Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – “Kesalahan menerbitkan sebarang maklumat sehingga mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam sesuatu kes boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun,” ujar kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
JKM mengeluarkan amaran tegas itu susulan wujudnya trend menyebarkan gambar dan video di platform media digital, termasuk satu insiden tular yang membabitkan seorang murid di sebuah sekolah baru-baru ini.
Orang awam khususnya pengguna media sosial dan penggiat media diingatkan agar tidak menyiarkan, berkongsi atau menyebarkan sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman identiti kanak-kanak terbabit.
JKM menegaskan bahawa larangan penerbitan sebarang identiti itu terpakai kepada semua keadaan, tidak kira sama ada kanak-kanak tersebut merupakan mangsa, saksi, mahupun kanak-kanak yang terlibat atau disyaki terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah.
“Perbuatan mendedahkan identiti kanak-kanak adalah bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611],” jelas jabatan itu menerusi satu kenyataan media rasmi semalam.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pendedahan nama, alamat, institusi pendidikan mahupun sebarang butiran pengecaman merupakan satu pelanggaran undang-undang yang serius.
“Pendedahan identiti di ruang awam bukan sahaja perbuatan yang melanggar undang-undang negara, malah berisiko besar untuk menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak terbabit,
“Tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian turut berpotensi mengganggu proses pemulihan serta meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan terhadap tumbesaran dan kehidupan mereka,” tegas JKM lagi.
Oleh yang demikian, JKM menyeru semua pihak agar segera menghentikan penyebaran kandungan mendedahkan identiti kanak-kanak bagi menghormati hak privasi mereka.
Para pengguna Internet dinasihatkan supaya mempraktikkan etika media sosial yang bertanggungjawab dan memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
“JKM kekal komited memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat perlindungan sewajarnya selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak,” tegas kenyataan tersebut.