Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Pakatan Harapan (PH) berpeluang meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang akan berlangsung pada Sabtu ini sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi.

Penganalisis politik, Yang Berusaha (YBrs.) Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, momentum kepulangan penyokong PH ke kampung halaman didorong oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah kestabilan politik pada peringkat persekutuan, pemulihan ekonomi yang memberangsangkan serta kesinambungan bantuan kewangan dan subsidi kerajaan.

Menurut beliau, pengundi yang menikmati manfaat daripada kestabilan sosioekonomi semasa mempunyai kecenderungan untuk mengekalkan corak pentadbiran sedia ada. Mereka juga mahu kejayaan pentadbiran Kerajaan Persekutuan diterjemahkan pada peringkat negeri.

“Golongan pengundi ini menyedari bahawa kestabilan politik, ekonomi yang kukuh serta jaringan keselamatan sosial seperti subsidi petrol dan diesel telah memberikan manfaat kepada mereka. Oleh itu, mereka mahu keadaan ini diteruskan dengan mengekalkan mandat kepada kerajaan PH,” katanya.

Merujuk keputusan PRN Johor pada tahun 2022, beliau mengulas bahawa prestasi PH yang kurang memberangsangkan pada ketika itu berpunca daripada kegagalan banyak pengundi luar yang pulang mengundi. Keadaan tersebut disebabkan oleh kebimbangan pengundi susulan fasa pascapendemik COVID-19 yang masih menjejaskan pergerakan rakyat.

Tambah beliau, kadar keluar mengundi yang hanya sekitar 50 peratus memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus membolehkan BN memanfaatkan kekuatan pangkalan data pengundi tempatan serta sokongan pengundi tegar.

“BN berjaya memenangi 40 kerusi kerana mempunyai bilangan pengundi tempatan yang banyak serta jentera akar umbi yang kukuh di Johor,” katanya.

Namun begitu, landskap politik berubah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diadakan pada penghujung tahun yang sama. Kadar keluar mengundi meningkat kepada 75 peratus, sekali gus membantu PH memenangi 14 kerusi Parlimen di Johor.

Selain itu, undian popular PH turut meningkat secara drastik apabila jumlah undian yang diperoleh melonjak daripada kira-kira 350,000 undian pada PRN Johor 2022 kepada 830,000 undian pada PRU15.

“Peningkatan ini membuktikan sokongan pengundi terhadap PH semakin kukuh sehingga membolehkan parti itu menguasai 14 kerusi Parlimen. Sekiranya momentum yang sama diterjemahkan pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN), PH berpeluang memenangi lebih banyak kerusi,” katanya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi