran Piala Dunia di Qatar tidak memberikan sebarang respons dengan kucar-kacirnya penganjuran Piala Dunia kali ini. Sama ada mereka malu kerana menelan ludah sendiri ataupun mengamalkan dasar dwistandard seperti FIFA.
Piala Dunia FIFA sedang berlangsung hangat. Diharapkan setidak-tidaknya penganjuran kali ini tidak terlalu teruk sehingga bakal menjadi Piala Dunia FIFA paling menjengkelkan pernah diingati oleh peminat bola sepak dunia.