Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran keras kepada warga kementerian yang didapati memalsukan rekod kehadiran atau mengupah pihak ketiga bagi memenuhi syarat 40 jam Program Pembangunan Kompetensi (PPK) dalam sistem HRMIS.

Tindakan tersebut disifatkan sebagai satu bentuk ketidakjujuran dan penyalahgunaan amanah yang boleh membawa implikasi penalti yang serius terhadap kerjaya penjawat awam.

Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Unit Integriti KPM memandang serius trend penularan perkhidmatan “mencukupkan 40 jam HRMIS” yang ditawarkan di platform media sosial dengan bayaran tertentu.

Poster rasmi yang dikeluarkan oleh Unit Integriti KPM kepada penjawat awam.

“Terdapat segelintir warga kementerian dikesan memuat naik sijil palsu atau merekodkan kehadiran bagi kursus yang tidak pernah dihadiri semata-mata untuk mencapai sasaran wajib tersebut,

“Lebih membimbangkan, tindakan penjawat awam yang menyerahkan nombor pengenalan (ID) dan kata laluan HRMIS kepada pihak luar boleh mendedahkan maklumat peribadi serta rekod perkhidmatan kepada individu yang tidak diberikan kuasa,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Unit Integriti KPM hari ini.

Sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan data atau akses tanpa kebenaran, penjawat awam berkenaan tetap akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap akaun mereka sendiri.

“Setiap penjawat awam bertanggungjawab memastikan rekod yang dikemukakan adalah benar, tepat dan boleh disahkan,” jelas kenyataan unit berkenaan berhubung dengan isu pelanggaran integriti itu.

Pihak kementerian turut mengingatkan bahawa rekod pembangunan kompetensi bukanlah sekadar untuk memenuhi angka 40 jam, tetapi hal berkenaan mencerminkan komitmen terhadap pembangunan diri dan tahap profesionalisme pegawai.

Penjawat awam yang didapati bersalah mengemukakan maklumat palsu, membuat pengesahan tidak benar atau menyalahgunakan sistem rasmi kerajaan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Hukuman tersebut tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] atas kesalahan tidak jujur, tidak amanah, atau berkelakuan yang boleh menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam.

Menerusi kempen kesedaran yang digerakkan, KPM turut menegaskan pesanan penting bahawa integriti bukanlah satu pilihan, sebaliknya perkara tersebut merupakan satu tanggungjawab bersama yang wajib dijunjung oleh setiap warga kerja kementerian.

Kredit Foto: Facebook Unit Integriti KPM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi